Halaman

26 December 2013

200 peserta meriahkan pertandingan memancing Kampung Bukit Rhu Rendang

Oleh : Amirullah Othman

Seramai 200 peserta di kalangan warga setempat menyertai Program Pertandingan Memancing Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Rhu Rendang, Marang, kelmarin.

Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar merangkap Ketua Penerangan Umno Perhubungan Negeri merasmikan program tahunan itu.

Dalam ucapan perasmian, beliau berharap program itu dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat, di samping sentiasa mencari inisiatif menganjurkan pelbagai program yang mampu memberi manfaat kepada seluruh penduduk kampung.

“Tanpa semangat dan sikap tolong menolong di kalangan semua pihak sudah tentu program memancing pada hari ini tidak akan berjaya.

 “Semangat itu juga diperlukan dalam setiap gerak kerja dan kehidupan seharian kita supaya kita tidak dilihat sebagai masyarakt yang malas, hanya berharap kepada subsidi kerajaan semata-mata, sebaliknya kita perlu mengguna dan mencari peluang yang disediakan untuk meningkat taraf hidup,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Rhu Rendang, Encik Wan Kamaludin Wan Chik; semua jawatankuasa dan Kelab Rukun Tetangga Serta Persatuan Belia kampung berkenaan.

Kampung Bukit Rhu Rendang terletak di antara Rhu Rendang dan Bukit Kor mempunyai tiga Taman Perumahan dengan kepadatan kira-kira 2,000 penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan.


ONDE-ONDE, BENGKA, LAKSA KUAH PUTIH, LEMANG ALA KIJAL, DAN BUDU PUN TERDAPAT DI KEPULAUAN NATUNA


"ORANG MELAYU TERENGGANU DI KEPULAUAN NATUNA"
Bahagian Kedua. 

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Kuih onde-onde juga merupakan makanan kegemaran penduduk kepulauan Natuna dan onde-onde juga terdapat di Terengganu. Begitu juga dengan laksa yang disebut disana sebagai ‘Lakse Kuah’.
 Ia tidak lain dan tidak bukan sepertimana laksa kuah santan putih sepertilah yang popular di Terengganu, cuma laksanya diperbuat dari tepung sagu, bukannya gandum atau beras.                         




                              Pedek seumpama budu Terengganu disediakan di Pulau Natuna

Satu lagi makanan popular sebagai lauk nasi di sana ialah ‘Pedek’ yang jika diperhatikan adunannya tidak ubahlah seperti’ budu’ di Terengganu.
 Ia diperbuat dari ikan bilis, dicampur garam dan asam keping yang kemudiannya di peram untuk beberapa ketika di dalam tong sebelum dimakan dengan nasi dan berbau sebagaimana budu Terengganu.

 Lain-lain yang terdapat di sana ialah kuih 'bengka' yang diperbuat dari ubi dan juga lemang sebagaimana lemang di Kijal Kemaman.
 Jadi jelaslah kepada kita bahawa benarlah sebahagian penduduk peribumi kepulauan Natuna di Lautan China Selatan itu adalah terdiri dari orang Terengganu zaman dahulu lagi.
 Dari sudut geographi memanglah kepulauan Natuna yang mempunyai gugusan 272 buah pulau kesemuanya terlalu dekat dengan Terengganu, bersetentang khususnya daerah Kemaman atau Chukai Kemaman atau bersempadan dengan Kuantan Pahang.
  Apatah lagi bahasa pertuturan mereka adalah bahasa Melayu dielek negeri Terengganu dan Islam pula adalah agama sebahagian besar penduduknya yang berjumlah 69, 000 orang.
  Oleh kerana kedudukannya terlalu dekat dengan Terengganu, seringkali nelayan Terengganu seperti dari Dungun dan Kemaman terbabas di perairan melepasi sempadan kerana pada masa kini Natuna di bawah hak kekuasaan kerajaan Indonesia.
 Tentu kita masih ingat dua tahun yang lalu misalnya, tiga orang nelayan dari Dungun, Adenan Said, 49, Saifullizan Hamzah, 29, dan Almi Awang, 43, ditahan TNI Angkatan Laut semasa menangkap ikan di sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada pukul 9 pagi, 29 Sept lepas atas dakwaan memasuki perairan Indonesia.
 Sewaktu diwawancara wartawan, Almi berkata itu adalah kali pertama ditahan oleh pasukan tentera luar negara setelah 12 tahun menjadi sebagai nelayan.
  Bagaimanapun pengalaman tersebut tidak akan mematahkan semangat mereka dan akan turun kembali ke laut untuk menangkap ikan, katanya.
  Semasa ditahan mereka dilayan dengan baik oleh pihak tentera Indonesia, namun tidak dibenarkan membuat panggilan telefon, katanya.
  Menceritakan detik cemas ketika ditahan, Almi berkata mereka sedang mengangkat bubu apabila sebuah kapal tentera Indonesia menuju ke arah mereka.
  “ Empat anggota tentera laut Indonesia menaiki bot kami lalu mengarahkan kami menuju ke Pulai Ranai, (berhampiran kepulauan Nadi dalam daerah Natuna), yang mengambil masa satu malam perjalanan," katanya.
  Almi berkata mereka kemudian ditahan di Kota Ranai, Natuna kerana didakwa memasuki perairan Indonesia.
     (bersambung di bahagian ketiga)



