Halaman

29 November 2013

Lebih 100 saintis sertai persidangan saintifik

Lebih 100 saintis tempatan dan luar negara berhimpun di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini bagi menyertai Persidangan Saintifik ke-22 Persatuan Mikroskopi Malaysia 2013.

 Selain saintis Malaysia, persidangan tiga hari anjuran Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut disertai saintis dari Thailand, Indonesia, Iraq, selain kalangan pelajar universiti dari beberapa buah negara.

 Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, sepanjang persidangan yang berakhir Khamis ini, sebanyak 80 kertas kerja dibentangkan oleh ahli-ahli akademik dari beberapa buah universiti tempatan dan juga wakil sektor swasta.

"Persidangan ini diadakan antara lain bertujuan menjalankan kajian lebih mendalam dalam pelbagai bidang seperti biologi, kimia dan tidak ketinggalan juga dalam bidang ketenteraan.

 "Secara asasnya, kajian ini menggunakan alat mikroskop pada skala lebih besar dan canggih," katanya.

 Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian persidangan itu di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Bazlan Abdul Rahman.

 Menurut Noor Azhar, selain itu, tujuan persidangan ke-22 itu diadakan untuk mengetengahkan kaedah-kaedah baharu yang digunakan dalam usaha memajukan lagi kajian yang mereka jalankan.

 Katanya, secara keseluruhannya, kajian lebih memberi tumpuan terhadap penggunaan mikroskop yang mempunyai hubung kait dengan sektor industri di negara ini.

 " Ini juga untuk menghasilkan penemuan baharu termasuk memajukan sektor industri perubatan di negara ini," ujarnya.

 

Ibu sarat mengandung dinasihat pindah ke kawasan selamat di musim tengkujuh

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan ibu yang sarat mengandung terutama usia kandungan mencapai 36 minggu ke atas supaya segera berpindah ke tempat lebih selamat bagi memudahkan untuk mendapat rawatan sekiranya kawasan kediaman ditenggelami air ketika musim tengkujuh ini.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman, berkata bukan hanya ibu mengandung, pihaknya juga menasihatkan pesakit kronik turut berbuat demikian supaya tidak terputus hubungan akibat jalan ditenggelami banjir.

“Kita tidak mahu apabila sakit , bukan sahaja mangsa tidak dapat ke pusat kesihatan dan hospital, malah kita juga gagal sampai kepada mangsa akibat jalan yang ditenggelami air.

“Jadi kita harap ibu mengandung dan juga pesakit kronik berkenaan segera berpindah ke rumah keluarga di kawasan lebih selamat,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, semalam.

Dato' Dr Anwa juga menasihatkan semua pesakit kronik yang sentiasa memerlukan ubat-ubatan supaya memastikan stok ubat mereka mencukupi ketika musim tengkujuh ini.

Katanya, ubat-ubatan itu juga perlu dijaga dan disimpan dengan baik selain dibawa bersama apabila berpindah ke pusat pemindahan.

Selain itu, JKNT juga akan memastikan semua peralatan dan bekalan ubat mencukupi bagi menampung permintaan pesakit khususnya di hospital dan klinik yang mungkin akan terputus hubungan akibat banjir.

 “Di setiap klinik itu sendiri biasanya tersimpan bekalan ubat bagi tempoh dua bulan terutama ubat yang perlu disediakan dan kerap digunakan pesakit khususnya di kawasan yang kerap terputus hubungan akibat jalan ditenggelami air pada musim tengkujuh yang sering melanda Terengganu,"katanya.


Masjid Kubang Ikan Jadi Tumpuan.

Masjid baru Kampung Kubang Ikan.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

PEMBUKAAN masjid baru Kampung Kubang Ikan, Chendering, Kuala Terengganu oleh kerajaan negeri pada awal tahun 2013 bagi mengantikan masjid lama yang tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai dan untuk mengatasi masalah tempat letak kenderaan ternyata memberi banyak manfaat kerana masjid baru itu kini semakin menjadi tumpuan ramai.

