Halaman

10 November 2013

JPNT yakin sisipan akhbar pendidikan bantu pelajar

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yakin sisipan pendidikan dalam akhbar dapat membantu meningkatkan mutu akademik pelajar disamping dapat membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran di negeri ini.

Pengarahnya, Zakaria Hussin berkata sisipan pendidikan dalam akhbar dapat memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir dengan lebih meluas selain meningkatkan sumbangan daripada sektor swata dalam pendidikan.

"Sisipan pendidikan seperti dalam akhbar Berita harian, iaitu Skor, Didik, Minda serta Varsiti sangat bermanfaat kepada guru dan pelajar untuk berbincang dan meningkatkan kemahiran melalui latihan yang dibuat dalam kelas menggunakan bahan tersebut.

"Terdapat juga ruang yang menonjolkan kemahiran dan akademik pelajar dalam sisipan pendidikan tersebut yang mana ia secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada pelajar," katanya dalam ucapan sempena Majlis Sembang Pendidik di Permai Inn, hari ini.

Program anjuran Berita Harian itu disertai seramai 100 orang pengetua dan guru besar dari 100 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Terengganu.

 Zakaria berkata, pihaknya juga menggalakkan sekolah-sekolah agar melanggan akhbar untuk diedarkan di sekolah - sekolah bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

Salah seorang pengetua, Rokiah Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Razali Ismail, Batu Rakit berkata sisipan pendidikan dalam akhbar sememangnya memberi impak positif dan sangat membantu dalam pembelajaran.

"Ruang pendidikan yang menyediakan soalan-soalan sangat bermanfaat bagi pelajar dan ianya adalah sebagai satu bahan tambahan kepada pelajar terutamanya bagi pelajar yang menduduki peperiksaan besar seperti Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 "Sekolah kami mendapat tajaan dari Yayasan Di Raja Sultan Mizan (YDSM), yang mana lebih dari lima tahun YDSM memberikan akhbar Berita harian kepada kami secara percuma dan ia sememangnya dimanfaatkan oleh pelajar sepenuhnya," katanya.

Rokiah berkata, generasi sekarang kurang membeli akhbar kerana mereka lebih berminat untuk mencari maklumat melalui laman sesawang, namun dengan adanya langganan dan tajaan akhbar di sekolah-sekolah secara percuma kepada pelajar, ianya dapat menarik minat pelajar untuk menggunakan bahan tersebut disamping menambah ilmu pengetahuan melalui soalan dan latihan terkini yang disediakan dalam akhbar.