Halaman

13 November 2013

Ikhlaslah Sokong Kerajaan-Mohd Jidin.

Mohd Jidin...rakyat dapat faedah.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee mahu penduduk di daerah Setiu ikhlas memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional dan tidak hanya kepada waktu-waktu tertentu sahaja.

Menurutnya, beliau pelik dengan sikap segelintir penyokong kerajaan BN yang tiba-tiba menyokong parti pembangkang pada pilihan raya Umum ke 13 lalu sedangkan sebelum itu mereka semua sering kelihatan bersama BN.

Katanya, sikap kumpulan itu adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan perlu dihindarkan kerana mereka ini sebenarnya penyokong kerajaan tetapi oleh kerana sesuatu sebab, mereka tiba-tiba berpaling kepada pembangkang.

“Soalnya sekarang kita mahu membentuk kerajaan bagi membantu rakyat. Tak kanlah kerana mintak satu perkara dengan saya tidak dapat tetapi mintak 10 dapat terus tidak menyokong Barisan Nasional, ataupun kerana tidak berpuashati dengan Pengerusi JKKK.

“Saya nak mintak tolong ubah (sikap sedemikian), bersama-samalah kita berpakat menyokong Barisan Nasional kerana tiada parti lain di negara ini yang mampu memberi pelbagai kemudahan kerana rakyat selain Barisan Nasional,” katanya ketika berucap di Majlis Pembahagian Dana Raya di sini.

Mohd Jidin berkata, jika BN menang tentunya rakyat akan mendapat faedah kerana banyak kemudahan yang mereka akan dapat termasuklah pelbagai bentuk bantuan termasuklah wang ehsan, BR1M, bantuan pelajaran anak-anak, bantuan warga emas, bantuan OKU dan lain-lain. 

“Saya memintalah supaya orang Permaisuri ini, ikutlah orang ramai, kalau ramai yang menyokong barisan (BN), ikutlah barisan kerana ini memudahkan kita membaiki dan menguruskan rakyat dengan baik sebagai kerajaan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada seluruh penduduk Setiu kerana terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional sehingga mampu menang di kesemua empat Dewan Undangan Negeri dan satu parlimen dalam Pilihanraya Umum ke 13 Mei lalu.