Halaman

18 December 2013

Kekalkan keamanan di Terengganu-Timbalan KP.

Datuk Hamzah..sentiasa bersedia.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Penduduk di daerah ini disaran supaya sentiasa memberi kerjasama kepada anggota Polis dalam usaha membendung gejala jenayah.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, Polis tidak akan mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna tanpa bantuan daripada masyarakat.

“Pihak Polis semata-mata tidak akan mampu, tidak akan berhasil dalam melaksanakan tugas khususnya dalam mencegah jenayah tanpa dokongan dan sokongan masyarakat setempat.

“Jika kita bersatu, jika kita berpadu maka Insya Allah kita akan dapat bersama-sama mengekalkan keamananan, keharmonian dan kedamaian di tempat tinggal kita,” katanya.

Hamzah berkata, Polis sentiasa bersedia dalam menjalankan tugasnya menjaga keamanan dan keharmonian di negeri ini.

“Pihak Polis sentiasa berusaha dalam apa jua keadaan, pada bila-bila masa untuk menjaga keamanan bagi mempastikan negeri Terengganu ini sentiasa berada dalam keadaan aman,” katanya ketika hadir dalam satu majlis di Kampung Guntung Luar, dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak Polis juga sentiasa mempertingkatkan mutu perkhidmatannya supaya setiap anggota Polis dapat menjalankan tugas dengan lebih lancar dan berkesan.

 

ISU HINA ISLAM DAN RAJA DAN LAMAN SOSIAL: SHABERY JAWAB RAHMAN BAKAR


Sebanyak 29 kes membabitkan penghinaan terhadap Islam dan institusi raja menerusi laman sosial disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), setakat Jun lepas.
  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata seorang individu telah disabitkan kesalahan kerana menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim menerusi Facebook dan didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen.
  "SKMM menerima sebanyak 36 aduan berhubung penghinaan terhadap Islam. Penggunaan Facebook, Twitter dan blog tidak boleh dikawal sepenuhnya," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Bakar di persidangan Dewan Negara pada Selasa.
  Abdul Rahman bertanya mengenai bilangan kes menghina Islam dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan tindakan yang telah dikenakan terhadap pihak berkenaan selain usaha kementerian untuk memastikan bentuk penghinaan seperti itu tidak berulang.
  Ahmad Shabery berkata SKMM melancarkan kempen 'Klik dengan Bijak' untuk menggalakkan orang ramai membuat pengawal seliaan kendiri supaya mereka menggunakan laman sosial dengan berkesan. "Kempen ini untuk didik orang ramai supaya membezakan apa yang baik dan tidak baik dalam laman sosial dan yang mana boleh dipercayai dan tidak boleh dipercayai," katanya.
  Menjawab soalan tambahan Abdul Rahman sama ada kementerian bercadang mengenakan pendaftaran dan wang cagaran kepada setiap pengguna laman sosial untuk melayari Internet, Ahmad Shabery berkata kementerian tidak bercadang melaksanakannya.
 Pada masa ini, katanya Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan Akta Fitnah sudah memadai untuk mengawal dan mengekang aktiviti pengguna laman sosial termasuk 15 juta akaun Facebook.- PETIKAN DARI BERITA NASIONAL

BENARKAH AHMAD SAID ROBIN HOOD....LAGI PENGAKUAN DARI PEMANDU LORI GARDENIA

Bahagian KEDUA:

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

  Jumat yang berasal dari Negeri Sembilan sudah 10 tahun bekerja sebagai pemandu lori roti Gardenia itu amat kagum dengan keberanian Menteri Besar Terengganu yang sanggup menghadapi apa sahaja risiko demi untuk menolong orang ramai.



