Halaman

24 December 2013

Mangsa terharu keprihatinan Sultanah Terengganu

Oleh: Suriati Ali 

Kprihatinan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah sudi mencemar duli berangkat menyampaikan sumbangan dan bergotong-royong membersih rumah mangsa banjir, di Kampung Fikri, Kemaman nyata mengembirakan golongan itu.

 Mereka yang sebelum ini bersedih kerana mengalami kerugian besar iaitu hampir RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap keluarga sedikit terubat apabila ramai pihak, termasuk Persatuan Pandu Puteri Malayisa (PPPM) cawangan Terengganu tampil membantu.

Baginda yang juga penaung persatuan itu bersama lebih 60 ahli berganding bahu menjayakan misi sambil menghulurkan sumbangan seperti dapur gas, tilam dan pelbagai barangan keperluan dapur.

 Ketua Pesuruhjaya PPPM, Puan Normala Bahrudin berkata, seramai 600 mangsa di Kg Fikri hadir menerima sumbangan pelbagai perkakas elektrik dan barangan dapur bernilai kira-kira RM40,000.

Katanya, peruntukan itu bukan saja disumbang ahli persatuan malah turut diperoleh daripada pelbagai syarikat korporat, Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) semata-mata mahu meringan penderitaan mangsa banjir.

“Setakat ini PPM telah bergerak ke lokasi banjir di Maran dan Kuantan Pahang, sebelum bersama-sama 60 ahli ke Kemaman pula,” katanya.

Mangsa banjir, Puan Aini Embong, 59, berkata dia seakan tidak percaya kerana Sultanah Terengganu bersama anakanda sudi menghulurkan bantuan kepada kami.

 “Sebelum ini, saya hanya melihat baginda di kaca televisyen, berlainan pula hari ini, boleh lihat secara dekat ketika mengambil bantuan dari baginda,” katanya.

Katanya, banjir yang melanda kampung kami dua minggu lepas memang luar biasa, tapi sudah reda dengan apa yang berlaku.

 “Kehadiran Sultanah Terengganu dan pelbagai pihak lain datang menghulurkan sumbangan memang melegakan kami yang sememangnya banyak menanggung kerugian,” katanya.

Norliana Mohd, 37, berkata terima kasih kepada Sultanah Terengganu dan PPM kerana sudi menjenguk dan mengambil cakna mengenai nasib mangsa banjir.

“Kejadian banjir sukar dilupa kerana bukan saja banyak barang rosak, malah kereta turut ditenggelami banjir,” katanya