Halaman

27 November 2013

Lembah Kaprima akan diperkasa-Nawi

Banyak..sebahagian kambing yang diternak di Hulu Seladang.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Kerajaan akan memperkasakan kembali Lembah Kaprima di negeri ini dengan menjadikan kawasan ternakan Kambing Lembah Kaprima Hulu Seladang, dekat sini sebagai mentor kepada projek Lembah Kaprima lain yang dianggap gagal oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Suap...Nawi sedang menyusu anak kambing.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi , Mohd Nawi Mohammad berkata, beliau yakin dengan keupayaan pengendali Projek Lembah Kaprima Hulu Seladang itu menternak kambing sehingga berjaya dan mendapat pulangan yang baik.

"Kerajaan membelanjakan lebih RM20 juta untuk membiayai projek Lembah Kaprima ini, jika kita biarkan begitu ia akan menjadi satu kerugian kepada rakyat.

"Oleh itu, kerajaan akan memperkasakan semula tujuh lagi Projek Kaprima yang lain secara berperingkat termasuklah tiga projek yang belum lengkap dengan menjadi Projek Lembah Kaprima Hulu Seladang ini sebagai mentor," katanya ketika melawat Projek Ternakan Kambing Lembah Kaprima Hulu Seladang, di sini, semalam.

Menurutnya,disebabkan belanja yang besar sudah dikeluarkan, kerajaan negeri memutuskan untuk memperkasakan semula semua Projek Lembah Kaprima itu.

"Kita masih ada peluang untuk menjadikan Lembah Kaprima ini sebagai satu lembah yang berjaya negeri Terengganu. Kerana itulah kita sudah membuat keputusan untuk memperkasakan Projek Lembah Kaprima ini dan kita akan fokus di sini dan jika ada masalah kita akan bantu,

Nawi (kanan) bersama Dr.Marzuki.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri, berharap sangatlah supaya Lembah Kaprima ini berjaya, dan pada masa yang sama saya boleh beritahu dewan negeri bahawa projek ini berjaya dan mendapat manfaat kepada peserta PPRT.

"Pada hari ini (semalam), mereka yang menyertai program ini menerima dividen masing-masing sebanyak antara RM300 dan RM500 tiapa seorang. Terima kasih saya ucapkan Hj.Nordin (Nordin Sulong, pemilik Tenox Resources Sdn Bhd) yang mengusahakan projek ternakan kambing ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan supaya menjadikan kawasan Projek Lembah Kaprima ini sebagai satu tempat pelancongan dan usaha itu perlu diteruskan untuk kebaikan bersama.

"Selain dapat memberikan hasil penjualan kambing, pada masa yang sama kita boleh mempopularkan kawasan Lembah Kaprima ini kepada pelancong.Terima kasih juga saya ucapkan kepada Jabatan Veterinar.

"Dengan ini kita boleh bercakap di mana-mana bahawa Lembah Kaprima ini berjaya dan tidak rugi kepada rakyat" katanya. Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Veterinar Terengganu, Dr. Marzuki Zakaria.
Tertarik..Nawi dan Dr.Marzuki melihat baka kambing.

Temubual..di'interview RTM.
Jamu...tetamu dijamu dengan kambing bakar.
Luas..sebahagian padang ragut.

Kenangan...bergambar kenangan berlatarbelakang padang ragut.

 

26 November 2013

12 pelayar berentap di Pulau Duyong rebut Piala Monsun

Oleh: Noraini Jusoh

Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun yang diadakan sejak sembilan tahun di Pulau Duyong dikekalkan di lokasi tetapnya sebagai salah satu alternatif menarik lebih ramai pelancong pada musim tengkujuh ke Terengganu.

Seramai 12 pelayar terkemuka dunia berentap bagi merebut kejuaraan paling berprestij dalam perlumbaan kapal layar itu di mana Piala Monsun merupakan acara kemuncak bagi Siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT).



Tengku Sri Temenggong Raja, Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyempurnakan majlis perasmian Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun 2013 yang berlangsung Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Kejohanan yang berlangsung bermula hari ini (26 Novermber) sehingga 30 November bakal menentukan pasukan mana yang akan dinobatkan selaku juara dunia selepas mengharungi 12 siri perlumbaan sepanjang tahun ini.


Sejak penganjurannya, ia telah menarik kehadiran ribuan peminat termasuk pengunjung dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan sendiri kehebatan pelayar-pelayar ini dalam sukan yang kini diiktiraf di peringkat global.

