Halaman

16 November 2013

Pameran TIIAF mampu kembangkan seni khat Islam

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Sekiranya Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) dapat diketengahkan menjadi medan seni khat dan dianjurkan secara konsisten saban tahun, saya yakin Malaysia berpotensi melahirkan pakar-pakar seni khat bertaraf dunia,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Dato' Seri Jamil Khir Baharom memalu geduk gimik perasmian Terengganu International Islamic Arts Festival di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Menurut beliau, dengan adanya ruang pameran yang sebegini secara tidak langsung, anak-anak yang mempelajari seni khat di sekolah dapat menjadikannya sebagai medan dan ruang untuk menonjolkan bakat mereka.

Melihat hasil khat yang dihasilkan peserta jemputan dari luar negara.
“Di peringkat sekolah, para pelajar telah diperkenalkan dengan penulisan khat dan pameran ini mampu menjadi platform terbaik untuk mereka mencurahkan idea masing-masing.

“Begitu juga penggiat seni khat di Malaysia, mereka mempunyai potensi dan kepakaran dalam penulisan khat, cuma tiada ruang untuk mempamerkan kebolehan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, hari ini.


Katanya, Terengganu mempunyai kemudahan bertaraf dunia dalam penganjuran pameran ini dan beliau mencadangkan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan agar TIAFF menjadi medan seni khat sekali gus mampu melahirkan penggiat seni khat bertaraf dunia dari negara ini.

Mengulas mengenai festival seni khat bertaraf antarabangsa itu beliau berkata, kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengembangkan seni khat Islam.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan pihak penganjur. Sebenarnya, seni khat Islam itu begitu luas dan begitu besar peranannya sehingga pakar-pakar khat terkenal termasuk daripada Mesir, Iran serta Turki sudi hadir memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman mereka.

"Malah, penganjur bersama pameran ini iaitu Research Institute of Islamic History Art and Cultur (IRCICA) mempamerkan kesungguhan yang begitu tinggi mengumpulkan penggiat-penggiat seni khat di seluruh dunia untuk bersama pada festival kali ini,” katanya.

Tambah beliau, festival ini bukan sahaja mempamerkan lambang kesenian Islam sekali gus melebarkan lagi ruang ekonomi yang boleh dikembangkan melalui penulisan seni khat.

Katanya, pengunjung TIIAF 2013 yang kali ketiga dianjurkan melangkaui bangsa dan juga agama menunjukkan satu perkembangan yang positif kerana penulisan seni khat tidak terbatas kepada orang Islam sahaja.

“Mungkin banyak dilihat penulisan khat ditulis menggunakan ayat-ayat al-Quran, tetapi terdapat juga tulisan-tulisan jawi bukan ayat al-Quran yang boleh ditulis dalam bentuk khat sekali gus dapat mengembangkan lagi jawi dalam konteks penulisan,” ujarnya.