Halaman

11 November 2013

Sekitar Pembahagian Wang Ehsan Dun Langkap.

Tiba..Sabri tiba meninjau perjalanan majlis.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

LANGKAP: Seramai 545 dari lima buah kampung di kawasan Dun Langkap menerima wang ehsan sebanyak RM300 dan RM200 tiap seorang dari kerajaan negeri bertempat di Dewan Orang Ramai Bukit Nenas, di sini, petang ini.

Lima buah kampung terbabit ialah Kampung Kampung Bukit Nenas, Kampung Pak Ba, Kampung Tayur Tengah, Kampung Bukit dan Kampung Sungai Las.

Adunnya, Dato' Sabri Mohd Nor berkata, pembahagian Dana Khas Raya itu dilakukan di beberapa tempat di Dun Langkap, bagi memudahkan perjalananan majlis dan mempercepatkan urusan pembahagian.

"Hari ini, pembahagian wang Dana Raya itu berjalan lancar dan saya mengharapkan perjalanan urusan pembahagian wang Dana Raya itu akan berjalan lancar di beberapa tempat lagi iaitu esok dan lusa," katanya.

Majlis Pembahagian Wang Dana Raya itu dirasmikan oleh Azmi Nazir, Setiausaha UMNO Bahagian Setiu yang mewakili Dato' Sabri Mohd Nor.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar Majlis Pembahagian Wang Ehsan Dun Langkap:-

Gembira..seorang penerima wang ehsan bergambar bersama Azmi.
Hadir..sebahagian penerima yang hadir.
Tunggu..penerima menunggu di luar dewan.
Rosman Asmawi (Joe)...beli barangan dapur.
Majid Ali...berterima kasih kepada kerajaan.
Seorang penerima bergambar kenangan dengan isteri Dato' Sabri, Datin Rasidah.(kanan)
Tungu giliran..penerima menunggu untuk cap jari.

Tekun...seorang petugas memeriksa nama penerima.


Guru lama khidmat ditimbang jawatan tetap

Oleh: Noraini Jusoh

Guru Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berkhidmat lebih 10 tahun dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan menunjukkan prestasi cemerlang akan diberi pertimbangan untuk diserap ke jawatan tetap tanpa pencen.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah (gambar) berkata, kerajaan negeri mengenal pasti seramai 368 orang daripada sejumlah 600 guru Taska YPKT di seluruh negeri layak dipertimbangkan untuk jawatan itu.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menaikkan bayaran gaji guru Taska YPKT yang berkhidmat secara ‘adhoc’ di bawah dua skim iaitu pendidik dan pembantu pendidik.

"Bagi yang berkelulusan Ijazah dan Diploma akan menerima kenaikan gaji daripada RM1000 kepada RM1400 melibatkan 93 orang dan bagi kelulusan STPM dan SPM akan dinaikkan kepada RM1100 daripada RM800 dan melibatkan 49 orang.

"Malah, pembantu sajian (tukang masak) yang bertugas di YPKT turut dipertimbangkan untuk mendapat kenaikan gaji daripada RM600 kepada RM900 dan melibatkan seramai 43 orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan 2012 Peringkat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Menurut Dato’ Haji Mazlan, perkara ini telah dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebajikan dan Kenaikkan Pangkat, pagi tadi.

"Ia akan dipanjangkan kepada Lembaga Pemegang Amanah YPKT yang dipengerusikan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

"Jika diluluskan, perjawatan dan kenaikan gaji baru ini akan dikuatkuasakan mulai Januari depan dan melibatkan penambahan peruntukan sebanyak RM220,800 oleh kerajaan negeri,” ujarnya.


Pemotong rumput tidak mahu anak warisi kemiskinan

Oleh: Aida Abd Rahman

"Saya tekad untuk memastikan anak-anak tidak mewarisi kemiskinan hidup akibat tiada pelajaran seperti saya.

“Kelulusan akademik yang baik dan cemerlang amat penting untuk mengubah nasib hidup seseorang serta mendapat pekerjaan yang baik, malah perkara itu juga yang selalu saya ingatkan kepada semua anak-anak,” kata Encik Kamarul Zaman Mohd Saud, 43, yang ditemui selepas menemani dua anaknya di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Exxonmobil 2013, di Taman Tamadun Islam, semalam.

Dua anak Kamarul Zaman, Mohd Amirul Iskandar, 13, dari Sekolah Menengah Mak Lagam, dan Mohd Haiqal Azreen, 11, dari Sekolah Kebangsaan Seri Gelugor, terpilih antara 264 pelajar yang cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah seluruh Terengganu.