Bahagian Pertama (untuk yang belum membaca di bahagian pertama)- Pengarang

Orang Melayu Terengganu wujud di Kepulauan Natuna?

Makanan Terengganu seperti nasi dagang, kayu keramat dan pulut lempa juga dikatakan juga terdapat di sana.
Biarpun ia telah menjadi milik negara Indonesia, tetapi tetapi dari segi geographinya, ia terlalu dekat dengan Terengganu.
Mungkin bagi pekerja-pekerja cari-gali minyak Luar Pantai yang berpusat di Kerteh, mengetahui tentang kewujudan tempat atau pulau ini.
Kepulauan yang terletak dalam gugusan kepulauan yang berselerakan di Laut China Selatan, maka Natuna adalah di antaranya.
Ia terletak di laluan Semenanjung Malaysia (Terengganu) ke Malaysia Timur (Sabah/Sarawak).
Pengarah Muzium Negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah mengesahkan tentang persamaan budaya Terengganu dan Natuna.
“Saya telah banyak dihubungi oleh kawan-kawan yang pernah ke sana dan menceritkan tentang persamaan orang Terengganu dan Natuna, khususnya dari segi makanan,” katanya kepada Pengarang Teganukita.

















Ketengah anjur Festival Kenyir 2014

 Oleh: Suriati Ali 

 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal menganjurkan Festival Kenyir 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2014) tahun hadapan.

 Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, festival itu akan berlangsung selama sebulan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir bermula 29 April sehingga 28 Mei 2014.

 Menurutnya, banyak aktiviti diadakan sepanjang festival itu nanti antaranya persembahan kebudayaan, pameran jabatan, peluang menaiki helikopter dan menyaksikan 'power boat'.

"Usaha ini untuk menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang," katanya.

 Encik Wan Mat Amin berkata, festival itu program khusus sempena TMM 2014 di bawah Pelancongan Malaysia Terengganu.

 “Program Piala Kenyir yang ditunda pada tahun ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan peserta dari China.

 "Kita sudah rancang untuk buat (Piala Kenyir) tahun ini, tetapi tidak sempat dan dianjak pada tahun hadapan. Peserta bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM 15,000," katanya.

 

Anak peserta BSA dapat bantuan persekolahan.



TERIMA...seorang peserta Besut-Setiu Agropolitan (BSA)menerima sumbangan persekolahan anaknya dari Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh di Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Anak-Anak Peserta BSA, di Panchor Menderu, Langkap, Setiu, kelmarin.

Seramai kira-kira 80 keluarga BSA menerima bantuan daripada ECER itu, iaitu sebanyak RM50 untuk anak yang belajar di tadika, RM100 untuk sekolah rendah manakala sekolah menengah pula menerima RM150.

