Halaman

16 November 2013

Petang Jumaat di Pantai 'Airport'.

Damai...pemandangan indah Pantai Teluk Ketapang.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

KUALA TERENGGANU: Berkunjung ke Pantai Teluk Ketapang (PTK) atau lebih popular di kalangan penduduk tempatan sebagai 'Pantai Airport' anda akan terpikat dengan keindahan suasana di kawasan itu terutamanya pada hari Jumaat kerana pelbagai kegiatan dilakukan oleh pengunjung. 

Selain datang untuk menikmati keindahan pantai, pengunjung juga berpeluang menjengah ke sebuah Pasar Malam yang diadakan di berhampiran pantai itu dengan memilih pelbagai jenis barangan dan makanan untuk dibawa pulang.

Jamu..kedai makanan laut disediakan.
Di Pantai Teluk Ketapang juga, orang ramai boleh memilih beberapa kedai makanan laut untuk menjamu selera terutamannya untuk menikmati makanan seperti ikan goreng, sotong goreng, pisang goreng dan air kelapa muda.

Bagi yang mahu bersantai, pantainya yang landai dan putih bersih sesuai untuk beristirehat sambil melihat pemandangan indah Laut China Selatan yang terdapat beberapa pulau yang jelas kelihatan, antaranya ialah Pulau Kapas dan Pulau Bidong.

Dari jauh juga, pengunjung dapat melihat bandar Kuala Terengganu iaitu beberapa bangunan tinggi yang terletak di tepi muara sungai Terengganu.

Jual..Pasar malam setiap petang jumaat.
Pantai yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud itu juga menyediakan khidmat menaiki kuda padi dan jualan layang-layang khususnya untuk kanak-kanak.

Di Pantai ini juga sering diadakan pelbagai aktiviti dan sambutan hari Keluarga dari agensi kerajaan dan swasta.

Pada petang Jumaat, pantai ini bukan sahaja dikunjungi penduduk berhampiran malah penduduk dari daerah-daerah lain yang berhampiran Kuala Terengganu juga turut hadir untuk menikmati keindahannya selain pelancong asing.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar pada petang Jumaat di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu:-
Saujana..suasana petang di PTK
Berhati-hati..kanak-kanak bermain air di gigi pantai.
Rimbun..pohon ru mengindahkan suasana.
Santai..sekumpulan anak muda bersantai di pantai.
Bersih..bilik solat dan tandas awam disediakan.
Menarik...layang-layang turut dijual.
Penuh...kenderaan penuh di kiri kanan jalan.
Jauh..beberapa bangunan bandar Kuala Terengganu dapat dilihat.