Halaman

16 December 2013

Kerajaan sedia insentif untuk nelayan dan petani

Oleh: Amirullah Othman

Kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada nelayan dan petani supaya dapat meningkatkan sara hidup golongan itu, sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
YB A Latiff Awang bersama golongan petani dan nelayan di majlis penyerahan Bantuan AZAM Tani.
Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang, berkata bantuan seperti benih pokok, baja, wang sara diri, subsidi, diesel, pukat, gentian fiber , enjin bot, baju keselamatan, peti kecemasan diberikan untuk meringankan beban petani dan nelayan.

“Semua penerima sepatutnya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan BN yang selalu membantu rakyatnya dalam apa jua bentuk subsidi dan bantuan. Keperihatinan kerajaan haruslah dibalas pada PRU14,” katanya sempena penyerahan Bantuan AZAM Tani di Perkarangan Pejabat Perikanan Daerah Marang, kelmarin.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, berkata nelayan dan petani mesti bijak mengambil peluang untuk mencuba bidang-bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) lain seperti pembuatan kerepek, keropok, sate ikan dan sebagainya untuk menambahkan pendapatan sekeluarga.

Projek AZAM Tani adalah salah satu daripada inisiatif di bawah Program 1AZAM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). KPWKM adalah peneraju kepada bidang keberhasilan utama Negara (NKRA) untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri pada 2010.

Projek itu dilaksanakan untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan sasar melalui pemberian bantuan projek ekonomi di dalam sektor tanaman, perikanan, penternakan, pemprosesan hasil tani, perniagaan hasil tani dan perkhidmatan pertanian.

 Ia juga untuk mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing golongan sasar di dalam bidang pertanian melalui latihan-latihan jatidiri, keusahawanan dan teknikal, selain membantu mengeluarkan peserta dari belenggu kemiskinan.