Halaman

22 December 2013

Ar-Rahnu Maidam luluskan RM914.4 juta pembiayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Skim Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) meluluskan sebanyak RM914.4 juta pembiayaan dengan jumlah transaksi gadaian keseluruhan 748,786 sejak ditubuhkan pada 1992 sehingga  Oktober 2013.

Sehingga September 2013, keuntungan bersih Skim Ar-Rahnu Maidam sebanyak RM2,905,752.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata daripada jumlah itu, seramai 300,000 pelanggan menerima manfaat dari sembilan pajak gadai yang beroperasi seluruh Terengganu.

“Ar-Rahnu secara keseluruhannya memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 orang setiap tahun yang melibatkan nelayan, usahawan kecil dan sederhana, petani, golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta individu-individu yang memerlukan wang tunai dengan segera.

“Skim ini juga telah membebaskan umat Islam daripada aktiviti riba dan gharar yang dimanipulasi oleh sistem pajak gadai konvensional yang mengenakan caj yang terlalu tinggi seramai 33 kakitangan diambil menjalankan tugas di semua pajak gadai Islam berkenaan,” katanya .

YB Ghazali berkata, Maidam kini dalam perancangan untuk menambahkan lagi cawangan di sekitar pekan-pekan kecil seperti di Bukit Payung, Kemasik dan Kuala Besut bagi memastikan kemudahan itu dapat dinikmati lebih ramai masyarakat yang memerlukan termasuk yang tinggal jauh dari bandar.

Ar-Rahnu berkenaan ialah Cawangan Jalan Tok Lam Kuala Terengganu (29 Jun 2004); Cawangan Besut (16 Februari 2005); Cawangan Kemaman (1 Jun 2005); . Cawangan Dungun (3 Ogos 2005); Cawangan Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu (29 Jun 2006); Cawangan Setiu (1 Februari 2007); Cawangan Bandar Al-Muktaffibillah Shah, Dungun (20 Mei 2007); Cawangan Marang (9 September 2007) dan Cawangan Kuala Berang, Hulu Terengganu (15 Mei 2008).