Kamarul Zaman dari Perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Darat Kolam, Kertih bersyukur kerana kedua-dua anaknya terpilih memenangi anugerah tahunan anjuran ExxonMobil pada kali ini, sekaligus menyifatkan pengiktirafan itu sebagai membuka jalan untuk anak-anaknya berusaha lebih gigih dalam pelajaran serta mencipta lebih banyak kejayaan.

Beliau yang hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM1,000 sebulan termasuk elaun, tidak pernah kesal dengan suratan hidupnya, sebaliknya menjadikan kekurangan sebagai perangsang dan wujud rasa insaf untuk memastikan kesemua anaknya berjaya dalam hidup.

“Saya langsung tidak bersekolah, manakala isteri, Wan Zalia Wan Mohamed, 35, pun hanya belajar hingga Tingkatan Tiga. Bagaimanapun, kami sentiasa memberi perangsang kepada enam anak yang berusia 14 hingga dua setengah tahun supaya memberi tumpuan dan rajin belajar, selain patuh pada suruhan agama.

“Saya tidak mampu menyediakan kemewahan harta dan wang ringgit, tetapi dengan tulang empat kerat ini saya bekerja dan berusaha menyediakan segala keperluan kami anak-beranak terutamanya untuk pelajaran mereka mengikut kemampuan,” katanya.

Anak sulung pasangan itu turut memperolehi 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dua tahun lalu dan kini bersekolah di Kolej Ilmu Permodalan Nasional Berhad, Nilai.

Kedua-dua anak Kamarul terpilih menerima anugerah berkenaan, berdasarkan kecemerlangan peperiksaan sepanjang tahun, aktif dalam kurikulum dan kepimpinan di sekolah masing-masing.

Seramai 264 pelajar cemerlang di kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Terengganu menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF) 2013.

Hadiah disampaikan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong. Daripada jumlah itu, 120 pelajar Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatn Satu hingga Tiga (RM700), manakala pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).


Sultan Terengganu berkenan rasmi TEMCO 2013

Oleh: Aida Abd Rahman 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Seminar Pengendalian Eko Pelancongan dan Marin Pelancongan Peringkat Antarabangsa (TEMCO 2013), di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 18 November ini.

Program kali keempat selama dua hari bermula 18 November itu anjuran Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia Terengganu.

Pengerusi TEMCO 2013, Encik Alex Lee Yun Ping, berkata, seminar kali ini ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan sektor pelancongan di negeri ini khususnya dan membincangkan idea-idea praktikal serta mencari penyelesaian yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam sektor eko pelancongan dan marin pelancongan.

“TEMCO kali keempat ini memfokuskan program yang lebih relevan berkaitan eko dan marin pelancongan di mana peserta terdiri daripada individu yang berkait rapat dengan sektor pelancongan antaranya penggiat-penggiat industri pelancongan.

“Peserta juga terdiri dari kalangan pemnadu pelancong, pengusaha-pengusaha produk pelancongan, pelajar, tenga pengajar dan wakil kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, seminar itu sebagai satu insiatif penganjur bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dalam sektor eko dan marin pelancongan di rantau ini.

Beliau berkata, persidangan itu juga membolehkan penggiat pelancongan dan penjawat awam berfikir mengenai sektor itu, selain melahirkan komuniti yang berfikir secara mampan pelancongan serta menggalakkan komuniti menceburi bidang itu dengan menyediakan `homestay’ dan `kampungstay’.

 

Terengganu bantu ECERDC usaha PPITK

Oleh: Suriati Ali

 Terengganu bersedia membantu Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pantai Timur (ECERDC) memajukan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ternakan Kambing (PPITK), di Kuala Berang yang dijangka awal tahun depan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kerajaan negeri serius membantu membangunkan projek itu kerana menyedari mampu memberi peluang kepada petani generasi baru menambah pendapatan melalui penggunaan teknologi terkini.

 “ Satu lagi projek pertanian yang penting di Terengganu, Taman Bio Herba Pasir Raja yang diwujudkan semata-mata untuk penanamanan 10 jenis herba bernilai tinggi seperti mengkudu, hempudu bumi, tongkat ali, dukung anak, misai kusing halia bara, gaharu, roselle dan kacip Fatimah.

“Penanaman herba itu untuk menyokong industri hiliran yang melibatkan makanan dan minuman halal serta bahan farmasiutikal,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 Katanya, pihak kami yakin industri itu mampu dimajukan kerana petani tempatan sememangnya berpengalaman dengan selok belok tanaman herba.

“Secara langsung, golongan itu boleh mengambil peluang ini melibatkan diri dalam perdagangan secara kecil-kecilan untuk industri hiliran berkaitan,” katanya.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, ECERDC turut memperkenalkan program empower ECER kerana menyedari kepentingan pembangunan modal insan yang berkualiti dalam memenuhi kehendak pelabur selain memenuhi pemintaan masyarakat berpendapatan rendah.

