Halaman

13 November 2013

Terengganu bakal jadi tuan rumah mesyuarat Perkim

Oleh: Suriati Ali 

Terengganu bakal menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Perkim Wanita Kebangsaan Ke-34, Mei tahun depan.

 Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita negeri, To’ Puan Patimah @ Kasma Mokhtar berkata, mesyuarat yang pertama kali diadakan di Terengganu itu akan menerima kunjungan seramai 250 perwakilan Perkim Wanita dari seluruh negara.

 "Mesyuarat ini akan berlangsung selama tiga hari dan kita percaya pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah amat bertepatan dengan pelbagai program berunsurkan Islamik yang telah diadakan di negeri ini," katanya pada satu majlis baru-baru ini.


Seramai 50 saudara baharu dari seluruh negeri menyertai ijtimak tersebut dalam usaha meningkatkan kefahaman Islam kepada golongan itu selain merapatkan hubungan silaturahim.

Sepanjang program itu, selain ceramah agama dan kekeluargaan, peserta turut didedahkan dengan solat berjemaah dan qiamullail.

 

16 pelumba Terengganu ke Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix

Oleh: Suriati Ali 

Pelumba sensasi, Mohd Azri Ahmad akan mengetuai 16 pelumba Terengganu ke Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan siri keempat di Negeri Sembilan mulai 15 hingga 17 Nov ini.

 Jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata sasaran Terengganu untuk mengekalkan kedudukan ranking terbaik dalam kategori lebuh raya lelaki dan ujian masa lelaki.

 Katanya, Mohd Azri sekarang menduduki tempat kedua terbaik kategori lebuh raya dengan mengumpul 28 mata manakala Mohd Badrol Hakimi Hamid di tempat pertama kategori junior ujian masa (50 mata).

"Pasukan itu akan menyertai kategori elit lelaki dan wanita, lelaki junior dan remaja bawah 16 tahun dan mereka juga bakal mewakili Terengganu pada SUKMA tahun depan," katanya

 Syed Mohd Hussaini berkata tiga pelumba wanita akan menggalas cabaran Terengganu dalam acara lebuh raya iaitu Sharifah Nur Eliana Syed Zulkifli, Nur Nadiah Ahmad dan Sarah Shafiqah Ab Shatai.

 

TH Terengganu agih RM121 ribu zakat pendidikan kepada 242 pelajar

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Tabung Haji (TH) Terengganu mengagihkan sebanyak RM121 ribu kepada 242 pelajar untuk zakat pendidikan melalui projek iqra' tahun ini.

Timbalan Pengarah TH Terengganu, Azillah Itam berkata, projek iqra' itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mensasarkan pelajar yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

"Program ini merupakan kali kedua diadakan oleh TH yang mana para pelajar telah dipilih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan seperti pelajar yang tidak berkemampuan dan tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin, dan turut melihat kepada pencapaian akademik pelajar.

"Setiap pelajar yang layak, menerima sumbangan berjumlah RM500 yang mana RM200 merupakan peralatan sekolah dan RM300 berupa wang tunai untuk perbelanjaan sekolah," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis penyampaian sumbangan projek iqra TH 2013 peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Azillah berkata, melalui projek iqra' ini juga sebanyak RM 1.4 juta diagihkan TH untuk 2,958 pelajar di seluruh negara tahun ini.

Selain projek iqra', TH juga turut melaksanakan beberapa program CSR yang lain antaranya projek ihsan yang menumpukan golongan asnaf warga emas, fakir miskin serta ibu tunggal serta projek aflat yang merupakan bantuan kesihatan kepada pesakit-pesakit kronik di seluruh negara serta projek baiti yang mana wang zakat diperuntukkan untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin.

 

12 November 2013

Iskandar rasmi majlis 4 sekolah petang tadi.

Iskandar sedang menyampaikan hadiah kepada seorang murid SK Kerandang.
Oleh: Aminudin Ismail. 

TUGAS sebagai Wakil Rakyat bukan sahaja berusaha membantu memajukan kawasannya dan menyelesaikan pelbagai penduduk tetapi memenuhi undangan majlis adalah antara tugas yang harus ditunaikan supaya hubungan antara wakil rakyat dan penduduk itu sentiasa akrab.

Iskandar..beri sokongan.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, minggu ini padat dengan jadualnya menghadiri majlis penyampaian hadiah di beberapa sekolah sekitar Dun Jabi malah petang tadi (12.11.2013), beliau sempat hadir di empat buah sekolah.

Antara sekolah yang menjemput beliau merasmikan majlis itu itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kerandang, SK Bukit Tempurong, SK Kuala Kubang dan SK Tempinis.

Iskandar mengharapkan setiap guru di Dun Jabi mempertingkat usaha supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, SPM dan STPM pada masa depan di Dun itu.
Mesra..Iskandar bersama guru sebuah sekolah.
Ramai...antara ibubapa yang hadir.

