Halaman

17 December 2013

Kaji kenderaan bersesuaian hadapi banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedang mengkaji keperluan menyediakan kelengkapan dan kenderaan yang bersesuaian bagi menghadapi bencana banjir , pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, antara keperluan termasuk menyediakan trak Tatra yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia untuk meredah banjir dan bot Amphibia yang boleh digunakan di darat dan air.

 "Kalau kita guna lori Tatra, setahun sekali digunakan rugi juga.Jadi sekarang kita sedang fikir kemungkinan untuk menggunakan bot Amphibia yang dikatakan ada di Singapura dan di The Mines untuk pelancongan.

 “Kalau begitu, kita boleh beli dan gunakan di Tasik Kenyir sebagai satu produk pelancongan, tetapi apabila banjir kita gerakkan ke kawasan banjir untuk kegunaan berpindah. Barulah ada kos efektif. Sekiranya kita mengunakannya setahun sekali, nanti timbul dakwaan mengatakan `gajah putih’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa pengurusan bencana banjir di Terengganu sudah bersedia menghadapi amaran banjir gelombang kedua yang dijangka bermula esok hingga 22 Disember ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga kesal apabila ada segelintir penduduk enggan berpindah dari awal menyebabkan mereka terperangkap dan usaha menyelamat terpaksa dilakukan ketika paras air semakin naik.

 Katanya, ada yang menuding jari kepada pihak keselamatan kerana tidak membantu mereka, sedangkan pihak berkenaan melaksanakan tugas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak akan mengambil risiko sekiranya keadaan berbahaya kepada nyawa.

“Macam baru ini berlaku hari pertama, keadaan kelam kabut . Apabila di luar jangkaan, di pengkalan hadapan kita tiada masalah, macam di DUN Air Putih, kita hantar bekalan makanan mencukupi untuk tempoh tiga hari. Selepas hari ketiga baru ada bekalan makanan tambahan.

“Bagaimanapun, kita ade stor barangan yang bersiap sedia untuk hantar bekalan, tetapi air melimpah mengejut dalam masa dua jam sahaja. Contohnya Kompleks Rakan Muda di Chukai dijadikan pusat pemindahan, tetapi apabila kawasan itu pun air sehingga ke paras dada menyebabkan kita terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang tidak berdaftar. Malah, sebelum ini jumlah mangsa mendadak sehingga 5,000 orang menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi, selain berbahaya kerana air yang deras dan hanya selesai apabila trak Tatra datang,” katanya.