 “Sebenarnya kami dan ramai pengguna jalan raya sudah terpangkap di sini sejak 4 Disember 2013 (hari Rabu) dan kebetulan pada 5 Disember kira-kira jam 9.00 pagi Menteri Besar Terengganu pulang dari Kuala Lumpur melalui jalan itu,” katanya.
  Difahamkan beliau (MB) meninggalkan persidangan Umno semata-mata untuk bersama penduduk Kemaman yang sedang dilanda banjir.
  Memanglah ramai di kalangan kanak-kanak dan orang tua-tua dalam keadaan kelaparan kerana sudah hampir dua hari terperangkap.
 Katanya, semua makanan di kedai runcit di ‘ stesen minyak Shell’ berhampiran sudah kehabisan dan lain-lain kedai semuanya ditutup.

DI DEPAN AIR, DI BELAKANG AIR...

 Ibarat kata, di depan ada air, di belakang juga ada air, hendak redah tidak mampu, hendak berpatah balik pun tidak dapat, terperangkap di jalan raya di dalam lingkaran air.
 Sudah ramai mangsa meminta kami membuka pintu lori untuk mendapatkan roti, tetapi kami tidak berani kerana makanan itu bukan milik kami sebagai pamandu dan penghantar,” kata Jumat.
 Kesemua lori roti Gardenia ini berjumlah empat buah yang terperangkap di situ, dua buah untuk ke Kota Bharu dan dua lagi untuk ke Kuala Terengganu.
  “Kami tidak berani membuka pintu bahagian belakang lori yang mengandungi roti-roti yang hendak di hantar ke Kota Bharu Kelantan dan Kuala Terengganu kerana ia adalah milik majikan kami,” kata Jumat.
 “Menteri Besar Terengganu berunding dengan kami dan sanggup membayar RM10 ribu untuk membeli roti-roti tersebut, tetapi kami tidak boleh menerima bayaran atau menjual roti itu kerana itu di luar tugas kami,” sambung Jumat menceritakan secara lanjut kejadian itu.
 Mereka selaku pemandu lori-lori berkenaan mencadangkan kepada Dato’ Seri Ahmad supaya menghubungi majikannya dan Dato’ Seri berbuat demikian.
 Beritahu Jumat, talian telefon kurang elok dan percakapan Menteri Besar Terengganu dengan majikannya terputus-putus.
  Hasilnya, kami bersetuju untuk membuka ‘seal’ kunci pintu belakang lori itu dengan syarat gambar diambil dan dirakamkan bahawa Dato’ Seri Haji Ahmad yang mengambil perjalanan itu untuk dihantar kepada majikan kami.
  “Di sinilah kami tengok keberanian, tegas dan kesungguhan MB Terengganu itu untuk membantu mangsa banjir yang kelaparan, terperangkap di jalan raya itu,’ kata Jumat.
  Setelah membuka pintu bahagian belakang lori itu, Dato’ Seri Ahmad membahagi-bahagikan roti itu kepada mangsa-mangsa dengan penuh kasih sayang dan meminta jangan berebut-rebut.

ROBIN HOOD?

Apakah cara ini boleh disamakan dengan 'Robin Hood' lagenda yang mengisahkan tentang seorang penjahat budiman.
 Robin Hood juga musuh kepada para penguasa dengan merompak harta dan membahagikan kepada rakyat.
 Tentulah tidak sama sekali kerana apa yang dilakukan oleh Dato' Seri Ahmad adalah secara persetujuan dan bukannya cara Robin Hood.
  Apakah yang terjadi dan berita yang tersebar selepas itu dan bagaimana akhir kebenarannya seorang yang bernama Ahmad Said......

 Ikuti sambungan seterusnya di bahagian ke 3.


Bahagian Pertama- 
untuk rujukan kepada yang belum membacanya- Pengarang.

