Halaman

21 December 2013

APA HASRAT 'GIANT KILLER' ?



SESUATU produk dan penghasilan yang baik mestilah seiring dengan promosi, iklan, hebahan dan penerangan terhadapnya. Itulah antara lain yang ditegaskan oleh Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu yang baru, YB Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.
 Beliau yang pernah digelar ‘giant killer’ kerana mampu menewaskan Presiden Pas di Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu 1990 dan 2004. 
  Seorang yang berpengalaman dalam parti dan kerajaan, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Timbalan Pengerusi Mara, Pengerusi LKIM, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ketua Pemuda Umno Negeri, selain pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Marang. 
 Berikut adalah petikan sebahagian wawancara Pengarang Teganukita, RUSLAN ABDUL RAHMAN dengan Ketua Penerangan Umno Terengganu. 

 Pengarang: Tahniah di atas perlantikan, apa yang Dato’ fikirkan sekarang sebaik dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Terengganu. 

 Pertamanya saya hendak ucapkan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Umno Terengganu yang telah memberi kepercayaan kepada saya bagi menjalankan tugas-tugas penerangan parti ini. Saya sedikit pun tidak menyangka dilantik tetapi apabila dilantik, maka adalah menjadi tugas saya untuk menjalankan tugas dan amanah itu dengan sebaik mungkin.

 Saya fikir bahawa Umno perlu dipersadakan, sokongan ke atas parti keramat orang Melayu ini perlu ditingkatkan melalui program penerangan dari masa ke semasa. Sesuatu produk yang baik seperti Umno ini perlu diberi promosi, iklan atau kaedah pemasaran yang terbaik. Kalau hendak dibuat anologi, Umno adalah satu produk yang cukup baik, maka untuk laris dan mendapat tempat, pemasarannya dan pengiklanannya serta kefahaman terhadapnya mestilah seriiring, barulah akan laris dan mendapat pasaran yang terbaik.

Pengarang: Mampukah ia dilakukan, di saat-saat pihak parti lawan juga kuat? 

Oleh sebab itulah kita perlu kerjasama semua pihak. Pihak kami memerlukan kerjasama semua peringkat termasuk Umno Bahagian, Peti Undi, Cawangan, parti-parti komponen BN, agensi-asgensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, organisasi belia dan sebagainya bagi memantapkan tugas-tugas penerangan, promosi, pemasaran ,dengan izin ‘marketing’.

 Begitu juga, Umno tidak boleh bersendirian, tetapi rakan strategik perlu diwujudkan, membina rangkaian dan jaringan dengan pelbagai lapisan masyarakat, barulah roh Umno yang memperjuangkan bangsa dan agama, mempelopori pembangunan negara, pembangunan insan dan membawa negara ke arah kemajuan yang cemerlang dapat meresap ke dalam jiwa masyarakat.

Pengarang: Pendekatan yang bakal digunakan?

 Sebenarnya banyak kaedah penyampaian maklumat yang boleh kita lakukan. Selain kaedah ceramah, kita juga memerlukan pendekatan menggunakan saluran media baru atau media sosial yang berbagai pada masa kini. Blog, Facebook, twitter, youtube dan macam-macam sekarang ini, Instagram, LINE, WeChat termasuklah yang sebelumnya website,webtv, SMS, MMS dan sebagainya.

 Kita perlu mendekati usahawan, petani serta nelayan, penjaja dan peniaga Melayu di pasar-pasar dan pasar malam, kita Umno perlu menemui semua orang, semua lapisan masyarakat muda dan tua, wanita atau lelaki, pelajar, pekerja atau pesara. Kita perlu sampaikan maklumat dan penerangan kepada mereka, tentang apa yang Umno buat, tentang apa yang kerajaan Umno dan BN buat untuk faedah mereka.

 Apa yang kerajaan buat, pembangunan, kebajikan dan lain-lain bermakna Umno dan BN lah yang buat kerana dasar dan perancangan itu pemimpin parti kita yang buat itu semua. “Kita kena royak ke rakyat”. Kalau rakyat tidak tahu, samalah seperti kita tidak buat, jadi kena bagi tahu dan terangkan setiap kebaikan yang kerajaan dan Umno/BN buat untuk faedah rakyat.

 Pengarang: Apakah selama ini penerangan belum memadai ? 

Sesuatu itu perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Dalam budaya Jepun ada suatu budaya dikenali sebagai ‘kaizen’ yakni sentiasa cuba untuk membuat pembaharuan, penciptaan baru yang lebih baik dan menarik dan tidak beku dan memadai berpuas hati dengan apa yang telah ada. Sebab itu kita lihat bermacam-macam rekaan baru dari masa ke semasa dibuat ke atas kereta, peralatan elektronik dan pelabagai produknya. Jadi kita perlu terapkan budaya ini dalam bidang penerangan dan penyebaran maklumat ini.

Pengarang: Bila akan dimulakan itu semua? 

 Pertama saya akan membentuk Jawatankuasa Penerangan Peringkat Negeri terlebih dahulu. Kita perlu membentuk pentadbiran penerangan yang mantap terlebih dahulu dengan mengadakan permuafakatan dengan semua golongan untuk merancang dan menjalankan program. Kita bercadang mengadakan ‘retreat’ (perkampungan), bengkel, kursus dan lain-lain untuk perkasakan parti Umno. Kita perlu lipat gandakan program-program pemimpin bersama rakyat dalam apa bentuk sekalipun.

Umno perlu dipersadakan, ditingkatkan imej dan kedudukannya di mata rakyat dan pengundi bahawa inilah wadah perjuangan orang-orang Melayu yang mendokong prinsip BN, yang pada masa yang sama turut memberi perhatian kepada semua bangsa lain di negara ini. Bangsa lain, Cina, India dan lain-lain perlu dipastikan kembali menyokong BN dan kerajaan.

Wawancara sepenuhnya dalam akhbar Teganukita tidak lama lagi.