Halaman

19 December 2013

Perhebat sukan untuk pendidik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu bercadang untuk memperhebatkan lagi program sukan yang membabitkan guru di masa depan dalam usaha mencurahkan bakat serta melahirkan atlet berwibawa di kalangan pelajar negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, YB Ghazali Taib, berkata peranan guru amat penting dalam usaha mencungkil bakat baru di kalangan anak didik khususnya pelajar masing-masing dalam pelbagai bidang sukan seperti bola sepak dan sepak takraw.



"Pendidik ini asalnya atlet di peringkat sekolah, maktab perguruan, universiti dan setengahnya mewakili negeri kerana apabila berkhidmat dalam perkhidmatan, kementerian akan menggalakan mereka menyuburkan bakat kerana kebolehan boleh dicurahkan di peringkat sekolah untuk melahirkan atlet berpotensi di masa depan

“Di mana-mana negara sekalipun peranan pendidik penting dalam melahirkan ahli sukan yang berwibawa kea rah menuju negara maju, kita lihat sukan semakin penting bukan sahaja sebagai alat perpaduan, malah sebagai industri yang memberi limpahan pendapatan lumayan bukan sahaja kepada atlet sukan bola sepak dan badminton ,” katanya.

beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dalam pada itu, seramai 3,000 pendidik  dan pegawai serta keluarga berkampung di Kuala Terengganu bagi menyertai kejohanan itu.

Terengganu mengumpul 13 mata untuk memenangi tempat keempat di belakang johan kejohanan yang dirangkul Perak (23 mata), naib johan, Selangor (18) dan ketiga Johor (17) dalam pertandingan yang membabitkan 10 acara keseluruhannya.