Di bina di atas tanah seluas kira-kira dua ekar, masjid baru Kampung Kubang Ikan yang boleh memuatkan antara 1200 dan 1500 jemaah itu cukup selesa malah reka bentuknya menarik perhatian orang ramai yang melihatnya malah ada memanggilnya sebagai ‘masjid kaca’ kerana kesemua pintunya mengunakan kaca.

Cantik..bahagian dalaman masjid.
Selain itu, terdapat juga ukiran kayu yang indah pada bahagian atas dinding manakala pagarnya pula yang diperbuat daripada batu kelihatan begitu kemas dan menarik.

Masjid itu juga mempunyai bilik tandas yang bersih dan dihiasi dengan cermin muka serta ianya sentiasa dijaga rapi oleh petugas yang membersihkan keseluruhan kawasan masjid.

Tempat mengambil air wuduk juga unik kerana ia di buat berpetak-petak dan tidak menganggu orang lain ketika mengambil wuduk.

Iman I, masjid itu, Alias Ngah, berkata pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di masjid baru itu termasuklah ceramah agama, sambutan maulud nabi, halaqah, tadarus Al_Quran dan juga dijadikan tempat akad nikah.

Haji Alias..iman I.
“Pada malam sabtu diadakan ceramah agama oleh Ustaz Alias Ngah yang mengajar Ulum Quran, Malam Ahad, Ustaz Mat Yasin Ismail, Usuluddin, Malam Isnin pula Ustaz Mohd Shukri Ali yang mengajar Fiqah, Ustaz Wan Abdul Razak juga mengajar Fiqah pada malam Selasa.

“Pada malam Rabu, Ustaz Tawang Muda mengajar Fiqah, Malam Khamis, Ustaz Embong Muda mengajar Tassauf manakala malam jumaat diadakan bacaan Yasin dan Tahlil,” katanya.

Alias berkata, masjid itu juga menyediakan cenderahati kepada pasangan yang mahu menjalankan majlis akad nikah di masjid itu iaitu sekeping gambar akad nikah beserta bingkai gambar.

Menurutnya, masjid itu juga menjemput imam dari Arab Saudi untuk menjadi iman solat terawih sepanjang bulan Ramadan.

“Saya mengharapkan orang ramai mengunjungi masjid ini untuk menunaikan solat serta mendapat ilmu agama melalui ceramah agama yang diadakan hampir setiap malam selain menikmati keindahan dan keselesaanya,” katanya.

Menurutnya, Imam II masjid ialah Ismail Yusof dan Imam III ialah Al Muzmi Ahmad manakala bilal pula ialah, Mustaffa Muhammad, Yusof Dagang dan Che Ku Ahmad Che Ku Jaafar.

Ringkas..mimbar khutbah yang cantik dan ringkas.

Hias..tempat wuduk di luar masjid.
Unik..tempat wuduk yang unik.
Bersih..keadaan di bilik tandas.
Mudah..petunjuk laluan disediakan.

Bendahari...Che Nik Ngah.
Kemas..pagar juga indah

Ukir..Tabir diperbuat dari ukiran kayu.

Luas..kawasan parkir yang selesa.

 

28 November 2013

JKNT saran pengusaha industri makanan sertai skim MeSTI

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyarakankan semua pengusaha industri makanan di seluruh Terengganu khususnya dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) supaya menyertai skim MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) bagi meningkatkan keyakinan pengguna dan menambah pemasaran produk keluaran masing-masing.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, Skim MeSTI boleh meyakinkan pengguna dan orang ramai bahawa produk makanan keluaran mereka adalah selamat , boleh dimakan serta digunakan dan mematuhi keperluan perundangan yang berkaitan.

“Dalam membantu industri makanan untuk mengadakan Sistem Jaminan Keselamatan Makanan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui JKNT telah mewujudkan skim MeSTI di mana pengusaha dibimbing dan diajar bagaimana kaedah dan cara-cara dalam menyediakan `Sistem Jaminan Keselamatan Makanan’ di premis mereka.

