Prestasi calon negeri ini dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 adalah yang terbaik dalam tempoh sembilan tahun lalu.
Peperiksaan kali ini merupakan yang terakhir sebelum dimansuhkan dan diganti dengan sistem Penaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bermula tahun depan.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin berkata, Gred Purata Negeri (GPN) secara keseluruhan yang melibatkan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (calon K) tidak termasuk Calon Berkeperluan Khas (CBK) telah meningkat kepada 2.55, berbanding 2.57 pada tahun 2012 dan mengatasi Gred Purata Nasional (2.67).
“Rekod pencapaian ini merupakan pencapaian yang terbaik dalam tempoh sembilan tahun dimana GPN Terengganu pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.71), 2008 (2.65), 2009 (2.60), 2010 (2.58) dan 2011 (2.57).
“Peningkatan prestasi itu bukan suatu perkara yang mudah dicapai melainkan perlu berusaha dengan gigih, berterusan, semangat yang jitu dan bersepadu untuk memastikan prestasi tidak merosot.Dengan catatan angka yang sangat baik ini juga secara tidak langsung telah melonjak pendidikan negeri Terengganu ke tahap yang terkehadapan di peringkat kebangsaan.
“Prestasi keseluruhan juga merekodkan GPN Terengganu jauh mengatasi Gred Purata Nasional,” katanya ketika mengumumkan Keputusan PMR 2013, di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.
Encik Zakaria berkata, bilangan calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran telah meningkat kepada 8.19 peratus iaitu pertambahan sebanyak 1.04 peratus berbanding pencapaian 7.15 peratus pada tahun 2012.
“Walaupun sasaran negeri 10 peratus, rekod ini jelas menunjukkan kita sedang menghampiri sasaran berkenaan. Ini kerana, sasaran yang tinggi perlu ditetapkan untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik supaya kita lebih berusaha untuk mendapatkannya ,” ujarnya.
Menurut beliau, banyak faktor yang mendorong peningkatan dalam kemajuan prestasi calon PMR Terengganu antaranya peranan kerajaan negeri yang saban tahun menyalurkan peruntukan besar kepada JPNT bagi mengadakan program-program akademik yang dapat melonjakkan kecemerlangan anak-anak Terengganu dalam bidang pendidikan.
“Selain kerajaan negeri yang mengutamakan pendidikan anak-anak negeri ini, peranan pihak lain termasuk warga JPNT, Pejabat Pendidikan Daerah, agensi kerajaan yang lain, pihak swasta, media dan tidak lupa jasa guru banyak menyumbang kepada kecemerlangan pelajar,” katanya.
Seramai 22,497 pelajar menduduki PMR seluruh Terengganu pada tahun ini berbanding 23,025 pelajar pada tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 21, 520 orang sekolah bantuan kerajaan (95.65 peratus); 566 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (2.51); 218 calon sekolah swasta (0.96) dan 193 calon persendirian (0.85).