Halaman

21 October 2013

Umat Islam terima padah jika tidak amal ajaran Islam sebenar

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Masyarakat Islam di negara ini, khususnya generasi akan datang bakal menerima padah jika mereka tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong berkata, jika masyarakat negara ini menerima ajaran Islam sebenar seperti yang disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w mereka akan terselamat di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, jika mereka terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng seperti Syiah sebagaimana yang diamalkan di sesetengah negara Islam di Timur Tengah, negara ini akan menuju kehancuran.


 “Banyak negara Islam di Timur Tengah kini sedang bergolak dan mengalami kehancuran kerana rakyatnya terpengaruh dengan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Mereka juga mengikut telunjuk puak-puak Yahudi yang sememangnya mahu melihat kemusnahan negara dan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama sempena Majlis Luncheon Talk “Media Sosial dan Keselamatan Negara” anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu di Hotel YT Midtown, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya mendokong kerajaan yang tekad memerangi fahaman Syiah dan Yahudi bagi memastikan negara ini terus mengamalkan ajaran Islam yang suci.

Dalam perkembangan lain, Haji Shamsuddin berkata, pemilihan Umno 2013 yang baru saja selesai menyaksikan transformasi dalam pucuk kepimpinan Umno di mana ia merupakan perkembangan sihat.

“Pemilihan kali ini memperlihatkan proses meremajakan Umno dan diharap ia akan menarik minat golongan muda menyokong Umno dan memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata, sistem pemilihan baru yang diperkenalkan pucuk pimpinan Umno tahun ini memberi lebih banyak ruang kepada perwakilan untuk memilih pemimpin berwibawa.