Pengarah Pusat Jaringan Penyelidikan ECER Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr, Nur Azura Sanusi, berkata sumbangan dari ECER itu adalah bertujuan bagi menampung berbelanjaan keluarga peserta BSA menghadapi musim persekolahan anak-anak mereka tahun depan.

"Seramai kira-kira 80 keluarga BSA menerima bantuan itu. Sebanyak RM50 untuk anak yang belajar di tadika, RM100 untuk sekolah rendah manakala sekolah menengah pula menerima RM150," katanya.

Nur Azura(kanan) bersama Zulkifli dan isteri,  Pengurus BSA, Rahim Maulud.(kiri)
Sementara itu, Che Zulkifly mengingatkan peserta BSA supaya bekerja lebih kuat lagi untuk mempastikan produktiviti agropolitan itu sentiasa meningkat dan ianya akan memberi pendapatan yang lebih kepada peserta pada masa akan datang.

"Saya juga mengharapkan peserta di BSA ini berterima kasih kepada kerajaan dengan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya projek BSA itu akan terus berjalan lancar pada masa depan demi untuk kemakmuran pesertanya," katanya.-Oleh: Aminudin Ismail.



 

Peserta 'Jom Nanam" perlu sertai koperasi- Nawi.

Nawi..sama-sama pakat nanam.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Penduduk di negeri ini diharapkan akan membantu usaha kerajaan menjayakan kempen 'Jom Nanam' yang akan dilancarkan pada Februari tahun depan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad, berkata kempen itu diharap dapat mengurangkan kepergantungan terhadap sayuran dari luar dan mengurangkan perbelanjaan harian keluarga.

"Jom Nanam ini dijangka kita akan lancarkan pada bulan Februari ini. Kita akan mengesyorkan tanaman di tanah rendah selain tanaman di tanah tinggi. Kita akan zonkan jenis tanaman mengikut Dun.

"Objektifnya adalah bertujuan untuk mempastikan penduduk dapat makan sayuran yang segar dan sihat. Selain itu kita mahu penduduk di negeri ini menanam sendiri tanaman untuk kegunaan harian mereka dan ini akan mengurangkan bebanan mereka untuk perbelanjaan harian terhadap sayur-sayuran ini," katanya.

Nawi berkata, pihak kerajaan akan mengunakan kaedah koperasi supaya program ini berjalan dengan baik dan berterusan.

"Sesiapa yang hendak menyertai program ini hendaklah menjadi ahli koperasi yang akan ditubuhkan kelak. Kita akan beri bantuan (benih, baja) kepada koperasi dan koperasilah yang akan memberi kepada peserta.

"Dan peserta kemudian akan menjual lebihan kegunaan harian mereka kepada koperasi dan begitulah seterusnya," katanya selepas merasmikan Majlis Program UMT bersama BSA di Panchor Menderu, Langkap, dekat sini, kelmarin.


25 December 2013

Kempen cintai haiwan kesayangan dapat sambutan




Oleh: Mohammad Ishak

Kempen mencintai haiwan kesayangan anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Besut semalam mendapat sambutan orang ramai khusnya pemilik haiwan kesayangan.

Program sehari yang pertama kali diadakan bertujuan memberi peluang orang ramai mengenali budaya menyangi haiwan selain mendapatkan khidmat nasihat percuma dari jabatan berkenaan.

Pegawai Perkhidmatan Veterinar Besut, Nik Mohd Hafiz Ramli berkata, sempena program itu pihaknya turut mengeluarkan kad pengenalan haiwan kesayangan,klinik terbuka dan pertandingan cintai haiwan tersayang.

Selain itu, katanya, orang ramai juga berpeluang mengikuti ceramah bertajuki “Penyakit Haiwan Kesayangan Kepada Manusia” serta cara penjagaan haiwan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani,Perusahaan Perladangan, Nawi Mohamad ketika merasmikan program itu meminta masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya membuang binatang terutama kucing di jalanan, sebaliknya menyerahkan haiwan terbabit kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Hadir sama ialah Pengarah JPV Terengganu Dr Marzuki Zakaria.

Katanya, ini kerana JPV Terengganu menyediakan pusat khas untuk memelihara haiwan berkenaan.

