Halaman

20 December 2013

SM Sains Sultan Mahmud terbaik PMR di Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) muncul sekolah terbaik di Terengganu apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.04 dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.

Daripada 28 buah sekolah yang berjaya mencatat GPS berpencapaian tinggi 1,00 hingga 1.80, Sesma berada di tangga teratas dengan 73 orang mendapat 8A daripada 100 calon keseluruhan.

Pengetuanya, Meriam Jusoh berkata, prestasi baik dan memberangsangkan yang diperolehi sekolah itu hasil gabungan kesungguhan pelajar dan kerjasama semua pihak terutama guru-guru yang sentiasa bersedia membantu pelajar tidak mengira waktu.

“Rahsia kejayaan sekolah ini adalah hasil gemblengan daripada displin pelajar dan dedikasi para guru yang banyak membantu menghasilkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

“Pelajar-pelajar kita sangat berdisplin dan guru-guru pula begitu berdedikasi. Hasil gabungan ini telah membantu Sesma menghasilkan pelajar berkualiti khususnya dalam peperiksaan PMR kali ini selaras dengan motto yang dipegang warga Sesma iaitu ‘Kualiti, Dedikasi, Displin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pengumuman Keputusan PMR Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Malah menurut Meriam, guru-guru Sesma membimbing pelajar bukan sahaja pada waktu persekolahan tetapi juga pada waktu malam, malah ada yang sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama pelajar mengulangkaji pelajaran demi kecemerlangan anak didik mereka.

Selain Sesma, sekolah lain yang turut tersenarai sebagai Sekolah Berpencapaian Tinggi (GPS 1.00 hingga 1.80) termasuk SM Imtiaz Kuala Berang (1.09) ; SBP Integrasi Batu Rakit (1.12) ; SMK Mak Lagam (1.13) ; SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin (1.13) ; SM Sains Hulu Terengganu (1.13) ; SM Imtiaz Dungun (1.14) ; SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.15) ; SM Sains Dungun (1.16) serta SM Imtiaz Besut (1.18).

SM Sains Setiu (1.18) ; SMK Tengku Mahmud (1.18) ; SMK Lembah Bidong (1.19) ; SMK Tengku Intan Zaharah (1.20) ; SM Imtiaz Kemaman (1.20) ; SMK Chukai (1.22) ; SMKA Sheikh Abdul Malik (1.24) ; SMK Sultan Sulaiman (1.26) ; SMKA Kuala Abang (1.31) ; SMKA Tok Jiring (1.33) ; SMKA Durian Guling (1.43) ; SMK Tengku Ampuan Intan (1.43) ; SMKA Nurul Ittifaq (1.49) ; SMK Dato’ Razali Ismail (1.59) ; SMA Sultan Zainal Abidin Ladang (1.60) ; SMA Khairiah (1.62) ; SMKA Wataniah (1.70) dan SMK Pelong (1.72).