Halaman

11 November 2013

UMT raih 14 pingat

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mencipta nama dalam bidang penyelidikan apabila meraih 14 pingat pada Pameran Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang bermula 7 Nov dan berakhir semalam.

 Sebanyak 12 daripada 15 penyelidik UMT dari pelbagai bidang kajian yang menyertai pameran itu berjaya merangkul empat pingat emas, enam perak dan empat gangsa.

Menurut kenyataan UMT semalam , pemenang pingat emas Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata melalui pameran itu, peserta berpeluang bertemu pengunjung yang berpotensi menjadi rakan usahawan selain mengeratkan hubungan sesama universiti.

 Beliau meraih pingat emas bagi penyelidikan 'Wave Energy System for Electricity Power Generations' dan berkata projek itu adalah untuk mengkaji arus bagi menghasilkan tenaga melalui ombak.

Mohd Zamri berkata antara perancangan masa depan bidang kajian itu ialah untuk menjadi hab penghasilan tenaga bagi bot nelayan pesisir pantai.

 "Jika dapat direalisasi, bot nelayan boleh menggunakan tenaga ombak sebagai bahan alternatif menggantikan minyak bagi menjimatkan kos menangkap ikan," katanya.

 Sementara itu, Dr Dara Aisyah H.M Ali Puteh pula meraih dua emas bagi penyelidikan 'Application of hydroxyapatite product from fishbone wastes of crackers processor for water filter in coastal community Kuala Terengganu' dan 'Rest of bone fish processing fish fillet entrepreneurs for making chocholate product hydroxyapatite wife works for alternative wife in coastal marine fishing in Kuala Terengganu'.

Beliau berkata projek pertama ialah untuk menghasilkan alat penapis air yang boleh memenuhi keperluan komuniti dalam produk halalan toyyiban.

 "Dengan penyelidikan ini, satu penapis air hidroksiapatit yang menghasilkan air kalsium 1.47 dan alkaline dengan ph 10.3 sangat berkualiti dan satu-satunya produk organik untuk kesihatan bagi semua umat Islam di seluruh dunia," katanya.

 Projek penyelidikan kedua pula bertujuan memenuhi keperluan umat Islam terhadap coklat kalsium organik, yang juga halalan toyyiban, selain mampu menguatkan gigi dan tulang serta mengurangkan lemak.

 "Produk ini merupakan satu-satunya produk di dunia yang bersumber dari sisa tulang ikan pemprosesan keropok lekor di Terengganu," katanya.

Penyelidik lain yang meraih pingat emas ialah Prof Madya Dr Wan Mohd Khairul Wan Mohamed Zin manakala pingat perak dirangkul Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid, Prof Madya Dr Zaleha Kassim, Prof Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini dan Prof Madya Dr Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa (dua penyertaan).

Pingat gangsa diraih Prof Madya Dr Mohd Pouzi Hamzah, Prof Madya Dr Noor Maizura Mohamad Nor, Dr Mustafa Man dan Dr Wahizatul Afzan Azmi.