Halaman

14 November 2013

Terengganu 12 kali menduduki carta pertama UPSR

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan apabila merekodkan keputusan terbaik dan berjaya menduduki carta pertama dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi seluruh negeri yang diumumkan serentak, hari ini.
Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A turut meningkat sebanyak 0.78 peratus, iaitu daripada 13.22 peratus pada tahun lalu kepada 14.00 peratus pada kali ini.

"Saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana tahun ini merupakan kali ke-12 Terengganu menduduki carta pertama dalam UPSR.

"Tahun lepas kita agak malang sedikit kerana keputusan UPSR merosot dan jatuh nombor dua, tetapi alhamdulillah berkat kesungguhan pelajar dan kerjasama semua pihak kita berjaya kembali menduduki carta terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Mesra Menteri Besar Bersama PIBG Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, kemaman, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri mengadakan banyak program untuk melihat anak-anak Terengganu kekal cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan peringkat yang lebih tinggi termasuk mengadakan kelas tuisyen, kursus motivasi dan sebagainya.

"Setiap tahun lebih RM300 juta kerajaan negeri peruntukan perbelanjaan untuk bidang pendidikan di negeri ini dan Terengganu merupakan antara negeri yang paling tinggi memperuntukan bajet untuk tujuan tersebut,” ujarnya.

Katanya, secara peribadi beliau masih lagi belum berpuas hati dengan pencapaian UPSR pada kali ini walaupun masih ada dua kali peperiksaan UPSR sebelum dimansuhkan.

"Di bawah program 201052, kerajaan negeri mensasarkan 20 peratus calon UPSR mencapai semua A. Tetapi tahun ini 14 peratus sahaja. Walaupun terbaik tetapi masih belum mencapai target yang kita harapkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar cemerlang, ibu bapa, guru-guru, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta semua pihak yang bertanggungjawab memastikan Terengganu terus mengungguli keputusan UPSR antara seluruh negeri pada kali ini.