 “Melalui program itu, pelbagai aspek dapat dibantu, termasuk berkaitan akademi pelajar; kemahiran , keusahawanan golongan dewasa, suri rumah dan ibu tunggal dan projek agropolitan Besut-Setiu,” katanya

 

Usah terlalu harapkan bantuan orang lain-Mohd Jidin.

Mohd Jidin..kerja lebih kuat.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Ahli Dewan Undangan (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee mahu penduduk di daerah ini bekerja lebih kuat untuk menjamin masa depan yang lebih baik tanpa mengharapkan bantuan orang lain semata-mata.

“Terimalah apa yang rezeki Allah beri dan bekerjalah dengan penuh kesabaran maknanya kita kena bekerja , kita kena jaga kita, bukan hanya mengharapkan bantuan daripada orang lain. Kita hendaklah bersedia menghadapi masa depan yang semakin mencabar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Barisan Nasioanal akan terus memberi bantuan kepada penduduk negeri ini selagi kerajaan mampu berbuat demikian.

“Sekiranya kerajaan masih kuat, kita akan terus membantu tetapi pada masa depan kita tidak tahu, keadaannya lebih mencabar, oleh itu kita hendaklah bekerja lebih kuat bagi menjamin masa depan diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jidin berkata, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) perlu mengadakan mesyuarat lebih kerap untuk mempastikan segala permasalahan di peringkat kampung dapat diselesaikan.

Menurutnya, Pengerusi JKKK hendaklah merancang mesyuarat sekali seminggu supaya setiap AJK dapat mengemuka cadangan-cadangan yang boleh membantu memajukan kampung dan menyelesaikan permasalahan penduduk.

“JKKK perlu mengadakan mesyuarat lebih kerap, kalau boleh seminggu sekali untuk mengenalpasti segala permasalah penduduk. Setiap JKKK perlu bekerja lebih kuat supaya setiap penduduk di kawasan masing-masing sentiasa terbela,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Dana Wang Ehsan di sini, semalam.

 

POCPMT anjur Hari Tongkat Putih

Oleh: Suriati Ali 

 Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Terengganu (POCPMT) akan menganjurkan Hari Tongkat Putih (HTP) Antarabangsa peringkat negeri di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, 18 November ini.

 `Goodies’ yang mengandungi pelbagai risalah HTP akan diagihkan ahli-ahli pertubuhan POCPMT bersama-sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Mahdi Musa pada hari berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan itu, Encik Mohamad Nasir Malek, berkata pihaknya berbesar hati menganjurkan program itu kerana mahu memupuk kesedaran orang ramai terutama pengguna jalan raya agar peka tentang keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).

 “Memenuhi peruntukan yang terdapat di dalam akta OKU 2008 yang menetapkan golongan itu mempunyai hak seperti orang normal terhadap pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan mahu pun swasta.

 “Program HTP cukup bermakna bagi OKU penglihatan kerana mampu memupuk kesedaran pengguna jalan raya supaya sentiasa bersikap prihatin dan berbudi bahasa,” katanya.

 

Pulau peranginan ditutup mulai November




Kesemua aktiviti pelancongan di pulau peranginan di Terengganu dihentikan awal bulan lepas berikutan musim tengkujuh yang mula melanda negeri ini ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata lazimnya operasi di pulau ditutup selama empat bulan mulai pertengahan Oktober.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan bersama pengusaha chalet, resort dan pengusaha bot khasnya di Pulau Redang dan Pulau Perhentian bagi memaklumkan dan membincangkan perkara berkenaan.

"Kebanyakan pengusaha telah mula membuat persediaan kerana setiap tahun musim tengkujuh akan bermula pada akhir Oktober hingga awal Januari atau Februari depan.

"Namun sebahagian telah mula menutup operasi dan hanya menerima tempahan tertentu atau dalam kuantiti yang sedikit sahaja," katanya.

Dato' Mohd Jidin berkata segala aktiviti pelancongan akan ditangguhkan dan dalam tempoh itu pengusaha chalet dan resort melakukan kerja pengubahsuaian tempat penginapan.



Beliau berkata pelancong juga sedia maklum keadaan cuaca pada musim tengkujuh di negeri ini namun dijangkakan kehadiran pelancong tetap bertambah kerana mereka juga mempunyai alternatif lain untuk melawat negeri ini.

 "Di Terengganu, pelancong boleh memilih untuk ke tempat menarik lain seperti Tasik Kenyir yang dibuka setiap masa kepada pelancong untuk bertandang ke Terengganu," katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri menyasarkan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.

Malah mengikut statistik, kehadiran pelancong ke negeri ini semakin bertambah dari setahun ke setahun, iaitu pada 2011, jumlah pelancong yang mengunjungi Terengganu ialah 3.17 juta berbanding hanya 2.82 juta pada 2010.

