Halaman

10 November 2013

Kes demam denggi di Terengganu menurun

Kes demam denggi bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini di Terengganu mencatat penurunan sebanyak 34.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2012.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Kesihatan Awam, Dr Mohd Jusoh berkata hanya 439 kes direkod setakat ini berbanding 671 pada tahun lepas.

 "Daripada jumlah itu 397 kes adalah demam denggi dan 42 kes demam denggi berdarah.

"Secara keseluruhannya semua daerah menunjukkan penurunan kes demam denggi kecuali di Setiu yang menunjukkan peningkatan 110 peratus," katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi penguatkuasaan Ops Gempur Aedes Peringkat Negeri Terengganu di sekitar Kuala Ibai, semalam.

Kira-kira 200 sukarelawan dan anggota penguatkuasa kesihatan melakukan pemeriksaan di tujuh kampung sekitar Kuala Ibai bagi menangani masalah kes demam denggi yang berlaku di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Antara agensi yang turut terlibat ialah Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Kolej Jururawat, Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit dan penduduk Kuala Ibai.

Beliau berkata, penurunan kes demam denggi itu adalah kejayaan besar hasil keprihatinan masyarakat yang memberi kerjasama baik terhadap semua aktiviti yang dianjur jabatan.

"Ia juga membuktikan keberkesanan 110 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) dalam mencegah dan mengawal kes denggi di seluruh Terengganu," katanya.

Katanya, masyarakat bagaimanapun dinasihatkan tidak leka dengan kadar penurunan itu kerana kes demam denggi boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila sahaja jika kebersihan persekitaran diabaikan.