 “Walau bagaimanapun, sambutan daripada pihak industri makanan di Terengganu setakat ini agak kurang menggalakkan dan JKNT mengalu-alukan penyertaan pihak industri makanan untuk mengambil peluang menyertai skim ini,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini.

Daripada 309 pengusaha industri makanan yang berdaftar dengan JKNT, hanya 29 pengusaha sahaja yang memohon skim berkenaan dengan enam daripadanya sudah mendapat kelulusan dan sijil pengiktirafan.

Enam pengusaha industri makanan terbabit, ialah Pertima Trengganu Sdn Bhd (Chendering, Kuala Terengganu), HH Laris Enterprise (Kampung Langkap, Setiu), Rudyz Enterprise (Batu Tujuh, Dungun), RNZ Daya Maju Trading (Inkubator Mardi, Kampung Apal, Besut) dan Bee One Pastry (Jalan Semerak, Kuala Besut)

Manakala dua daripada 23 pengusaha lagi akan diluluskan dalam masa tedekat selepas menepati kelayakan dan prosedur skim itu, sementara selebihnya sedang diproses sebelum mendapat kelulusan.

Selain itu, beliau berkata, pengusaha dan pengendali makanan boleh berhubung terus dengan pegawai di BahagianUnit Keselamatan dan Kualiti Makanan di JKNT atau Pejabat Kesihatan Daerahyang berdekatan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

 “ Pihak Jabatan sentiasa berusaha untuk membantu dan menyedarkan peniaga dan orang ramai tentang keperluan penjagaan kebersihan premis makanan dan makanan yang dijual,” katanya.


JKNT kerah 401 kakitangan hadapi musim banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengerahkan 401 pegawai dan kakitangannya bersiap-sedia memberi bantuan perubatan, pencegahan dan kawalan penyakit kepada mangsa banjir seluruh Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini.

Kesemua pegawai dan kakitangan yang menganggotai 45 pasukan kesihatan dan 44 pasukan perubatan ditempatkan di pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan dan hospital seluruh daerah akan digerakkan ke pusat pemindahan terbabit apabila terdapat pemindahan mangsa banjir.

Pengarahnya, Dato’ Anwa Sulaiman, berkata pihaknya sentiasa bersiap-sedia memberi bantuan yang diperlukan oleh mangsa serta memastikan persekitaran pusat pemindahan selamat didiami sehingga banjir pulih sepenuhnya.

“Sebelum banjir pasukan kesihatan akan membuat lawatan ke pusat-pusat pemindahan banjir untuk memastikan kawasan itu selamat untuk menempatkan mangsa banjir serta dilengkapi dengan kemudahan asas yang diperlukan, contohnya bekalan air selamat, ada tandas , tempat memasak yang sempurna, tiada lubang dan sebagainya yang boleh mendatangkan kecederaan kepada mangsa banjir.

“Sementara pasukan perubatan pula akan digerakkan segera apabila ada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini.

Dato’ Dr Anwa berkata, pihaknya juga akan membekukan cuti pegawai dan kakitangannya supaya lebih ramai kerahan tenaga sekiranya keadaan memerlukan dan berdasarkan ramalan cuaca semasa.


'GIANT KILLER' KETUA PENERANGAN UMNO TERENGGANU YANG BARU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 



 Bekas Ahli Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu yang baru.
  Dato’ Abdul Rahman adalah seorang yang berpengalaman dan pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Marang, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia.
Beliau juga pernah digelar 'giant killer' menewaskan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu 1986 dan 2004.
 Perlantikan itu telah diumumkan semasa Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) yang dipengerusikan oleh Pengerusi BPUNT Dato’ Seri Haji Ahmad Said malam tadi (27 November).
 Manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Nik Dir Nik Wan Ku dilantik sebagai Bendahari
 Umno BPUNT yang baru.
  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YBM Dato’ Tengku Putera Awang kekal sebagai Setiausaha Umno Negeri Terengganu.

