Polis dan wartawan perlu mewujudkan persefahaman supaya masyarakat tidak menjadi mangsa akibat mendapat laporan yang tidak tepat dan boleh menimbulkan spekulasi.
Ketua Polis Terengganu, Dato’ Haji Jamshah Mustapa, berkata pada masa kini penggunaan media sosial yang begitu meluas turut mengakibatkan informasi yang tidak sepatutnya itu mudah tersebar sekali gus mendatangkan kesan negatif dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Tidak dapat dinafikan masyarakat memerlukan media massa, begitu juga polis khasnya dan agensi-agensi lain kerana mahu menyampaikan maklumat dan pada masa yang sama mendidik masyarakat terutama berkaitan aspek kesejahteraan rakyat.
“Sebagai contoh, apa yang pasti menjadi pertembungan antara dua pihak ini adalah berita. Daripada pengalaman saya di Terengganu, saya dapati mungkin terdapat ketidakfahaman, kurang jelas dan kurang interaksi antara kita sehingga menyiarkan berita yang dikatakan `belum matang’ sebagai tatapan umum,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Jalinan Mesra PDRM Terengganu, media dan Hotel Permai di Hotel Permai, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Hotel Permai, Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar; pengamal media dan sebahagian Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (Kawat).
Dato’ Jamshah berkata, polis yang berpegang kepada konsep utama menjaga nyawa dan harta benda masyarakat juga tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghalang mana-mana maklumat disebarkan kepada umum.
“Ada beberapa sebab kenapa kita membenarkan. Malah, bukan kita tidak membenarkan tetapi kita melewatkan, tetapi ada juga berita yang kita tidak benarkan, contohnya berita penculikan, yang ini kita padamkan terus kerana keutamaan kita dalam apa juga penugasan kita adalah nyawa dan harta benda kerana itu konsep utama kita melainkan selepas mendapat kebenaran daripada mangsa ataupun operasi berjaya mematahkan kes-kes penculikan.
“Selain itu, kita tiada masalah memberi maklumat kepada media, cuma memerlukan masa kerana dalam keadaan tertentu kita tidak dapat beri maklumat disebabkan beberapa faktor,” katanya.
Menurutnya, faktor pertama adalah kes kematian yang memerlukan penyiasatan mengenai sebab, akibat dan punca dari pihak perubatan dan hospital sebelum didedahkan kepada media, memandangkan ia bukan bidang kuasa polis.
Manakala faktor kedua adalah sebagai menghormati keluarga mangsa dan sebelum memberikan maklumat kepada media, polis perlu terlebih dahulu memaklumkan informasi berkenaan kepada keluarga mangsa.
“Begitu juga berita yang melibatkan maklumat susulan, lazimnya kita tidak memberi maklumat lanjut kerana mahu memastikan operasi kita berjaya supaya penjenayah tidak melakukan tindakan luar jangka berdasarkan maklumat yang disebarkan menerusi media massa.
Faktor lainnya, beliau berkata polis juga perlu berhati-hati kerana tidak mahu mengaibkan mangsa dan keluarga mangsa terutama membabitkan kes rogol, pencabulan, kematian orang Islam seperti bunuh diri dan mabuk.
Selain itu, pihaknya mahu memastikan maklumat berkenaan mampu memberi pendidikan dan pengajaran berguna kepada masyarakat.
Katanya, polis juga tidak mahu menjejaskan hubungan antara negara dan juga antara agensi kerajaan kerana kesalahan jenayah yang dilakukan itu membabitkan peribadi dan individu.