MENTERI Besar Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan mengambil roti dari beberapa buah lori Gardenia untuk dibahagikan kepada para pengguna jalan raya Kuantan- Kemaman yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Ramai yang ingin tahu kisah sebenar tentang kejadian 5 Disember 2013 yang lalu itu. Apakah diambil secara tidak sah atau dengan keizinan? Apakah menjadi ‘Robin Hood’ atau itu hanya momokan untuk memburuk-burukkan beliau.
“Bagi saya Menteri Besar Terengganu seorang yang baik hati, berani dan sanggup berkorban demi menyelamatkan pengguna-pengguna jalan raya terutama kanak-kanak dan orang tua yang kelaparan,” kata Encik Jumat Mamat, 43 tahun, pemandu lori roti Gardenia yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang.
Baginya itulah pemimpin contoh yang dikagumi dan menafikan sama sekali dakyah yang menuduh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi ‘Robin Hood’, merampas roti untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, pengguna jalan raya yang terperangkap di situ sejak dua hari lebih.
“MB Terengganu ambil dan membuka pintu lori itu dengan keizinan saya setelah menghubungi bos saya melalui telefon,” kata Jumat seorang pemandu yang setia pada majikannya.








17 December 2013

Kaji kenderaan bersesuaian hadapi banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedang mengkaji keperluan menyediakan kelengkapan dan kenderaan yang bersesuaian bagi menghadapi bencana banjir , pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, antara keperluan termasuk menyediakan trak Tatra yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia untuk meredah banjir dan bot Amphibia yang boleh digunakan di darat dan air.

 "Kalau kita guna lori Tatra, setahun sekali digunakan rugi juga.Jadi sekarang kita sedang fikir kemungkinan untuk menggunakan bot Amphibia yang dikatakan ada di Singapura dan di The Mines untuk pelancongan.

 “Kalau begitu, kita boleh beli dan gunakan di Tasik Kenyir sebagai satu produk pelancongan, tetapi apabila banjir kita gerakkan ke kawasan banjir untuk kegunaan berpindah. Barulah ada kos efektif. Sekiranya kita mengunakannya setahun sekali, nanti timbul dakwaan mengatakan `gajah putih’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa pengurusan bencana banjir di Terengganu sudah bersedia menghadapi amaran banjir gelombang kedua yang dijangka bermula esok hingga 22 Disember ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga kesal apabila ada segelintir penduduk enggan berpindah dari awal menyebabkan mereka terperangkap dan usaha menyelamat terpaksa dilakukan ketika paras air semakin naik.

 Katanya, ada yang menuding jari kepada pihak keselamatan kerana tidak membantu mereka, sedangkan pihak berkenaan melaksanakan tugas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak akan mengambil risiko sekiranya keadaan berbahaya kepada nyawa.

“Macam baru ini berlaku hari pertama, keadaan kelam kabut . Apabila di luar jangkaan, di pengkalan hadapan kita tiada masalah, macam di DUN Air Putih, kita hantar bekalan makanan mencukupi untuk tempoh tiga hari. Selepas hari ketiga baru ada bekalan makanan tambahan.

“Bagaimanapun, kita ade stor barangan yang bersiap sedia untuk hantar bekalan, tetapi air melimpah mengejut dalam masa dua jam sahaja. Contohnya Kompleks Rakan Muda di Chukai dijadikan pusat pemindahan, tetapi apabila kawasan itu pun air sehingga ke paras dada menyebabkan kita terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang tidak berdaftar. Malah, sebelum ini jumlah mangsa mendadak sehingga 5,000 orang menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi, selain berbahaya kerana air yang deras dan hanya selesai apabila trak Tatra datang,” katanya.



BENARKAH MB TERENGGANU JADI ROBIN HOOD ATAU SUATU TUDUHAN- IKUTI KISAH SEBENAR DICERITAKAN SENDIRI OLEH PEMANDU LORI ROTI GARDENIA DI TEMPAT KEJADIAN....

Bahagian Pertama. 

EKSKLUSIF OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang Teganukita.

 Menteri Besar Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan mengambil roti dari beberapa buah lori Gardenia untuk dibahagikan kepada para pengguna jalan raya Kuantan- Kemaman yang terperangkap banjir di Cendor, sempadan Kemaman Terengganu dan Pahang baru-baru ini.
 Ramai yang ingin tahu kisah sebenar tentang kejadian 5 Disember 2013 yang lalu itu.
  Apakah diambil secara tidak sah atau dengan keizinan? Apakah menjadi ‘Robin Hood’ atau itu hanya momokan untuk memburuk-burukkan beliau.

