Halaman

12 November 2013

Klinik Oftalmologi KTS dilancar 10 November

Oleh: Aida Abd Rahman

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) melancarkan perkhidmatan baru, Klinik Oftalmologi, bermula 10 November (Ahad) lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Puan Zawiah Shariff, berkata perkhidmtan terbaru itu akan dikendalikan Dr Azhar Zainuddin sebagai pakar perunding pelawat hospital.

"Klinik mata ini akan mengendalikan masalah penyakit mata dan gangguan yang lazim seperti mata merah, mata sakit, mata gatal, sindrom penglihatan komputer,jangkitan dan virus,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Puan Zawiah berkata, klinik ini akan dilengkapi dengan kemudahan laser dan peralatan terkini mikroskopik untuk kedua-dua pemeriksaan dan pembedahan.

Katanya, klinik berkenaan juga akan menyediakan perkhidmatan optometri seperti prosedur rawatan refraktif am dan lanjutan, prosedur penilaian penglihatan warna dan pengurusan untuk merawat sindrom mata kering.

Menurutnya, menerusi teknologi seni dan sokongan oleh pasukan paramedik yang terlatih dan jururawat, klinik mata KTS itu akan dapat melakukan pembedahan untuk merawat glaukoma dan katarak.

“Perkhidmatan lain yang disediakan adalah prosedur lasik dengan tepat dan pembedahan okular -plastik untuk mewujudkan kelopak mata dua kali ganda dan membetulkan kelopak mata longgar.

“Dengan pembukaan klinik ini, KTS kini berupaya memberikan perkhidmatan rawatan mata yang komprehensif kepada pesakit di Terengganu, khususnya di Kuala Terengganu," katanya.

KTS merupakan satu daripada hospital swasta milik TDM Berhad, selain hospital lain yang bernaung di bawah TDM Kuantan Medical Centre (KMC), Kuantan, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan TDMC, Kuala Lumpur.