 

Norzulaikha Tokoh Murid SKCB 2013.

 Zulaika terima sijil penghargaan daripada Zaidin sambil diperhati Fadilaton (tengah).
Oleh Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sekalipun tidak tinggal bersama ibubapa, tidak menghalang, Nor Zulaikha Ahmad Iskandar dinobatkan sebagai Tokoh Murid 2013 Sekolah Kebangsaan Felda Chalok Barat (SKCB) di Majlis Graduasi Tahun 6 dan Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang sekolah itu, di dewan sekolah itu, dekat sini, hari ini.

Nor Zalaikha (tahun 6) yang tinggal bersama neneknya sejak tiga tahun lalu di Felda Chalok Barat itu adalah murid yang aktif dalam pelbagai bidang ko-akademik dan ko-kurikulum. Dia juga adalah murid cemerlang dalam akademik.

Hadir..antara ibubapa yang hadir.
Dalam majlis itu, seramai kira-kira 50 murid menerima hadiah kecemerlangan masing-masing dalam beberapa kategori, antaranya ialah kedudukan terbaik di dalam kelas, matapelajaran terbaik dan kehadiran terbaik.

Guru Besarnya, Fadilaton Mat Top dalam ucapanya, berkata, beliau berterima kasih kepada semua ibubapa yang hadir menjayakan majlis itu.

"Kehadiran tuan-tuan dan puan menunjukan adanya kecaknaan ibubapa kepada pendidikan anak-anak masing-masing, kalaulah anak-anak mereka nampak ibubapa mereka hadir pada hari ini betapa bangganya mereka.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua guru-guru yang menjayakan majlis ini," katanya.

Bergaya...Persembahan murid Pra-sekolah.
Majlis itu dirasmikan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Setiu (PPD) Setiu, Bahagian Pendidikan Islam, Zaidin Latif. Dalam ucapanya, Zaidin meminta ibubapa turut mengambil berat memberi pendidikan kepada anak-anak mereka dan tidak hanya mengharapkan guru-guru semata-mata. 

"Ibubapa tidak boleh lepas tangan,walaupun guru-guru berpeluh, mengajar mendidik tetapi Ibubapa tidak boleh lepas tangan terutamanya dalam pendidikan agama.

"Pada musim cuti sekolah nanti Ibubapa perlu memainkan peranan utama dalam pendidikan agama terutamanya solat terhadap anak-anak mereka," katanya.


Klinik Oftalmologi KTS dilancar 10 November

Oleh: Aida Abd Rahman

Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) melancarkan perkhidmatan baru, Klinik Oftalmologi, bermula 10 November (Ahad) lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Puan Zawiah Shariff, berkata perkhidmtan terbaru itu akan dikendalikan Dr Azhar Zainuddin sebagai pakar perunding pelawat hospital.

"Klinik mata ini akan mengendalikan masalah penyakit mata dan gangguan yang lazim seperti mata merah, mata sakit, mata gatal, sindrom penglihatan komputer,jangkitan dan virus,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Puan Zawiah berkata, klinik ini akan dilengkapi dengan kemudahan laser dan peralatan terkini mikroskopik untuk kedua-dua pemeriksaan dan pembedahan.

Katanya, klinik berkenaan juga akan menyediakan perkhidmatan optometri seperti prosedur rawatan refraktif am dan lanjutan, prosedur penilaian penglihatan warna dan pengurusan untuk merawat sindrom mata kering.

Menurutnya, menerusi teknologi seni dan sokongan oleh pasukan paramedik yang terlatih dan jururawat, klinik mata KTS itu akan dapat melakukan pembedahan untuk merawat glaukoma dan katarak.

“Perkhidmatan lain yang disediakan adalah prosedur lasik dengan tepat dan pembedahan okular -plastik untuk mewujudkan kelopak mata dua kali ganda dan membetulkan kelopak mata longgar.

“Dengan pembukaan klinik ini, KTS kini berupaya memberikan perkhidmatan rawatan mata yang komprehensif kepada pesakit di Terengganu, khususnya di Kuala Terengganu," katanya.

KTS merupakan satu daripada hospital swasta milik TDM Berhad, selain hospital lain yang bernaung di bawah TDM Kuantan Medical Centre (KMC), Kuantan, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan TDMC, Kuala Lumpur.


Kejohanan Piala Monsun 25-30 November

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejohanan Piala Monsun 2013 (KMC13) akan membuka tirai dengan acara Liga Layar Malaysia di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu yang bermula 15 hingga 18 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata selesai acara empat hari itu, Piala Monsun 2013 akan mengambil tempat selama enam hari, bermula pada 25 November dan berakhir 30 November.

“Sehubungan itu, Mesyuarat Penyelarasan KMC13 Peringkat Negeri Terengganu pada 30 Oktober lalu menetapkan atur cara sepanjang program yang turut membabitkan penglibatkan pelbagai agensi swasta dan kerajaan.

