Halaman

26 December 2013

Ketengah anjur Festival Kenyir 2014

 Oleh: Suriati Ali 

 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal menganjurkan Festival Kenyir 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2014) tahun hadapan.

 Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, festival itu akan berlangsung selama sebulan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir bermula 29 April sehingga 28 Mei 2014.

 Menurutnya, banyak aktiviti diadakan sepanjang festival itu nanti antaranya persembahan kebudayaan, pameran jabatan, peluang menaiki helikopter dan menyaksikan 'power boat'.

"Usaha ini untuk menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang," katanya.

 Encik Wan Mat Amin berkata, festival itu program khusus sempena TMM 2014 di bawah Pelancongan Malaysia Terengganu.

 “Program Piala Kenyir yang ditunda pada tahun ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan peserta dari China.

 "Kita sudah rancang untuk buat (Piala Kenyir) tahun ini, tetapi tidak sempat dan dianjak pada tahun hadapan. Peserta bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM 15,000," katanya.