Kejohanan Piala Monsun 2013 (KMC13) akan membuka tirai dengan acara Liga Layar Malaysia di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang bermula 15 hingga 18 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata selesai acara empat hari itu, Piala Monsun 2013 akan mengambil tempat selama enam hari, bermula pada 25 November dan berakhir 30 November.
“Sehubungan itu, Mesyuarat Penyelarasan KMC13 Peringkat Negeri Terengganu pada 30 Oktober lalu menetapkan atur cara sepanjang program yang turut membabitkan penglibatkan pelbagai agensi swasta dan kerajaan.
“Pada masa yang sama, acara sampingan turut diadakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (28 hingga 30 November) dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (29 hingga30 November),” katanya kepada Teganukita, hari ini.
Katanya, pembukaan KMC13pada 25 November (Isnin), jam 2 petang, manakala penutup KMC13 pula pada 30 November, jam 5 petang.
Dato Mohd Jidin berkata, sejurus merasmikan pembukaan KMC13, turut diadakan Pertandingan Coronation Cup, kira-kira jam 3 petang sebelum penyampaikan hadiah kepada pemenang dua jam kemudian.