Tindakan membuang kucing di tempat awam seperti pasar dan hospital malah kadang-kadang masjid bukan sahaja tidak wajar tetapi juga menimbulkan masalah kepada pemilik premis, katanya ketika menutup Kempen Cintai Haiwan Kesayangan di Pejabat Veterinar Besut, di sini semalam.


Beliau juga menegaskan Islam turut melarang umatnya menganiaya binatang, malah mereka wajib memastikan haiwan yang dipelihara dijaga dengan baik. 


Dalam kempen anjuran JPV Terengganu itu, lebih 50 ekor kucing diperiksa oleh pegawai veterinar yang turut menyediakan perkhidmatan memasang cip mikro secara percuma.









Kempen cintai haiwan kesayangan dapat sambutan



Kompleks Meterniti HSNZ beroperasi Februari tahun depan.

Oleh: Suriati Ali

Kompleks Materniti di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini yang sepatutnya disiapkan oleh kontraktor pada penghujung tahun 2011 dijangka mula beroperasi Februari tahun depan.

 Difahamkan kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM115 juta baharu saja diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya kepada pentadbiran hospital dan proses pengujian dan pentauliahan telah selesai dilakukan.

 Difahamkan pihak hospital melalui Kementerian Kesihatan kini dalam proses pembelian peralatan untuk membolehkan kompleks itu dapat beroperasi secara berperingkat yang sekali gus dapat mengatasi masalah kesesakan di wad kelas dua dan tiga.

 Dengan beroperasinya kompleks setinggi enam tingkat itu kelak akan memberi tambahan 312 katil dan memberikan persekitaran yang lebih melegakan terutama bagi ibu-ibu yang mengandung, bersalin serta menjalani rawatan susulan.

Pada masa yang sama, masalah tempat letak kereta yang sentiasa menjadi rungutan pelawat dapat dikurangkan ekoran kompleks berkenaan menyediakan hampir 400 petak.

Kompleks itu adalah yang pertama di Pantai Timur merupakan kompleks khas yang menjadi sebuah pusat sehenti khusus untuk ibu hamil, ibu selepas bersalin dan bayi baru lahir.

Mula dibina pada penghujung 2008, projek itu berjalan agak perlahan disebabkan pelbagai faktor.

 Baru-baru ini, kerajaan negeri melalui jawapan bertulis pada sidang Dewan Undangan Negeri memberitahu, untuk jangka masa panjang, masalah kesesakan di HSNZ akan dapat diatasi sepenuhnya dengan pembinaan Hospital Marang.

 Marang yang berdekatan dengan daerah ini merupakan satu-satunya daerah yang masih belum mempunyai hospital dan cadangan pembinaan telah dikemukakan kepada kerajaan Pusat.

Sidang DUN juga diberitahu, bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya unit hemodialisis turut diwujudkan di Maras, khusus bagi pesakit di sebelah Kuala Terengganu Utara.

Di HSNZ kini hanya terdapat 27 mesin hemodialisis dan bilangan ini sememangnya tidak mencukupi dengan peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan. Justeru, permohonan telah dihantar ke Kementerian Kesihatan pada Oktober lalu untuk tambahan tujuh lagi unit.

 

UMT mahu tingkatkan pendapatan nelayan.

Ibrahim..sedang buat kajian.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedang kini sedang memfokuskan mengenai pembangunan komuniti nelayan di negeri ini bagi mempertingkat sosio-ekonomi golongan itu, kata Naib Cancelor UMT, Dato' Dr. Ibrahim Komoo.

Menurutnya, selaku sebuah universiti yang berada di pesisir pantai dan bidang pengajian utama UMT ialah ilmu kelautan dan akuatik, tumpuan dan kajian terhadap perkara itu wajar dilakukan.

"Membangunkan komuniti nelayan dilihat sebagai satu agenda penting kami di UMT. Buat masa ini, komuniti nelayan dilihat sebagai komuniti yang berpendapatan rendah dan kurang diceburi generasi muda.

