Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Seminar Pengendalian Eko Pelancongan dan Marin Pelancongan Peringkat Antarabangsa (TEMCO 2013), di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu pada 18 November ini.
Program kali keempat selama dua hari bermula 18 November itu anjuran Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia Terengganu.
Pengerusi TEMCO 2013, Encik Alex Lee Yun Ping, berkata, seminar kali ini ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan sektor pelancongan di negeri ini khususnya dan membincangkan idea-idea praktikal serta mencari penyelesaian yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam sektor eko pelancongan dan marin pelancongan.
“TEMCO kali keempat ini memfokuskan program yang lebih relevan berkaitan eko dan marin pelancongan di mana peserta terdiri daripada individu yang berkait rapat dengan sektor pelancongan antaranya penggiat-penggiat industri pelancongan.
“Peserta juga terdiri dari kalangan pemnadu pelancong, pengusaha-pengusaha produk pelancongan, pelajar, tenga pengajar dan wakil kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, seminar itu sebagai satu insiatif penganjur bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dalam sektor eko dan marin pelancongan di rantau ini.
Beliau berkata, persidangan itu juga membolehkan penggiat pelancongan dan penjawat awam berfikir mengenai sektor itu, selain melahirkan komuniti yang berfikir secara mampan pelancongan serta menggalakkan komuniti menceburi bidang itu dengan menyediakan `homestay’ dan `kampungstay’.