Mohd Jidin..kerja lebih kuat. |
BANDAR PERMAISURI: Ahli Dewan Undangan (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee mahu penduduk di daerah ini bekerja lebih kuat untuk menjamin masa depan yang lebih baik tanpa mengharapkan bantuan orang lain semata-mata.
“Terimalah apa yang rezeki Allah beri dan bekerjalah dengan penuh kesabaran maknanya kita kena bekerja , kita kena jaga kita, bukan hanya mengharapkan bantuan daripada orang lain. Kita hendaklah bersedia menghadapi masa depan yang semakin mencabar,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Barisan Nasioanal akan terus memberi bantuan kepada penduduk negeri ini selagi kerajaan mampu berbuat demikian.
“Sekiranya kerajaan masih kuat, kita akan terus membantu tetapi pada masa depan kita tidak tahu, keadaannya lebih mencabar, oleh itu kita hendaklah bekerja lebih kuat bagi menjamin masa depan diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jidin berkata, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) perlu mengadakan mesyuarat lebih kerap untuk mempastikan segala permasalahan di peringkat kampung dapat diselesaikan.
Menurutnya, Pengerusi JKKK hendaklah merancang mesyuarat sekali seminggu supaya setiap AJK dapat mengemuka cadangan-cadangan yang boleh membantu memajukan kampung dan menyelesaikan permasalahan penduduk.
“JKKK perlu mengadakan mesyuarat lebih kerap, kalau boleh seminggu sekali untuk mengenalpasti segala permasalah penduduk. Setiap JKKK perlu bekerja lebih kuat supaya setiap penduduk di kawasan masing-masing sentiasa terbela,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Dana Wang Ehsan di sini, semalam.