Halaman

14 November 2013

Jurang prestasi sekolah bandar dan luar bandar di Terengganu makin mengecil

Oleh: Aida Abd Rahman

Jurang pencapaian calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memperolehi semua A antara luar bandar dengan bandar di seluruh Terengganu semakin berkurangan daripada 5.46 peratus tahun lalu kepada 5.36 peratus tahun ini.

Pengarah JPNT, Encik Zakaria menunjukkan carta pencapaian UPSR pelajar Terengganu .
Pada tahun ini, pelajar bandar yang mendapat semua A mencapai 16.05 peratus, sementara pelajar luar bandar 10.69 peratus, iaitu perbezaan 5.36 peratus.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin, berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan di bandar dan luar bandar, masing-masing sebanyak 0.74 peratus dan 0.84 peratus.

“Ini bermakna, peningkatan pencapaian cemerlang bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu sebanyak 0.10 peratus.

 “Walau bagaimanapun peratusan calon yang mendapat pencapaian baik di bandar dan luar bandar, masing-masing menurun sebanyak 2.24 peratus dan 1.51 peratus,” katanya di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik zakaria berkata peningkatan pencapaian calon luar bandar juga dilihat melalui nilai Gred Purata (GP) yang mengurang sebanyak 0.04, manakala pelajar bandar kekal pada 2.16 dan jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar dirapatkan sebanyak 0.04 mata nilai GP.

"Dengan kesungguhan semua pihak khusus warga pendidik, kita berupaya merapatkan jurang antara luar bandar dengan bandar selaras dengan usaha dan hasrat kerajaan supaya akses pendidikan itu dapat disama ratakan antara kedua kawasan itu.

"Jika dulu, ramai mengatakan pelajar luar bandar ketinggalan, tetapi hari ini kita dapati sekolah kecil dengan bilangan pelajar yang kecil terletak di luar bandar mampu mencapai keputusan yang amat baik hasil pelbagai program dan usaha jitu warga pendidik, ibu bapa dan tenaga pengajar sendiri," katanya.

Menurutnya, bukan sahaja usaha yang bersungguh-sunguh, bantuan pelajaran dan kemudahan jaringan perhubungan yang baik dan tidak kurang hebatnya dengan kawasan bandar turut mempengaruhi peningkatan prestasi pelajar dan sekolah di luar bandar.