  “Bagi saya Menteri Besar Terengganu seorang yang baik hati, berani dan sanggup berkorban demi menyelamatkan pengguna-pengguna jalan raya terutama kanak-kanak dan orang tua yang kelaparan,” kata Encik Jumat Mamat, 43 tahun, pemandu lori roti Gardenia yang terperangkap banjir di jalan utama Kuantan- Kemaman iaitu di Cendor.
 Baginya itulah pemimpin contoh yang dikagumi kerana telah bertindak berani dan tepat demi menyelamatkan mangsa banjir yang kelaparan sejak dua hari di situ dan sekaligus  menafikan sama sekali dakyah yang menuduh  Dato’ Seri Haji Ahmad  menjadi ‘Robin Hood’, merampas roti untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, pengguna jalan raya yang terperangkap di situ sejak dua hari lebih.
“MB Terengganu ambil dan membuka pintu lori itu dengan keizinan saya setelah menghubungi bos saya melalui telefon,” kata Jumat seorang pemandu yang setia pada majikannya.

Ikuti kisah selanjutnya bahagian kedua.

Salah guna `minit MB' untuk luluskan projek

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengesan tindakan satu jabatan di negeri ini yang menyalah gunakan `minit Menteri Besar (MB)’ sebagai kebenaran meluluskan sesuatu projek.



“Kebelakangan ini, ada satu dua jabatan, saya dapat maklumat katanya, dia sengaja kalau hendak beri projek si A, kamu pergi dapatkan Menteri Besar (MB) biar MB minit sikit.

“Dah memang mungkin ada pakatan, Allahualam lah, tetapi itu cara dia buat. Kalu dia tidak mahu beri, memang dia tidak beri juga kalau saya minit pun. Tetapi orang tertentu yang dia hendak bagi itu, dia suruh dapatkan minit saya terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu  Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama, Pengarah Siasatan SPRM, Dato Mustafar Ali dan Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Tuan Zainal Adam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihak terbabit seakan-akan menjadikan surat sokongan dan kenyataan bertulis supaya mempertimbangkan permohonan tertentu sebagai jalan keluar dan alasan  kukuh sekiranya ada pihak lain yang mempersoalkan kelulusan itu kelak.

“Itu bagi satu jabatan berkenaan sahaja. Ketua jabatan berkenaan yang saya dapat maklumat setakat ini. Dia nak melarikan diri, maknanya apabila orang bertanya sebab apa dapat (kelulusan). MB minit, saya berilah, sedangkan orang lain ada juga saya minit, tidak dapat, orang tertentu yang dia hendak bagi ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat dan memantau kes itu secara dalaman dan belum diserahkan untuk siasatan SPRM.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya sudah mengingatkan semua pegawai dan ketua jabatan supaya menyiasat dan menimbang setiap permohonan bergantung kepada kesesuaian harga dan tidak menganggap `minit MB’ itu sebagai satu arahan kelulusan.

Selain itu, beliau berkata ada pihak yang tidak memahami kaedah sebenar dan mengadu kepadanya selepas gagal mendapat sesuatu projek sedangkan beliau hanya menurunkan tandatangan sokongan dan meminta supaya permohonan itu dipertimbangkan terlebih dahulu.

Sebelum itu, beliau berkata, program bersama SPRM itu amat penting kepada kepimpinan negeri terutama Adun supaya dapat menilai peranan dan tugas mereka bagi memastikan tidak melakukan kesalahan yang boleh dirujuk kepada badan itu.

 “Kalau mereka ada melakukan kesalahan, tanggungjawab mereka sendirilah kerana kita sudah beritahu, sudah beri taklimat mengenai kesalahan yang sepatutnya tidak dilakukan, apa yang dinamakan rasuah, apa yang dinamakan salah guna kuasa, apa yang dikatakan kecuaian, mungkin mereka tiada niat rasuah, tetapi mereka cuai. Macam runtuhan yang berlaku, tidak terlibat rasuah tetapi cuai kerana tidak menjalankan tugas menyelia betul-betul,” katanya.