“Pada masa yang sama, acara sampingan turut diadakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (28 hingga 30 November) dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (29 hingga30 November),” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Katanya, pembukaan KMC13pada 25 November (Isnin), jam 2 petang, manakala penutup KMC13 pula pada 30 November, jam 5 petang.

Dato Mohd Jidin berkata, sejurus merasmikan pembukaan KMC13, turut diadakan Pertandingan Coronation Cup, kira-kira jam 3 petang sebelum penyampaikan hadiah kepada pemenang dua jam kemudian.



82 kakitangan YPKT terima APC

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 82 pegawai dan kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka menunjukkan prestasi kerja mengagumkan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua penerima anugerah APC dinilai berdasarkan kumpulan perkhidmatan dan gred jawatan, prestasi markah serta sumbangan cemerlang yang diberikan kepada jabatan.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah dan saya berharap APC ini menjadi penyubur semangat dan pendorong untuk semua warga YPKT berkhidmat dengan lebih baik dan bersaing secara sihat kearah peningkatan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

“Bagi mereka yang tidak terpilih jangan sesekali kecewa sebaliknya terus meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja untuk memantapkan lagi organisasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 dan 2012 Peringkat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Katanya, semua warga YPKT diharap berusaha dengan lebih gigih dan memberikan sumbangan yang maksimum dalam meningkatkan nama baik jabatan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Pada majlis tersebut, setiap penerima APC menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai sebanyak RM1000. Difahamkan, 39 daripadanya merupakan penerima APC bagi tahun 2011 manakala 43 orang pula penerima bagi tahun 2012.

 

JKNT sedia 96 pasukan, hadapi banjir

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersedia lebih awal dengan menubuhkan 96 pasukan khas di seluruh negeri ini, sebagai langkah menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarah Jabatan itu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman, berkata berdasarkan jumlah itu, sebanyak 52 pasukan kesihatan dan 45 pasukan perubatan membabitkan tiga hingga empat anggota bagi setiap pasukan akan ditugaskan sebelum dan semasa banjir.

Katanya, mereka bukan saja sedia bertugas memberi rawatan malah melihat dari segi kebersihan pelbagai aspek.

“Langkah itu termasuk membuat pemeriksaan awal di pusat pemindahan untuk memastikan pusat itu bersih, selamat digunakan dan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air bersih serta tandas yang selamat.

“Kemudahan asas seperti air yang bersih dan tempat memeasak yang selamat perlu disediakan untuk menjaga kesihatan orang ramai dan mengelak wabak penyakit berjangkit,”katanya.

 .

Kerjasama strategik lonjak kecemerlangan pendidikan Terengganu : Zakaria

Oleh: Aida Abd Rahman, Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (Pelatih)

Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Syarikat ExxonMobil berupaya memberi nilai tambah dan melonjak kecemerlangan bidang pendidikan di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin.

 “Terima kasih juga kepada ExxonMobil khususnya Puan Fatimah Merican (Pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia) kerana sentiasa memberikan peluang dan kepercayaan melaksanakan pelbagai program di Terengganu supaya negeri ini terus maju dalam pendidikan.

“Usaha ini nyata memberi impak tersendiri terhadap perkembangkan sebahagian besar pelajar, selain mengetengahkan potensi pelajar kita termasuk menggilap penguasaan bahasa English. Malah, saya berharap sumbangan ini berterusan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2013, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir bagi  merasmi dan menyampaikan hadiah kecemerlangan itu, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, pengarah Urusan Perniagaan, Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia merangkap Pengerusi Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF), Puan Fatimah Merican.

Encik Zakaria berkata, anugerah kecemerlangan berdasarkan skor dan pencapaian peperiksaan sepanjang tahun itu merupakan satu penghargaan kepada pelajar seluruh negeri supaya terus menjadikan ganjaran itu sebagai pembakar semangat berjaya dalam pendidikan.

“Sudah lama program ini dilaksanakan di Terengganu sekaligus membuktikan komitmen padu ExxonMobil untuk mengiktiraf pelajar cemerlang di negeri ini.

 “Terima kasih tidak terhingga kepada ExxonMobil kerana sentiasa memberi sumbangan terbesar bagi menjayakan program demi kemajuan pendidikan negara. Selain itu, ucapan tahniah juga kepada anak-anak serta ibu bapa yang berjaya memberi didikan dan perhatian kepada anak-anak kita sehingga bukan sahaja cemerlang dalam kokurikulum, akademik dengan mendapat keputusan yang terbaik, malah turut merangkumi sahsiah peribadi,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan program ExxonMobil seperti A Moment In English pada saban tahun sejak 2001 lagi, turut membolehkan pelajar berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan baik, berani mengetengahkan idea yang kreatif untuk menggilap bakat dan bersedia bertanding di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Di majlis itu, seramai 264 pelajar cemerlang di kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Terengganu menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan EMESF 2013. 

Daripada jumlah itu, 120 pelajar Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga (RM700), manakala pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).