Halaman

26 December 2013

Setengah juta baiki masjid dan surau terjejas banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Kira-kira setengah juta akan disalurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) untuk membaiki masjid dan surau di Kemaman yang terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diamanahkan untuk menguruskan bantuan tersebut.

Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Zakat) Maidam, Azmi Tengah berkata, peruntukan sebanyak RM500,000 disalurkan MAWIP bagi membaiki enam masjid dan 21 surau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dan Chukai.

“Selain bantuan daripada MAWIP, sempena bantuan pasca (selepas) banjir Maidam yang akan diadakan 30 Disember ini, 201 mangsa banjir yang terdiri daripada golongan asnaf yang berdaftar turut menerima bantuan daripada Maidam sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Affin Bank Berhad bagi tahun 2012 berjumlah RM466,666.67 di Bangunan Maidam, kelmarin.

 Katanya, Maidam turut bersimpati dengan nasib yang dialami mangsa banjir di negeri ini, sekali gus mengambil keputusan untuk turun padang membantu golongan asnaf terutama fakir dan miskin walaupun program dibuat pada waktu pasca (selepas) banjir.

“Sempena program itu nanti, bantuan persediaan sekolah kepada anak-anak fakir dan miskin turut diberikan bagi membantu meringankan beban ibu bapa,” ujarnya.