  

JAS tangani kes kebakaran berulang di Kampung Tok Kah, Dungun

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu meningkatkan pemantauan dan langkah berjaga-jaga berikutan kes kebakaran berulang di kawasan berpaya di Kampung Tok Kah, Dungun sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya, Puan Roshadah Hashim berkata, pada tahun ini, JAS menerima dua aduan kebakaran terbuka di tanah lembap itu, melibatkan keluasan masing-masing lebih 40 hektar dan 55 hektar. 

“Apabila musim panas dan kering di kawasan Terengganu ini, apa yang merisaukan kita adalah pembakaran terbuka di Dungun (Kampung Tok Kah), biasanya akan menyebabkan kebakaran.

“Kawasan itu tanah gambut, lagipun sumber air di kawasan kurang jadi apabila terbakar lambat sikit dapat dipadamkan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman /Nota Kerjasama Antara JAS Terengganu dan Agensi Kerajaan, IPT dan Swasta serta 3P, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau & Air negeri, YB Haji Bazlan Abd Rahman. Hadir sama, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Dato’ Abu Hassan Mohd Isa.

 “Kita ada menerima dua laporan berhubung kebakaran di kawasan sekitar Kuala Abang pada tahun ini, yang mana kali pertama (tahun ini) pada Mei lalu akibat cuaca yang terlampau kering dan panas.

 “Apa yang membimbangkan, kebakaran berlaku berhampiran rumah penduduk dan boleh menjejaskan keselamatan penghuni kawasan itu, malah jika berlarutan akan menyebabkan kualiti udara merosot,”katanya.

Bagaimanapun, Puan Roshadah berkata, sehingga kini, punca sebenar kebakaran di kawasan itu sejak akhir-akhir ini tidak dapat dipastikan.

“Kita pun tidak tahu punca sebenar kebakaran, bagaimanapun pihak bomba memberitahu apabila musim panas kadang-kadang di situ, kaca-kaca lama yang orang buang di kawasan itu boleh mengeluarkan percikan api, kadang-kadang orang buang puntung rokok sahaja, disebabkan keadaan tersangat kering jadi mudah terbakar dan merebak,” katanya.

 



UMT bakal tranformasi pendidikan sedia ada

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang mentransformasi sistem pendidikan sedia ada dalam usaha menggalakkan mahasiwa dan tenaga pengajar meneroka ilmu penyelidikan berkaitan sains, teknologi dan penggunaan sumber alam secara meluas.

 Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili, berkata pihaknya bersedia menukar atau mentrasformasi sistem falkulti kepada pusat pengajian, bermula Januari tahun depan.

 Katanya, dia percaya langkah itu mampu membimbing penuntut dan tenaga pengajar berfikiran di luar kebiasaan, selain mempunyai kemahiran profesional yang tinggi.

 “Pada masa sama, pelajar-pelajar dapat mengukuhkan pencapaian akademik mereka berikutan mudah untuk berurusan dengan pihak atasan universiti jika mempunyai masalah,” katanya.

Menurunya, pusat pengajian yang bakal diwujudkan itu, termasuk berkaitan sains asas; sains marin & persekitaran; perikanan & akuakultur, dan infomatik & matematik. 

“Apa yang dicadangkan itu akan menggantikan enam fakulti sedia ada seperti fakulti sains & teknologi; pengurusan & ekonomi; agroteknologi & sains makanan dan fakulti pembangunan sosial,” katanya kepada pemberita selepas Konferens Saintifik Persatuan Mikroskopi Malaysia ke 22 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

 Prof Dr Noor Azhar turut memberitahu, kira-kira 1,000 ahli Skuad Sukarelawan UMT bersedia membantu membersihkan rumah mangsa banjir di sekitar negeri itu dalam usaha meringankan mereka yang dilanda bencana.

 “Skuad yang ditubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar Itu pernah membantu mangsa banjir di beberapa kampung, ketika musim tengkujuh tahun lalu.

 “Khidmat mereka sentiasa diperlukan bagi membantu membaiki rumah rosak, atap bocor dan membersih lumpur dipersekitaran rumah.

 “Mereka yang juga anggota dari beberapa badan beruniform UMT sentiasa bersiap sedia membantu, bukan saja berkaitan banjir malah program kemasyarakatan, termasuk gotong-royong, mengacau bubur asyura bersama masyarakat setempat.

   “Ini adalah sebahagian usaha pelajar dan petugas UMT untuk menabur bakti kepada masyarakat sebagai tanda keprihatinan kami kepada mangsa,” katanya.