 

BANJIR DI KAMPUNGNYA PASIR GAJAH KEMAMAN NAMUN KHAIRUL TETAP MERAIH EMAS DI SUKAN SEA DI MYANMAR



Biarpun masih dalam kesedihan dilanda banjir besar, anak Kemaman, Khairul Anuar Mohamad masih mampu mencipta sejarah penting apabila meraih pingat emas pertama bagi dirinya di Sukan SEA ke 27 semalam.
  Anak Kemaman yang baru berusia 22 tahun, adalah anak muda kelahiran Batu 10, Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu ini berjaya menyembunyikan sebarang perasaan gentar dari riak wajahnya ketika berdepan dengan lawan yang jauh lebih berusia dan berpengalaman daripadanya.
  Lantas beliau meraih emas bagi acara recurve individu lelaki selepas mengetepikan cabaran atlet senegara Atiq Bazil Bakri dengan 7-1 dalam aksi final di Lapangan Memanah Wunna Theik, di bandar Naypiytaw Myanmar. Beliau mahu menghadiahkan pingat emas itu kepada ibunya Kelsom Dollah, yang sedang mengalami kepayahan selepas rumah mereka di Pasir Gajah, Kemaman, dilanda banjir.
 "Saya risau dengan keadaan ibu saya apabila terputus hubungan beberapa hari lepas namun saya rasa sedikit lega apabila kini dapat menghubungi mereka kembali.
  "Hingga kini saya tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pertandingan kerana risau dengan keadaan mereka (keluarga) di Malaysia namun saya akan cuba lakukan yang terbaik di sini," katanya.  Pemanah Olimpik negara itu berkata beliau akan berusaha memastikan sasaran peribadinya iaitu tiga pingat emas dapat direalisasikan. "Saya harap mampu mencapai sasaran peribadi dua lagi pingat emas menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan recurve beregu campuran," katanya.
  Beliau turut memuji Atiq Bazil yang mempamerkan prestasi cemerlang kerana berupaya memberi cabaran kepadanya sekalipun masih berstatus junior.
  "Bagi saya kejayaan Atiq Bazil mara ke pusingan akhir adalah satu pencapaian yang baik dan beliau mampu pergi jauh lagi. "Saya teringat ketika pertama kali menyertai Sukan SEA di Indonesia dua tahun lepas juga mara ke final," katanya.
  Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengucap tahniah di atas kejayaan anak Kemaman itu yang sudah pasti menaikkan lagi imej Terengganu yang sememangnya telah banyak melahirkan jaguh-jaguh sukan negara.
 “Saya amat bangga dan berterima kasih kepada kepada anak muda dari Kemaman itu yang telah mencipta rekod itu”.

Skuad Sayang bantu mangsa banjir

Oleh: Suriati Ali 

Kira-kira 1,000 Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kemaman, yang bertugas di pusat pemindahan banjir sebelum ini meneruskan khidmat mereka dengan menolong membersihkan rumah mangsa banjir ditenggelami air pula.

 Naib Ketua Wanita Umno, Hajah Rosmiza Mokhtar , kesemua mereka dipecahkan kepada banyak kumpulan dan ditugaskan di kawasan tempat tinggal masing-masing.

 Katanya, Skuad Sayang tersebut bergerak bersama sukarelawan lain, termasuk Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan badan –badan bukan kerajaan lain.

“Memandangkan Kemaman paling teruk dilanda banjir dengan jumlah mangsa kira-kira 13,000, jadi semua ahli Skuad Sayang dikerahkan bertugas di seluruh kawasan terlibat dengan bencana banjir ini.

 “Di pusat pemindahan banjir, Skuad Sayang menjalankan tugas di kaunter pendaftaran, menolong memasak serta melakukan kerja-kerja lain,” katanya

 Beliau berkata demikian ketika membantu Skuad Prihatin Unit Komunikasi Negeri (Ukom) meninjau dan menyampaikan bantuan makanan kepada 40 ketua keluarga di sekitar Chukai, Kemaman.

