Halaman

15 December 2013

RKK pusat bandar mampu lonjak kepesatan ekonomi

Oleh; Esah Abdullah

Pembangunan semula kawasan Ladang - Tanjung, Kediaman Gong Kapas - Bukit Kecil serta pembangunan semula tapak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) dapat melonjakkan kepesatan ekonomi dan hartanah di pusat bandar.

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata, pembangunan semua kawasan stadium dan tapak IPK dan IPD serta sekitarnya akan mewujudkan pusat tumpuan baru yang akan dikenali sebagai Plaza Sentral.

"Pembangunan tersebut melibatkan komponen pusat perniagaan dan bazar, menara ikonik, bangunan baru IPD, dataran pelbagai guna, tambahan 1,000 unit tempat letak kereta dan koridor laluan pejalan kaki secara bersambungan hingga ke kawasan pembangunan muara selatan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Publisiti Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pusat Bandar Kuala Terengganu 2030 di Taman Tamadun Islam , Kuala Terengganu hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Yang Di Petua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Haji Mat Razali Kassim; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Projek Zon Timur, Haji Anaspekri Mahiddin dan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Dr. Rosli Muhamad.

Katanya, cadangan pembangunan yang akan melibatkan enam kawasan utama di bandar iaitu kawasan Ladang -Tanjung, Nesan Empat, Ladang Sahak, Paya Bunga, Batas Baru dan Gong Kapas bermakna tiada lagi kawasan yang tertinggal dari arus pembangunan perdana di kawasan pusat bandar.

"Srategi pembangunan pusat bandar akan memfokuskan kepada peningkatan daya huni, pembangunan mampan dan pembangunan ekonomi penduduk bandar manakala aspek warisan, estetika bandar dan kehendak rakyat turut diambil kira," katanya.

Katanya, pembangunan muara utara dan muara selatan turut menjadi pemangkin utama dalam mewujudkan bandaraya yang bertemakan pesisir air dan berfungsi sebagai pintu gerbang pelancongan antarabangsa di masa hadapan.

Beliau seterusnya berharap rakyat yang berkepentingan boleh bersama-sama memberi pendapat ke arah membangunkan bandar yang sejahtera, berdaya huni dan mampan.

Draf RKK ini telah dipamerkan kepada orang ramai di Dewan MBKT, Pejabat Perancang Bandar dan Desa dan Kompleks Seri Iman selama sebulan bermula 24 November dan berakhir pada 23 Disember depan.