Anggota tentera membawa keluar mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini. |
BANJIR yang melanda Kemaman pada bermula petang 3hb.12.2013 (Selasa) dan berakhir kira-kira seminggu kemudian tentunya akan menjadi ingatan bukan sahaja penduduk Kemaman malah penduduk di negeri ini kerana ia adalah antara yang terburuk dalam sejarah daerah itu sejak hampir 30 tahun lalu.
Banjir itu menyaksikan beribu penduduk dari beberapa kawasan terpaksa berpindah dan menyebabkan beratus buah kenderaan termasuklah kereta dan motosikal ditenggelami air, barangan rumah seperti perabot, barangan elektrik, elektronik, pakaian dan lain-lain, rosak.
Turut mengalami kerosakan ialah beberapa buah rumah papan, jalan raya, jambatan dan beberapa kemudahan awam lain, peralatan pejabat, tanaman, ternakan dan lain-lain yang dianggarkan pihak tertentu kerugian mencecah jutaan ringgit.
Namun disebalik musibah itu, tentunya kita dapat melihat wujudnya kasih sayang antara manusia, belumpun banjir surut sepenuhnya, bantuan sudah mula mencurah tiba samada daripada pihak kerajaan, syarikat swasta, NGO ataupun orang perseorangan dan lain-lain.
Pihak kerajaan selain menunaikan tanggungjawabnya menjaga kesempurnaan di tempat pemindahan seperti penyediaan makanan dan tempat tidur, juga memberi bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang diperuntukan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Pihak syarikat swasta, parti politik , NGO, orang perseorangan dan lain-lain, mampunyai inisiatif masing-masing dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir samada dalam bentuk kewangan, barangan makanan ataupun kemanusiaan.
Pasukan penyelamat pula antaranya ialah Bomba, Angkatan Tentera, JPAM, Polis dan lain-lain berjaya dalam menjalankan tugas masing-masing dengan lancar dan baik . Begitu juga dengan agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran dan lain-lain bersama-sama berganding bahu membantu mangsa banjir.
Sepanjang penulis berada beberapa hari di sebuah rumah di Jalan Air Putih, Chukai yang terbabit dengan banjir kerana membersih kawasan rumah itu, pelbagai bentuk bantuan daripada pelbagai pihak dihulurkan antaranya ialah barangan makanan seperti roti, makanan dalam tin, selimut, bantal dan lain-lain silih berganti.
Ianya bukan sahaja dari negeri Terengganu malah ada yang datang dari beberapa negeri lain antaranya ialah seorang ahli perniagaan dari Kelantan yang datang membawa berpuluh helai ‘toto’ dan bantal untuk di bahagikan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan perumahan sekitar Chukai.
Itu dari segi material manakala dari segi kemanusian pula, banyak pihak yang datang menawarkan perkhidmatan untuk membersih kawasan rumah, membantu membawa masuk dan keluar mangsa banjir antaranya ialah penuntut dari beberapa pusat pengajian tinggi, persatuan-persatuan dan orang perseorangan.
Selain itu, sanak-saudara yang bersimpati juga turut datang dari jauh untuk melihat sendiri keadaan rumah saudara mereka yang dilanda banjir dan membantu membersih rumah serta kawasan sekitarnya seperti membasuh pakain yang ditenggelami air lumpur, membasuh lantai berlumpur, membuang barangan yang tidak boleh digunakan dan lain-lain.
Sekalipun mengalami kerugian yang besar akibat banjir itu, ketiadaan bekalan elektrik ,air dan alat perhubungan, putus bekalan minyak, kehabisan bekalan makanan di beberapa kedai runcit selama beberapa hari namun masing-masing tetap tenang dan bersabar malah ada yang masih mampu tersenyum apabila diajukan soalan mengenai jumlah kerugian yang mereka alami.
Itulah sebenarnya rakyat Malaysia penuh dengan kasih sayang, sabar dalam menghadapi dugaan. Semoga bencana seperti ini tidak akan hadir lagi di negara ini walaupun ia banyak mengajar kita mengenal erti kehidupan .
Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Memikul. Bersama-samalah kita terus membantu mangsa banjir di negeri ini terutamanya penduduk di Kemaman yang begitu terkesan dengan musibah banjir ini bagi meringani bebanan mereka dengan menghulurkan segala bentuk bantuan termasuklah kewangan melalui saluran yang betul.