Halaman

16 December 2013

500 sukarelawan turun padang bantu mangsa banjir di Hulu Dungun

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 500 sukarelawan Umno daerah Dungun serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan turun padang untuk membersihkan penempatan yang dilanda banjir sekitar kawasan Hulu Dungun.

Malah, 80 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi serta Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) turut menyertai para sukarelawan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menjayakan Program Misi Bantuan Bencana Dun Bukit Besi itu.

Ahli Dewan Undangan Bukit Besi, YB Roslee Daud berkata, untuk program berkenaan, pihaknya memperuntukkan lebih dari RM100,000 bagi membeli barangan keperluan makanan untuk 1,150 keluarga mangsa banjir yang terjejas antaranya beras, gula, susu serta tepung.

 “Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Minda, Kampung Tepus, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongok Batu serta Kampung Rantau Panjang,” ujarnya kepada pemberita sempena Program Misi Bantuan Bencana Dun Bukit Besi, baru-baru ini.

Menurut YB Roslee yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berkata, memandangkan Hulu Dungun merupakan kawasan yang terjejas teruk setiap kali banjir melanda, pihaknya akan mengambil tindakan untuk memperbaiki dan menyediakan fasiliti yang lebih baik kepada penduduk.

"Memang kawasan di sini terjejas teruk setiap kali musim banjir, dan masalah utama disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna, jadi kita akan cuba memperbaiki sistem saliran di kampung-kampung yang terlibat supaya tidak banyak yang terjejas sekiranya banjir kembali melanda,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi memberi keselesaan kepada penduduk, fasiliti di pusat pemindahan juga akan dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada masa akan datang.

YB Roslee berkata, pihaknya juga akan cuba untuk memindahkan beberapa buah rumah penduduk yang terletak di kawasan yang terlalu rendah ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat.

 "Seperti di Kampung Pasir Raja dan Minda, ada penduduk yang tinggal di kawasan yang terlalu rendah, dan kita akan buat pemindahan ke kawasan yang tinggi untuk persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya.