Halaman

12 November 2013

Kerjasama strategik lonjak kecemerlangan pendidikan Terengganu : Zakaria

Oleh: Aida Abd Rahman, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (Pelatih)

Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Syarikat ExxonMobil berupaya memberi nilai tambah dan melonjak kecemerlangan bidang pendidikan di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin.

 “Terima kasih juga kepada ExxonMobil khususnya Puan Fatimah Merican (Pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia) kerana sentiasa memberikan peluang dan kepercayaan melaksanakan pelbagai program di Terengganu supaya negeri ini terus maju dalam pendidikan.

“Usaha ini nyata memberi impak tersendiri terhadap perkembangkan sebahagian besar pelajar, selain mengetengahkan potensi pelajar kita termasuk menggilap penguasaan bahasa English. Malah, saya berharap sumbangan ini berterusan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2013, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir bagi  merasmi dan menyampaikan hadiah kecemerlangan itu, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia merangkap Pengerusi Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF), Puan Fatimah Merican.

Encik Zakaria berkata, anugerah kecemerlangan berdasarkan skor dan pencapaian peperiksaan sepanjang tahun itu merupakan satu penghargaan kepada pelajar seluruh negeri supaya terus menjadikan ganjaran itu sebagai pembakar semangat berjaya dalam pendidikan.

“Sudah lama program ini dilaksanakan di Terengganu sekaligus membuktikan komitmen padu ExxonMobil untuk mengiktiraf pelajar cemerlang di negeri ini.

 “Terima kasih tidak terhingga kepada ExxonMobil kerana sentiasa memberi sumbangan terbesar bagi menjayakan program demi kemajuan pendidikan negara. Selain itu, ucapan tahniah juga kepada anak-anak serta ibu bapa yang berjaya memberi didikan dan perhatian kepada anak-anak kita sehingga bukan sahaja cemerlang dalam kokurikulum, akademik dengan mendapat keputusan yang terbaik, malah turut merangkumi sahsiah peribadi,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan program ExxonMobil seperti A Moment In English pada saban tahun sejak 2001 lagi, turut membolehkan pelajar berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan baik, berani mengetengahkan idea yang kreatif untuk menggilap bakat dan bersedia bertanding di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Di majlis itu, seramai 264 pelajar cemerlang di kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Terengganu menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan EMESF 2013. 

Daripada jumlah itu, 120 pelajar Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga (RM700), manakala pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).