UniSZA mampu tersenarai 10 universiti terbaik di Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mampu tersenarai dalam carta 10 universiti terbaik di negara ini berikutan perkembangan positif yang ditunjukkan universiti berkenaan.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, dengan perkembangan positif yang ditunjukkan UniSZA kini, terutama dari segi pembangunan infrastruktur, penstrukturan kursus-kursus, peningkatan dari segi penerbitan dan bidang penyelidikan serta penambahan pensyarah yang mempunyai PHD membuktikan tidak mustahil UniSZA mampu bersaing dengan universiti yang telah lama bertapak di negara ini.

“Berdasarkan peningkatan dan penambahabaikan yang sedang berlaku di UniSZA, saya percaya tidak ada halangan mengapa UniSZA tidak boleh menjadi 10 universiti terbaik di negara kita dalam masa 10 tahun akan datang.

“Sebagai sebuah universiti yang baru dinaiktaraf, UniSZA telah berkembang begitu baik dalam satu tempoh yang singkat dan ini merupakan satu peningkatan yang baik dan saya amat gembira melihat perkembangan yang sedang berlaku di UniSZA,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke UniSZA, semalam.

Turut sama, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahaya Ibrahim.

Menurut beliau, UniSZA sememangnya diharapkan menjadi sebuah universiti yang cemerlang kerana merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama di Terengganu di mana dahulunya dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan kini dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti.

Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Seri Idris Jusoh turut berpesan kepada kakitangan akademik UniSZA supaya tidak lupa tentang tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

“Selain berperanan mendidik dan melahirkan pelajar cemerlang, pastikan juga UniSZA tidak lupa tentang tanggungjawab untuk masyarakat agar UniSZA boleh membangun bersama-sama rakyat Terengganu,” katanya.

 

KPM mahu konsep Ulul Albab diperluas

Oleh: Suriati Ali

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri melaksanakan kurikulum Ulul Albab, mulai tahun depan.

 Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris bin Jusoh, berkata pihaknya mencadangkan agar kurikulum yang telah dilaksanakan di lima Sekolah Menengah Imtiaz di Terengganu itu turut diguna pakai di sekolah terpilih luar dari negeri itu.

 “Buat permulaan, tiga negeri iaitu Kedah, Selangor dan Pahang telah menyatakan persetujuan dan ia disenarai pendek KPM untuk melaksanakannya, bermula tahun depan.

“Disebabkan apa yang ingin dilakasanakan ini memerlukan perancangan rapi, termasuk perlu mengkaji berkaitan kemampuan penerimaan pelajar, infrastruktur dan kekangan masa, ia akan dilaksana secara berperingkat-peringkat.

 “Jika semuanya berjalan lancar, kokurikulum itu akan diperluaskan, sehingga berjaya mencapai sasaran ditetapkan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri,” katanya.



 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah dan Pelancaran Program Transformasi Daerah Peringkat Kebangsaan di Hotel Permai,Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Dato’ Seri Idris turut memberitahu, 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.

“KPM serius ingin melaksanakan kokurikulum itu kerana mampu membantu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap pembelajaran agama Islam, menghafaz, memahami al-Quran, hadith dan mengamalkan cara Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Penekanan kepada kemajuan akademik, kemajuan akhlak juga perlu diberi perhatian untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab kepada negara,” katanya,” katanya.

 





UMT komited jalan penyelidikan berimpak

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan terus komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak, selain memindahkan nilai ilmu serta menawarkan khidmat akademik kepada masyarakat dan pemegangtara di Tanah Bencah Setiu.

 Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komo berkata, komitmen universiti itu diperkukuhkan lagi dalam usaha memperkasakan penyelidik melalui pengukuhan sistem sokongan penyelidikan yang telah bermula tahun lepas.

 Katanya, pengukuhan itu melibatkan pengurusan penyelidikan yang lebih fokus kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Pemerkasaan Sistem Penyelidikan Tanah Bencah Setiu di bawah PPP.

 "Sebagai contoh, ini melibatkan secara langsung dalam usaha pewartaan Tanah Bencah Setiu dalam menjadikannya sebagai Taman Negeri melalui peningkatan jaringan kerjasama dan sokongan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Bengkel Pewartaan Tanah Bencah Setiu Sebagai Taman Negeri Terengganu di sini baru-baru ini.

