Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh
Skuad Prihatin Unit komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) melancarkan program serampang dua mata apabila turun padang merakamkan perkembangan di beberapa penempatan serta membantu meringankan penderitaan mangsa akibat bencana banjir di Kemaman, semalam.
|
Sedikit sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir |
Program yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi) Ukom, Encik Ruslan Abd Rahman serta 20 kakitangan itu, mendapat kerjasama Manis FM serta Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Kemaman.
Turut serta, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Mohd Razif Abdul Majid; Naib Ketua Wanita Umno Kemaman, Puan Hajah Rosmiza Mokhtar; Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Kemaman serta sekumpulan kakitangan ManisFM.
|
En. Ruslan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir |
Skuad berkenaan meninjau dan menyampaikan bantuan makanan kepada 40 ketua keluarga di sekitar Chukai sepanjang program yang bermula dari jam 12 tengahari sehingga 6 petang itu.
|
Keadaan rumah penduduk yang terjejas banjir |
Encik Ruslan berkata, pihaknya terpanggil untuk bersama-sama membantu mangsa bencana alam di Kemaman selepas melihat kesengsaraan penduduk yang terpaksa berhempas-pulas membersihkan kediaman dan perkakas rumah akibat ditenggelami air.
“Walaupun peranan dan kehadiran kami mungkin tidak mampu membantu ramai mangsa, tetapi sekurang-kurangnya Skuad Prihatin Ukom dapat menyelami isi hati, bertanya khabar dan menghulurklan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang sedang dihadapi mereka.
|
keperluan asas seperti makanan besar nilainya kepada mangsa banjir |
“Melalui program seumpama ini juga membuktikan Ukom bukan sekadar menjadi jambatan dan medium bagi menyebar luas segala fungsi dan kegiatan kerajaan menerusi produk yang dihasilkan, Ukom juga turun padang sebagai menjalankan tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Menurutnya, program yang menjadi serampang dua mata kepada Ukom dengan kerjasama agensi kerajaan dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan yang lain akan diteruskan pada masa depan.