Halaman

20 December 2013

Pelajar SMK Pelong dapat 9A PMR.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Berkat usaha lebih dan sentiasa memberi sepenuh tumpuan ketika mentelaah pelajaran akhirnya membuahkan hasil buat seorang pelajar SMK Pelong, dekat sini apabila dia mencapai keputusan 9A dalam PMR 2013 yang diumumkan, semalam.

Normaisarah Nordin, 15, yang berasal dari Kampung Tasek itu adakalanya melengah-lengahkan untuk makan apabila sedang mentelaah pelajaran kerana mahu memberi perhatian kepada apa yang sedang bacanya.

Menurut bapanya, Nordin Chik, 46, anaknya itu memang gemar membaca dan akan memberi sepenuh perhatian ketika sedang megulangkaji pelajaran.

"Anak saya ini tinggal di asrama SMK Pelong, masa balik rumah dia tidak lekang dengan buku malah di dua tiga bulan hendak ambil periksa, dia sanggup melambat-lambatkan untuk makan walaupun diajak berkali-kali oleh ibunya kerana mahu menumpukan perhatian kepada apa yang dipelajarinya.

"Bagaimanapun, dia belajar tidaklah lama ketika berada di rumah iaitu kira-kira dua jam sahaja sehari tetapi kalau di asrama mungkin lebih sedikit kerana dia ada peraturan," kata pengusaha batik di Setiu itu.

Dalam pada itu Normaisarah mengucapkan terima kasih saya kepada semua guru-guru dan kawan-kawan di SMK Pelong kerana banyak membantunya mencapai keputusan itu.

"Saya juga berterima kasih kepada semua ahli keluarga terutamanya ayah dan ibu yang sentiasa memberi semangat kepada saya supaya berjaya dalam pelajaran," katanya.