Halaman

22 December 2013

Penduduk perlu berhati-hati hadapi banjir gelombang kedua

Oleh: Suriati Ali 

Penduduk dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku pada bila-bila masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abd Rahman berkata peringatan itu khusus kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya dapat mengelak kerugian.

Katanya, mereka yang tinggal di kawasan rendah dan menghadapi banjir setiap tahun perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan pada musim tengkujuh ini.

“Selain itu, mereka juga perlu mengikuti arahan pihak berkuasa dan akur jika diarahkan berpindah bagi mengelak perkara tidak diingini.

 Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Khairat Kematian Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, semalam.

YB Bazlan turut memberitahu, ada segelintir penduduk bersikap tunggu dan lihat, apabila keadaan terdesak atau air banjir sudah banyak melimpah ke dalam rumah, mula terfikir untuk berpindah.

“Keadaan itu boleh mengundang pelbagai masalah kepada pihak keselamatan terutama apabila air naik pada waktu malam.

“Jadi selaku masyarakat timbang rasa, kita perlu mengikut segala arahan dikeluarkan bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan dapat dilakukan sebaiknya, “ katanya.