 Pada 2012, jumlah itu meningkat kepada 3.38 juta dan sehingga Jun 2013, kehadiran pelancong yang direkodkan adalah 1.862 juta pelancong.





UMT raih 14 pingat

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mencipta nama dalam bidang penyelidikan apabila meraih 14 pingat pada Pameran Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang bermula 7 Nov dan berakhir semalam.

 Sebanyak 12 daripada 15 penyelidik UMT dari pelbagai bidang kajian yang menyertai pameran itu berjaya merangkul empat pingat emas, enam perak dan empat gangsa.

Menurut kenyataan UMT semalam , pemenang pingat emas Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata melalui pameran itu, peserta berpeluang bertemu pengunjung yang berpotensi menjadi rakan usahawan selain mengeratkan hubungan sesama universiti.

 Beliau meraih pingat emas bagi penyelidikan 'Wave Energy System for Electricity Power Generations' dan berkata projek itu adalah untuk mengkaji arus bagi menghasilkan tenaga melalui ombak.

Mohd Zamri berkata antara perancangan masa depan bidang kajian itu ialah untuk menjadi hab penghasilan tenaga bagi bot nelayan pesisir pantai.

 "Jika dapat direalisasi, bot nelayan boleh menggunakan tenaga ombak sebagai bahan alternatif menggantikan minyak bagi menjimatkan kos menangkap ikan," katanya.

 Sementara itu, Dr Dara Aisyah H.M Ali Puteh pula meraih dua emas bagi penyelidikan 'Application of hydroxyapatite product from fishbone wastes of crackers processor for water filter in coastal community Kuala Terengganu' dan 'Rest of bone fish processing fish fillet entrepreneurs for making chocholate product hydroxyapatite wife works for alternative wife in coastal marine fishing in Kuala Terengganu'.

Beliau berkata projek pertama ialah untuk menghasilkan alat penapis air yang boleh memenuhi keperluan komuniti dalam produk halalan toyyiban.

 "Dengan penyelidikan ini, satu penapis air hidroksiapatit yang menghasilkan air kalsium 1.47 dan alkaline dengan ph 10.3 sangat berkualiti dan satu-satunya produk organik untuk kesihatan bagi semua umat Islam di seluruh dunia," katanya.

 Projek penyelidikan kedua pula bertujuan memenuhi keperluan umat Islam terhadap coklat kalsium organik, yang juga halalan toyyiban, selain mampu menguatkan gigi dan tulang serta mengurangkan lemak.

 "Produk ini merupakan satu-satunya produk di dunia yang bersumber dari sisa tulang ikan pemprosesan keropok lekor di Terengganu," katanya.

Penyelidik lain yang meraih pingat emas ialah Prof Madya Dr Wan Mohd Khairul Wan Mohamed Zin manakala pingat perak dirangkul Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid, Prof Madya Dr Zaleha Kassim, Prof Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini dan Prof Madya Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa (dua penyertaan).

Pingat gangsa diraih Prof Madya Dr Mohd Pouzi Hamzah, Prof Madya Dr Noor Maizura Mohamad Nor, Dr Mustafa Man dan Dr Wahizatul Afzan Azmi.

10 November 2013

Penduduk Pulau Redang Terima Wang Ehsan.

Terima..seorang warga emas mengecop jari sebelum terima wang.
Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Demi tugas, Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman bersama beberapa kakitangan Pejabat Daerah Setiu serta anggota Keselamatan hadir ke Pulau Redang untuk menyampaikan wang ehsan walaupun terpaksa berhadapan dengan kemungkinan laut bergelora berikutan musim tengkujuh sekarang ini.

Namun, perkara yang baik itu tentunya akan mendapat balasan yang baik dari Allah s.w.t. Di hari pembahagian wang ehsan di Pulau Redang itu, cuaca begitu baik malah laut juga tenang walaupun beberapa hari sebelum hari itu hujan berterusan di daratan.

Salam..Bazlan bersalaman dengan penduduk.
Pembahagian Bantuan Wang Ehsan Dana Raya 2013 Peringkat Dun Batu Rakit bagi Zon Pulau Redang itu diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, semalam (9.11.2103).

Seramai 235 penduduk Kampung Baru Pulau Redang menerima wang yang bernilai keseluruhan RM68,400.00 dan rata-rata penduduk termasuk Rohaya Mat Diah, 51 dan Lengah Ibrahim, 68, gembira menerima bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional itu bagi meringankan bebanan mereka membeli pelbagai keperluan harian. 

Sementara itu, Bazlan berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan dan terima kasih kepada semua penduduk Pulau Redang yang setia mengundi Barisan Nasional
Tunggu..sebahagian penerima wang ehsan.
Hadir..Bazlan bersama wakil Pegawai Daerah (kanan).