 

JAS sasar pertambahan 50,000 sukarelawan baharu RAS setahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mensasarkan pertambahan 50,000 sukarelawan baharu sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS) setahun bagi menggerakkan Program 3P (Pasukan Pemantau Pencemaran) secara konsisten di seluruh Malaysia.


Sehingga kini, seramai 186,000 RAS bertindak sebagai ejen kepada pihak berwajib bagi memantau dan melaporkan kes aduan yang berulang di kawasan masing-masing sejak ia diperkenalkan di setiap parlimen lima tahun lalu.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Dato’ Abu Hassan Mohd Isa berkata, tahap kesedaran masyarakat menjaga alam sekitar semakin meningkat setiap tahun apabila hampir 200,000 RAS berdaftar sehingga kini.

“Program ini untuk memastikan semua lapisan masyarakat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat gergasi dan badan berkanun berganding bahu untuk membanteras isu alam sekitar dan tidak hanya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.

“Sambutan orang ramai terhadap program ini amat memberangsangkan dan kita akan terus berusaha mengembleng tenaga untuk memperluaskan program 3P di setiap parlimen bagi memastikan pembabitan semua pihak di masa depan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman /Nota Kerjasama Antara JAS Terengganu dan Agensi Kerajaan, IPT dan Swasta serta 3P, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir merasmikan majlis itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau & Air negeri, YB Haji Bazlan Abd Rahman dan Pengarah JAS Terengganu, Puan Roshadah Hashim.

Sementara itu, Puan Roshadah berkata, sehingga kini, lima sukarelawan RAS di setiap parlimen di seluruh Terengganu.

 “Setiap parlimen ada lima RAS, bagaimanapun kita akan menarik lebih ramai ahli sukarelawan bagi menyertai RAS menerusi pelbagai program di setiap parlimen.

 “Selepas ini setiap ahli RAS akan diberikan latihan bagi berdepan isu-isu dan cara mengawal kes aduan selain mempelbagaikan penglibatan masyarakat dalam proses pemuliharaan alam sekitar,” katanya .

Menurutnya, sekiranya menerima aduan, RAS sendiri boleh bertindak mengawal dan menangani kes itu sebelum melaporkan kepada JAS yang akan meninjau lokasi kejadian untuk tindakan susulan.



110 peserta eKasih daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut terima dividen


YB Nawi menyampaikan dividen kepada peserta ekasih.

Oleh: Mohammad Ishak 

Projek penternakan kambing dan ayam yang dikendalikan oleh syarikat swasta di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mengutamakan peserta eKasih kini membuahkan hasil apabila peserta mula menikmati hasil menerusi pengagihan dividen pendapatan hasil penternakan berkenaan.

Seramai 110 peserta dari daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut, hari ini menerima agihan dividen antara RM300 hingga RM500 seorang hasil pendapatan projek ternakan kambing dan ayam secara komersil.

Majlis pengagihan dividen dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu,Yang Berhormat Nawi Mohamad.


Pada majlis itu sejumlah RM49,000 diagihkan kepada 30 peserta ternakan kambing dan RM30,000 kepada peserta ternakan ayam.



Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, peserta eKasih beruntung menyertai program itu kerana mereka hanya selaku peserta sebaliknya projek berkenaan dikendalikan syarikat swasta dengan bantuan kerajaan negeri.

Katanya, projek ternakan ayam dibangunkan pada 2006 di bawah Rancangan Malaysia Ke9 membabitkan empat kompleks reban ayam tertutup dengan kapasiti pengeluaran 120,000 ayam pedaging sepusingan.

Kompelek berkenaan kini beroperasi di Bukit Lawang dan Telaga Papan, Setiu manakala masing-masing satu di daerah Besut (Kampung Baroh Masin) dan Kampung Bukit Nenasi,Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, bagi projek ternakan kambing komersil hanya satu projek di Lembah Kaprima,Hulu Seladang, Setiu yang berjaya mengeluarkan hasil manakala tujuh lagi yang turut mengusahakan projek sama masih gagal mengeluarkan hasil.

Sukan JPAM Setiu Mencuit hati.

Cepat...antara acara sukan yang dipertandingkan.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PERMAISURI: Pelbagai ragam dan telatah peserta yang menyertai pelbagai acara mencuit hati kira-kira 60 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang menyertai Sukan Mahabbah JPAM Daerah Setiu, di Kampung Rhu Sepuloh, dekat sini, baru-baru ini.

Sebanyak 12 acara di pertandingkan pada karnival sukan kali ini. Komitmen anggota dapat dilihat dengan kesungguhan mereka menyertai setiap acara yang di pertandingkan.

