Halaman

16 December 2013

Sedia RM1.35 juta biayai pesakit kronik

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.35 juta bagi membiayai rawatan dan keperluan penduduk yang layak melalui Tabung Pesakit Kronik sepanjang tempoh enam bulan dan berakhir Oktober tahun ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, jumlah itu membiayai rawatan 788 penduduk yang menghidapi pelbagai penyakit kronik.

 Menurutnya, daripada jumlah itu, RM256,600 diperuntukkan kepada 158 pemohon yang menghidap penyakit buah pinggang.

 “Selain itu, kita bantu 132 orang yang menghidap penyakit jantung, dengan nilai bantuan keseluruhan adalah RM166,200. Manakala 79 orang penyakit kanser juga dibantu, dengan jumlah keseluruhan bantuan adalah RM123,750.

“Bagi lain-lain penyakit pula, kita ada 360 penerima bantuan, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM388,150 dan bagi bayaran bil-bil perubatan ialah sebanyak RM412,479.63, melibatkan 59 penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kerusi roda elektronik kepada dua kakitangan kerajaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini

Bantuan kerusi roda bernilai lebih RM9,000 seunit itu diberikan kepada Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi negeri yang kini berkhidmat di Wisma Darul Iman, Mat Rahim Daham, 55, dan Rosli Awang, 49, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Pejabat Perbendaharaan Negeri.

 YB Muhammad Pehimi turut memberitahu, Tabung Pesakit Kronik adalah tabungan yang bernilai RM10 juta, yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan bukannya peruntukan sebanyak RM10 juta setiap tahun. “Saya perbetulkan tanggapan ini.

Sebenarnya, apabila digunakan, tabung ini akan susut dan bila susut, ia memerlukan tambahan. Maka kita akan buat tambahan baru.

 “Harapan kita, dengan adanya bantuan ini, ia boleh meringankan beban serta memudahkan penerima bantuan. Kita seboleh-bolehnya ingin membantu semua agar rakyat negeri ini sentiasa terbela,” katanya.