 Bengkel sehari dengan kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang menghimpunkan kira-kira 250 penyelidik, pegawai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menaikkan taraf ekonomi penduduk dan negeri.

 Sehubungan itu, Ibrahim berharap para peserta bengkel mencari dan mengenal pasti keistimewaan yang ada di Setiu sebagai satu tarikan unik apabila lokasi itu dijadikan taman negeri kelak.

 Beliau berkata, UMT telah menjalankan penyelidikan di Tanah Bencah Setiu seawal penubuhan universiti berkenaan pada tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.

 Menurutnya, UMT terus berkembang selaras dengan proses pembangunan di Tanah Bencah Setiu dari satu daerah yang agak kurang dikenali sehingga menjadi 'hab' kepada industri perikanan, akuakultur, pertanian, selain sebagai pusat tarikan baharu dalam sektor eko-pelancongan.

 Sebanyak sembilan pembentangan oleh pelbagai agensi yang berkaitan dibincangkan dalam bengkel tersebut.

 

UMNO Besut Sokong Perlantikan Dato' JJ.

Nawi..satu keputusan yang baik.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Perlantikan Dato' Jailani Johari sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, baru-baru ini dilihat boleh 'menyegarkan' lagi UMNO di Terengganu, kata Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohammad.

Nawi yang juga Exco kerajaan negeri itu, berkata perlantikan itu adalah satu keputusan yang baik daripada pucuk pimpinan parti, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak kerana ada muka baru dalam kepimpinan UMNO di Terengganu.

"Bagi saya ia adalah satu keputusan baik dari Presiden parti untuk UMNO, keduanya dengan perlantikan ini saya nampak semacam tidak ada masalah dan tidak wujud lagi kem itu kem ini, sekarang sudah tak ada dan masing-masing akan memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti yang dijangka mungkin lebih mencabar dari PRU 13 lalu.

"Kita tengok ahli-ahli UMNO telah semacam menukar dia punya jurulatih ataupun ketua pasukan mereka daripada lapan ketua pasukan kepada enam yang baru iaitu kekalkan dua yang lama.

"Ini adalah sebagai satu 'signal' daripada ahli (UMNO) bahawa pasukan baru ini mesti bekerja keras untuk menghadapi PRU nanti supaya mencapai kemenangan yang lebih baik daripada PRU 13 baru ini," katanya kepada Teganukita, di sini, kelmarin.

Nawi berkata, Pertukaran dilakukan supaya jentera baru itu lebih bertenaga dan bersedia menghadapi PRU akan datang dan tidak menimbulkan isu kerana menurutnya, sebagai ahli UMNO mereka hendaklah berpegang kepada prinsip.

"Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan, kita mesti terus berkhidmat kepada parti kalau kita yakin ini boleh memberi manfaat dan dapat membela bangsa Melayu. Tak kiralah seseorang itu ada jawatan atau tidak yang penting parti akan terus berjalan untuk mempastikan perjuangan orang Melayu dapat kita tunaikan.

"Saya percaya UMNO Terengganu pada masa depan akan lebih baik lagi dan kita mesti memberi kepercayaan kepada ahli UMNO yang telah membuat perubahan ke atas pucuk pimpinan di peringkat bahagian untuk mereka menilai semula pada pemilihan akan datang.

"Jika keputusan PRU ke 14 nanti sama dengan PRU ke 13 maka pasukan ini akan diganti semula oleh ahli-ahli UMNO. Oleh itu kita selaku pemimpin di peringkat bahagian dan negeri mesti bekerja keras untuk memberi kepercayaan kepada ahli bahawa kepimpinan baru yang dipilih ini berbaloi," katanya.

Dalam pada itu, Nawi berkata, beliau yakin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru itu, Dato' Jailani Johari boleh membantu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri untuk terus memantapkan lagi UMNO di Terengganu dan seterusnya mencapai kemenangan besar dalam memenangi PRU ke 14 nanti.