Hajah Rosmiza turut memberitahu, selain turun padang ke pusat pemindahan banjir, Skuad Sayang turut bersama-sama membantu pelbagai pihak mengagihkan barangan keperluan dapur kepada mangsa sudah pulang ke rumah.

 Katanya, kebanyakan mana-mana pihak yang ingin membantu menghulurkan sumbangan, mereka terlebih dahulu akan menghubungi Skuad Sayang bagi mengetahui kawasan mana yang belum menerima sebarangan bantuan.

 “Langkah itu, memudahakan kami menjalankan kerja, selain dapat membantu mangsa secara adil dan serta berkaitan pengagihan sumbangan,” katanya.



100 bijak pandai Besut bincang gelombang kebangkitan budaya Melayu.


Menteri Pendidikan II YB Dato'Seri Idris Jusoh berucap merasmikan program Program Renaisans Melayu


Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 100 ahli bijak pandai daerah Besut menyertai Program Renaisans Melayu bagi membincang pelbagai isu berkaitan kebangkitan budaya murni bangsa Melayu di Negara ini.

Program yang julung kali diadakan itu berlangsung di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

Berucap pada majlis itu Idris berkata orang Melayu boleh hilang segala-galanya sekiranya mereka tidak buat perubahan positif terhadap gaya, pegangan hidup serta tidak mampu menguasai ilmu termasuk ekonomi yang merupakan faktor utama dalam menentukan kejayaan sesuatu kaum.

Katanya,, orang Melayu perlu bangkit melalui satu gelombang perubahan baharu yang sepatutnya digerakkan dari sekarang walaupun sentiasa dinafikan tentang kebolehan dan kepakaran mereka.

“Kita harap gelombang perubahan dimulakan segera agar satu perubahan besar berlaku kepada umat Islam di negara ini agar mereka mempunyai nilai berani, bersedia dan sentiasa sedia berubah,” katanya.



Turut serta Pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Prof Ibrahim Che Omar; Prof Muzaimi Mustafa (Universiti Sains Malaysia (USM); Prof Saharsadi Hashim (Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Prof Shukri Mohamad (Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Yang lain ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Kota Putera,Mohd Mahdi Musa dan  Pengarah UKOM,Haji Shamsuddin Sulong.

Majlis yang disertai cendekiawan dari beberapa universiti tempatan itu menjadi wadah kepada memperkasakan orang Melayu.

DERITAMU DERITA KAMI JUA....

