Nawi..sama-sama pakat nanam. |
BANDAR PERMAISURI: Penduduk di negeri ini diharapkan akan membantu usaha kerajaan menjayakan kempen 'Jom Nanam' yang akan dilancarkan pada Februari tahun depan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad, berkata kempen itu diharap dapat mengurangkan kepergantungan terhadap sayuran dari luar dan mengurangkan perbelanjaan harian keluarga.
"Jom Nanam ini dijangka kita akan lancarkan pada bulan Februari ini. Kita akan mengesyorkan tanaman di tanah rendah selain tanaman di tanah tinggi. Kita akan zonkan jenis tanaman mengikut Dun.
"Objektifnya adalah bertujuan untuk mempastikan penduduk dapat makan sayuran yang segar dan sihat. Selain itu kita mahu penduduk di negeri ini menanam sendiri tanaman untuk kegunaan harian mereka dan ini akan mengurangkan bebanan mereka untuk perbelanjaan harian terhadap sayur-sayuran ini," katanya.
Nawi berkata, pihak kerajaan akan mengunakan kaedah koperasi supaya program ini berjalan dengan baik dan berterusan.
"Sesiapa yang hendak menyertai program ini hendaklah menjadi ahli koperasi yang akan ditubuhkan kelak. Kita akan beri bantuan (benih, baja) kepada koperasi dan koperasilah yang akan memberi kepada peserta.
"Dan peserta kemudian akan menjual lebihan kegunaan harian mereka kepada koperasi dan begitulah seterusnya," katanya selepas merasmikan Majlis Program UMT bersama BSA di Panchor Menderu, Langkap, dekat sini, kelmarin.