Hati-hati...Azwan melihat gelagat seorang peserta.
Ketua JPAM Daerah Setiu, Staff Muda (SM) Mohd Azwan Abdullah, berkata setiap peserta telah berhempas pulas dengan memberi saingan yang sengit bagi memastikan pasukan yang diwakili oleh mereka memenangi setiap acara yang dipertandingkan tanpa mengira kawan dan pihak lawan. 

"Secara keseluruhannya, Karnival ini telah berjalan dengan lancar dan menepati perancangan yang telah dibuat. Semua peserta yang bertanding berpuas hati kerana dapat memeriahkan pertandingan ini. Pasukan Bravo telah muncul sebagai juara keseluruhan sukan kali ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan oleh setiap anggota dalam menjayakan karnival sukan pada kali ini, dan menyeru semua warga JPAM Setiu supaya sentiasa mempunyai daya juang dan semangat berpasukan yang tinggi agar JPAM terus menerus unggul di mata masyarakat," katanya.

Sebagian peserta bergambar kenangan.
Dalam pada itu, Azwan mengingatkan seluruh anggota JPAM Setiu samada staf ataupun sukarela supaya bersedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir tahun ini dan memberi sepenuh komitmen dalam menjalankan tugas.

 

Kampung Pecah Rotan dapat anak angkat.

Serah..Bazlan menyerahkan anak angkat kepada seorang penduduk.
Oleh: Aminudin Ismail. 
Foto ehsan: Bazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit). 

BATU RAKIT: Seramai 33 penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan, Pahang menjalani kehidupan sebagai anak angkat kepada penduduk Kampung Pecah Rotan, dekat sini selama tiga hari dua malam, bermula semalam.

Majlis perasmian penyerahan anak angkat itu dilakukan oleh Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman di Balairaya kampung itu dengan dihadiri kira-kira 100 jemputan termasuklah ibubapa angkat kepada penuntut terbabit.

Bazlan bersama sebahagian peserta.
Bazlan mengucapkan selamat berkampung kepada semua penuntut itu di Kampung Pecah Rotan dan beliau juga mengharapkan penuntut mereka dapat mengutip banyak pengalaman berguna sepanjang tinggal di kampung itu.

"Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini terutama kepada pihak KPTM Kuantan yang sudi membawa para pelajar menjadi anak angkat di Pecah Rotan. Moga apa yang dipelajari dapat dijadikan panduan dan pedoman untuk membina jatidiri pada masa hadapan," katanya.

Beliau juga meminta penuntut terbabit akan memperolehi banyak cerita menarik mengenai kampung itu dan beberapa kampung lain di kawasan Batu Rakit untuk diceritakan kepada saudara mara dan rakan-rakan apabila mereka pulang nanti.

 

25 November 2013

Puteri relevan, bantu perkasa parti : Ketua Puteri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan ini sebagai satu amanah yang cukup besar dari pucuk pimpinan parti kepada manusia kerdil seperti saya untuk mengepalai pergerakan sayap bongsu Umno ini supaya dilihat lebih relevan bagi membantu memperkasakan parti di peringkat akar umbi , kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Terengganu, Puan Rozita Ismail, 34.

Beliau yang juga Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu (2013-2016) menerima pelantikan itu selepas dihubungi Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Puan Mas Ermieyati Samsudin, Rabu lalu mengganggap kepercayaan pucuk pimpinan negeri dan juga Puteri Malaysia kepada beliau itu amat tinggi dan mencabar.

Puan Rozita yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Hulu Terengganu akan berusaha menggalas jawatan utama berkenaan sebaik mungkin dengan bantuan semua Ketua Puteri dan jawatankuasa Puteri bahagian serta ahli Puteri seluruh Terengganu.

“Apa yang utama, memandangkan semua Ketua Puteri Umno bahagian di kalangan muka baharu, maka saya bertanggungjawab untuk mewujudkan penyatuan dan keserasian di kalangan mereka dan semua jawatankuasa bagi memudahkan Puteri melaksanakan gerak kerja dan merealisasikan hala tuju kita.

“Fokus puteri adalah memperkemaskini keahlian khususnya di seluruh cawangan supaya dapat menzahirkan hasrat kepimpinan Puteri Umno Malaysia yang mahu menarik lebih ramai bilangan ahli di seluruh negeri bagi memperkukuh sayap Puteri sendiri,”katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, usaha menambah ahli penting bagi memastikan pergerakan tersebut mempunyai pelapis muda untuk memperkuat sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, masalah keahlian di peringkat negeri itu perlu diselesaikan berikutan ada di kalangan ahli Puteri dan cawangan yang pernah ditubuhkan tidak layak bermesyuarat kerana kekurangan ahli.