"Sehubungan itu, UMT kini sedang merencanakan satu kaedah dan modul untuk tujuan mentranformasi komuniti itu bagi mempastikan kerjaya sebagai nelayan ini dapat menarik minat generasi muda dan menjadikan golongan itu mampu berdikari dan berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, UMT sentiasa berhasrat mahu mempunyai jaringan kerjasama berterusan dengan semua pihak termasuklah kerajaan, swasta, badan berkanun serta NGO.

"Kami berharap kewujudan UMT ini bukan sahaja untuk manfaat pelajarnya malah kami mahu keseluruhan penduduk di negeri Terengganu ini akan menerima impak yang positif," katanya dalam teks ucapan ketika majlis perasmian Program UMT bersama BSA di Pasir Menderu, Langkap, dekat sini, semalam.

 

Lantik badan induk pulih Lembah Limau Madu Durian Mentangau

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melantik satu badan induk dan jawatankuasa teknikal yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan serta teknikal bagi memulih dan membangunkan semula Lembah Limau Madu di Durian Mentangau, Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani Dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, YB Haji Nawi Mohamad berkata perancangan itu memerlukan persetujuan semua pelabur yang terlibat dengan projek penanaman berkenaan.

“Projek tanaman limau madu fasa 1, Durian Mentangau juga boleh diteruskan dengan mengambilkira segala cadangan dan rumusan dalam laporan Jawatankuasa Khas Projek Limau Madu.

“Segala permasalahan yang dihadapi sebelum ini hendaklah ditangani supaya kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi,” katanya sebagai menjawab soalan bertulis YB Haji Satiful Bahari Mamat (Paka-Pas), di Sidang DUN, baru-baru ini.

Dalam pada itu, YB Haji Nawi berkata, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kos pelaburan dan hanya menyediakan tanah secara pajakan kepada pihak pelabur yang terlibat.

Katanya, khidmat nasihat teknikal kepada pelabur pula dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan tanaman itu.

Tambah beliau lagi, faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan projek limau madu berkenaan adalah masalah serangan penyakit “citrus greening” disebabkan oleh sebahagian anak benih yang ditanam tidak bebas penyakit berkenaan sekali gus mengakibatkan penyakit cepat merebak.

“Masalah kegagalan itu juga berpunca dari pengurusan dan kawalaan penyakit, tiada koordinasi dan persefahaman di dalam pengawalan jangkitan serangga vektor penyakit dan kebanyakan pengusaha pula tidak mengendalikan pengurusan pengawalan serangan vektor menyebabkan penyakit merebak dengan cepat.

“Infrastruktur seperti jalan ladang dan teres yang tidak mencukupi dan sempurna turut menyebabkan pengurusan tanaman di ladang tidak dapat dijalankan mengikut jadual. Malah, ia juga disebabkan tidak ada sistem pengairan menyebabkan pokok tidak dapat bekalan air secukupnya terutama di musim kemarau,” katanya.

 

24 December 2013

Maidam terima zakat Affin Bank Berhad berjumlah RM466,666.67

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Affin Bank Berhad berjumlah RM466,666.67.
Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Zakat) Maidam, Azmi Tengah yang mewakili Maidam menerima bayaran zakat berkenaan daripada Pengurus Cawangan Affin Bank Berhad Kuala Terengganu, Mohamed Nazri Mohamed Nawi yang mewakili institusi perbankan itu.

Menurut Azmi, zakat perniagaan yang diserahkan Affin Bank Berhad adalah selepas mengambil kira keuntungan yang diperoleh pihak itu pada tahun 2012.

Mengulas lanjut, katanya, jumlah kutipan zakat oleh Maidam sepanjang tahun ini sehingga 23 Disember adalah sebanyak RM107.7 juta.

“Bagi memudahkan orang ramai, bermula 13 Disember lepas, Maidam membuka kaunter pungutan zakat tujuh hari seminggu termasuk hari cuti umum. Dan, tempoh perkhidmatan kaunter bergerak Maidam di setiap daerah juga dilanjutkan sehingga jam 8 malam," katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Affin Bank Berhad kepada Maidam di Bangunan Maidam, hari ini.