Halaman

17 December 2013

Salah guna `minit MB' untuk luluskan projek

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengesan tindakan satu jabatan di negeri ini yang menyalah gunakan `minit Menteri Besar (MB)’ sebagai kebenaran meluluskan sesuatu projek.



“Kebelakangan ini, ada satu dua jabatan, saya dapat maklumat katanya, dia sengaja kalau hendak beri projek si A, kamu pergi dapatkan Menteri Besar (MB) biar MB minit sikit.

“Dah memang mungkin ada pakatan, Allahualam lah, tetapi itu cara dia buat. Kalu dia tidak mahu beri, memang dia tidak beri juga kalau saya minit pun. Tetapi orang tertentu yang dia hendak bagi itu, dia suruh dapatkan minit saya terlebih dahulu,” katanya kepada media selepas Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu  Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama, Pengarah Siasatan SPRM, Dato Mustafar Ali dan Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Tuan Zainal Adam.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihak terbabit seakan-akan menjadikan surat sokongan dan kenyataan bertulis supaya mempertimbangkan permohonan tertentu sebagai jalan keluar dan alasan  kukuh sekiranya ada pihak lain yang mempersoalkan kelulusan itu kelak.

“Itu bagi satu jabatan berkenaan sahaja. Ketua jabatan berkenaan yang saya dapat maklumat setakat ini. Dia nak melarikan diri, maknanya apabila orang bertanya sebab apa dapat (kelulusan). MB minit, saya berilah, sedangkan orang lain ada juga saya minit, tidak dapat, orang tertentu yang dia hendak bagi ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat dan memantau kes itu secara dalaman dan belum diserahkan untuk siasatan SPRM.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya sudah mengingatkan semua pegawai dan ketua jabatan supaya menyiasat dan menimbang setiap permohonan bergantung kepada kesesuaian harga dan tidak menganggap `minit MB’ itu sebagai satu arahan kelulusan.

Selain itu, beliau berkata ada pihak yang tidak memahami kaedah sebenar dan mengadu kepadanya selepas gagal mendapat sesuatu projek sedangkan beliau hanya menurunkan tandatangan sokongan dan meminta supaya permohonan itu dipertimbangkan terlebih dahulu.

Sebelum itu, beliau berkata, program bersama SPRM itu amat penting kepada kepimpinan negeri terutama Adun supaya dapat menilai peranan dan tugas mereka bagi memastikan tidak melakukan kesalahan yang boleh dirujuk kepada badan itu.

 “Kalau mereka ada melakukan kesalahan, tanggungjawab mereka sendirilah kerana kita sudah beritahu, sudah beri taklimat mengenai kesalahan yang sepatutnya tidak dilakukan, apa yang dinamakan rasuah, apa yang dinamakan salah guna kuasa, apa yang dikatakan kecuaian, mungkin mereka tiada niat rasuah, tetapi mereka cuai. Macam runtuhan yang berlaku, tidak terlibat rasuah tetapi cuai kerana tidak menjalankan tugas menyelia betul-betul,” katanya.