"Kita berharap permasalahan ini dapat diselesaikan dengan menambah lebih ramai ahli dalam kalangan belia wanita yang menjadi antara fokus utama kita bagi penggal ini.

"Selain itu, kita akan meneruskan agenda pendidikan dan juga modal insan untuk terus memartabatkan anak bangsa pada masa hadapan. Pada masa yang sama, kita juga amat berperanan dalam melancarkan gerak kerja dan pemantau dalam semua pilihan raya serta meneruskan ketuanan Melayu di negara kita," katanya.

Puan Rozita berkata, mesyuarat pergerakan Puteri yang pertama dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat ini bakal memperincikan pelbagai aspek termasuk hala tuju dan strategi pergerakan sayap Umno itu untuk memenangi hati dan menarik orang muda di seluruh Terengganu agar menyertai Umno.

Pada masa yang sama, Puteri negeri juga akan memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama yang difokuskan Puteri Malaysia di mesyuarat pertama exco Puteri itu, iaitu memperbanyakkan keahlian dalam sayap, menambah daftar pemilih dan menjadi agen dalam Umno bahagian bagi mencari pemilih baru untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke- 14.

Puan Rozita, 34, mula menceburi politik sejak 2000 sebagai ahli biasa sebelum dilantik sebagai Pengerusi Tetap Puteri bahagian bermula 2004 dan menyandang jawatan Naib Ketua Puteri bahagian pada 2008.


60 pelajar cemerlang terima wang.

Azmi menyampaikan hadiah kepada seorang wakil pelajar sambil diperhati Azmi Razik.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai 60 pelajar dari seluruh Parlimen Setiu gembira menerima hadiah wang tunai kerana kejayaan mereka dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM pada tahun lalu dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu (YT) yang diadakan diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak RM11,360.00 diperuntukan untuk diberi kepada terbabit iaitu pelajar UPSR (1 orang) mendapat RM120.00, PMR seramai 19 orang mendapat 160 tiap seorang, SPM paling ramai iaitu seramai 35 orang mendapat RM200 tiap seorang manakala SPTM/STAM pula seramai lima orang mendapat RM240 setiap seorang.

Azmi..teruskan kecemerlangan.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Azmi Nazir yang mewakili Adun Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee. Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Terengganu, Azmi Razik.

Dalam ucapannya, Mohd Azmi mahu setiap pelajar cemerlang di Parlimen Setiu itu, meneruskan kecemerlangan mereka sehingga ke peringkat tertinggi pengajian dan sentiasa membantu pelajar yang kurang cemerlang.

"Pelajar cemerlang ini juga perlu kembali menabur budi kepada negeri Terengganu apabila mereka menamatkan pengajian atau mencari pengalaman kerja di tempat lain kerana idea-idea mereka amat diperlukan bagi menjadikan Terengganu sebuah negeri maju menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, beberapa penerima hadiah gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Terangganu terutamanya kepada Yayasan Terengganu kerana menghulurkan sumbangan hadiah kecemerlangan itu.

Mereka yang ditemui Teganukita ialah Mohd Aflan Rusdi, 14 yang kini menuntut di IMTIAZ Besut yang mendapat 8A 1B dalam PMR tahun lalu, Cik Nur Fatihah Che Mohd Saidi, 18, bekas pelajar SMA Wataniah, Besut dari Kuala Kubang, Jabi yang kini menuntut di UIA.

Manakala dua orang bapa yang mewakili anak mereka ialah Rosli Awang, 49 dari Kampung Buluh Hilir mewakili anaknya Nursalam Rosli bekas pelajar SESMA Kuala Terengganu yang mendapat 8A SPM tahun lalu.

Seorang lagi bapa ialah Ibrahim Abdullah, 59 dari Kampung Tasek, dekat sini yang mewakili anaknya Nur Faizah Ibrahim yang memperolehi juga 8A kini menuntut di UITM Puncak Alam.
Gembira..Mohd Aflan menerima hadiah daripada Azmi.

Tahniah...Azmi menyampaikan hadiah kepada Cik Nur Fatihah.

Terima Kasih...Rosli menerima hadiah dari Azmi sambil di perhati Azmi Razik.
Ibrahim..terima RM200.

Antara pelajar dan jemputan yang hadir.