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

 Walaupun kami tidak terlibat dengan banjir, tidak menanggung derita kesan dari bencana itu, tetapi kami ingin turut berkongsi derita dan kepayahan itu.
 Rombongan kami (Unit Komunikasi Negeri- UKOM) seramai 12 orang turut sama ke daerah Kemaman dua hari lepas (15 Disember) membawa sedikit bantuan makanan untuk beberapa keluarga di sana.  Walaupun tidak seberapa nilainya, tetapi sekurang-kurangnya kami ingin berkongsi mendengar luahan dan hibaan mereka yang baru sahaja menerima ujian Tuhan itu.
  Kalau selama ini, kami hanya melaporkan berita banjir dan sebagainya, tetapi sebagai pengamal media kami juga ingin turut membantu sama, di samping membuat laporan berita dan isu. UKOM bersama Radio Manis FM dan Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Kemaman diberi kesempatan untuk mengagihkan bantuan di kawasan perumahan Bukit Mentok dan sekitarnya.
 Sepanjang kira-kira enam jam menziarahi penduduk di situ, terasa amat teruja sekali kerana dapat membantu mereka yang benar-benar di dalam kesusahan.
 Walaupun bau di persekitaran  kurang menyenangkan , suasana udara yang kurang bersih dan menempohi laluan yang dipenuhi sampah-sarap, tetapi kerana hasrat ingin menyelami sama perasaan mereka, kami tidak hiraukan itu semua.
  Kelihatan kerusi dan almari yang telah rosak berselerakan di luar rumah mereka, begitu juga kain baju dan pinggan mangkuk kotor bersepah-sepah di pinggir rumah.
Barang-barang elektrik seperti peti sejuk, mesin pencuci pakaian, kipas dan sebagainya kelihatan di luar rumah, kemungkinan telah rosak teruk.
  Sebahagian besar barang-barang di dalam rumah telah rosak dan musnah akibat ditenggelami air beberapa hari. Terdapat juga kereta dan motosikal yang tersadai, juga mengalami kerosakan lantaran ditenggelami banjir kerana tidak sempat mengalihkannya kerana paras air naik mendadak.
 Mereka, para penghuni rumah kelihatan dalam keadaan penat kerana membersih rumah dan mengemas rumah yang begitu kotor dan bersepah. Anak-anak kecil yang tidak memahami keadaan sebenarnya nampaknya riang gembira bermain di halaman rumah, biarpun ibubapa mereka kelihatan muram memikirkan kesukaran pasca banjir.
 Dalam hati mereka berkata, betapa banyak kerugian yang ditanggung dan bilakah akan dapat digantikan semula barang yang musnah dan rosak itu.
  Doa dan harapan dimunajatkan kepada Yang Maha Esa agar bantuan terus diperolehi dari masa ke semasa, di samping sedikit sebanyak duit yang ada tersimpan.
  “Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah mengumumkan bantuan awal RM500 dan kami percaya Kerajaan Negeri juga akan turut mengeluarkan bantuan tambahan,” kata salah seorang mangsa.
 Mereka juga melahirkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, badan-badan sukarela dan semua pihak yang tidak putus-putus dan membantu mereka dan menghulurkan berbagai bentuk derma sama ada pakaian, makanan dan sebagainya.
Malahan mereka memuji sikap pemimpin kerajaan, termasuk Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Haji Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen Kemaman) serta lain-lain wakil rakyat dan pimpinan Barisan Nasional (BN),  yang turut sama membantu dan mengharungi banjir di saat-saat rakyat dan pengundi mereka di dalam kesusahan.
 Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mempertikaikan peranan kerajaan, agensi dan sebagainya dalam usaha membantu mangsa banjir, tetapi itulah lumrah hidup.
  Yang suka membangkang dan menentang akan terus bersikap demikian, dalam keadaan mana sekalipun. Percayalah, mereka yang bersyukur dan berterima kasih sesama insan pasti diberkati.
 Apa yang utama bagi mereka juga ialah, dapur mereka terus ‘berasap’ dan ahli keluarga mereka dapat menikmati makanan seadanya, walaupun keselesaan tempat tidur dan berehat di dalam rumah masih belum pulih sepenuhnya akibat kerosakan tilam, kerusi dan sebagainya.
  Semuanya ini menjadi pengajaran kepada kita semua, bahawa keselesaan dan kesenangan itu tidak kekal abadi, tiba waktunya kita pasti diuji oleh Illahi jua.
  Kami katakan kepada mereka, sabarlah! Allah bersama orang-orang yang sabar.
 Kami hulurkan bantuan beras, gula, gandum, sardin, susu, biskut dan lain-lain makanan sekadar yang termampu untuk bekalan beberapa hari sahaja.
  Sewaktu di wawancara oleh Manis FM secara lintas langsung, saya menyatakan bahawa sekurang-kurangnya kehadiran kami dan lain-lain sukarelawan dapat mengubat hati mangsa-mangsa banjir itu. “Mereka akan berasa gembira kerana di saat mereka menempohi kesusahan, ada juga insan lain yang datang dari jauh dan dekat, membantu dan berkongsi sama kesusahan itu”.
 Cubit peha kanan, paha kira juga ikut terasa.
  Demikianlah gambaran bahawa kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir itu turut dirasai oleh kita semua dan bersama-samalah membantu.
 Deritamu, derita kami jua!
 Semoga kalian tabah menghadapinya.