Halaman

13 April 2014

KEDANGKALAN PEMIKIRAN SEORANG AHLI PARLIMEN

Oleh: Ruslan AR

Kedangkalan seorang yang bertaraf Ahli Parlimen di sebelah Kuala Nerus amat terserlah apabila beliau menulis mengenai Festival Candat Sotong Terengganu 2014 dengan menyifatkan ia merugikan nelayan tempatan.
 Alasan kebudakan yang diberikan oleh beliau seperti yang disiarkan dalam FB miliknya ialah pendapatan nelayan mungkin akan terjejas tahun ini berikutan penganjuran program ini.
 Dakwanya "habis kesemua unjam akan diteroka dan apa lagi yang tinggal kepada nelayan” katanya lagi dalam tulisan beliau di FB itu.
 Sedangkan hakikat yang sebenar, para pengamal media dari seluruh pelusuk dunia itu datang turun mencandat di laut hanya kira-kira dua jam lebih sahaja pada 12 dan 14 April, berjumlah kira-kira 5 jam sahaja. Takkanlah mencandat selama 5 jam itu boleh habis sotong-sotong, dangkalnya pemikiran seorang Ahli Parlimen itu.
  Contohnya semalam (12 April) sebelah pagi sampai tengahari mereka melawat sekitar perkampungan Pengkalan Gelap Setiu dan Wetland. Kira-kira jam 5.30 petang mereka berlepas ke laut untuk merasai suasana mencadat sotong, bukannya hendak menangkap sotong bagi tujuan komersial.
 Kira-kira jam 8.30 malam mereka sudah pulang ke daratan di Pantai Rhu Sepuluh untuk jamuan dan pertunjukan kebudayaan dan tradisonal. Manakala hari ini mereka tidak turun ke laut pun bagi mencandat sotong, sebaliknya di bawa melawat Tasik Kenyir bagi melaporkan keindahan tasik itu yang dimajukan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Pada14 April mereka di bawa melawat Taman Tamadun Islam, sekitar Pulau Duyong dan Kompleks Nur Zahirah (songket).
 Jam 5.00 petang mereka turun ke laut sekejap untuk menikmati aktiviti mencandat dan selepas itu jam 8.30 malam balik semulaRiyaz Heritage Duyong untuk jamuan dan sessi wawancara bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
  Pada 15 April mereka melawat Pulau Redang tanpa sebarang aktiviti memancing atau mencandat kerana di sebelah malam mereka di bawa ke Muzium Negeri Terengganu.
Pada hari akhir 16 April mereka yang terdiri dari wartawan akhbar, majalah, jurufoto, jurukamera video, bloggers dan sebagainya di bawa melawat Pasar Payang, Kampung Cina dan sekitar bandar Kuala Terengganu.
 Oleh itu tuduhan Ahli Parlimen dari pembangkang itu amatlah dangkal dan fitnah yang sengaja diada-adakan kerana mereka datang bukan untuk mengaut hasil mahsul di lautan kita tidak sebagaimana tuduhan melulu ahli politik pembangkang itu.

 Wartawan, bloggers dan pengamal media media seluruh dunia seramai kira-kira 102 orang itu antaranya daripada Negara China (34 orang), Indonesia (13), Singapura (5), Australia (3), Brunei Darulssalam (2), Kanada (2), Chile (4), United Kingdom (1), United State (2), Spanyol (1) dan lain-lain lagi.
  Mereka datang dengan syarat balik menulis dan menyiarkan gambar-gambar tentang keindahan Terengganu dalam akhbar, majalah, blog, telivisyen dan pelbagai media, di samping turut sama wartawan/pengamal media tempatan kira-kira 100 orang juga.
  Apakah itu merugikan untuk kecemerlangan industri pelancongan Terengganu? Janganlah terlalu cetek pemikiran wahai Ahli Parlimen pembangkang kerana komen anda itu amat memalukan!!
 Bot sewaan yang digunakan untuk membawa wartawan menikmati suasana mencandat itu pun adalah bot milik nelayan.
 Kalaulah pemikiran Ahli Parlimen seperti ini, lebih layak berikan sahaja kepada orang lain menduduki kerusi itu di masa akan datang.

Sultan Mizan Hargai Misi Mencari MH370

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Nur Eyziera Farahana Aziz (Pelatih)

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dengan bantuan pelbagai negara dalam misi mencari dan menyelamat semua penumpang dan anggota penerbangan MH370.

 “Beta berdoa ke hadrat Allah semoga dimakbulkan doa seluruh rakyat Malaysia, jayakan operasi mencari dan menyelamat agar segala spekulasi terungkai.

 “Beta juga berdoa agar Allah meringankan beban keluarga mereka yang terlibat dan dianugerahkan kepada mereka kekuatan menghadapi dugaan Allah ini dengan penuh keredhaan dan tabah,” titah baginda.


 Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan para pembesar negeri. Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zuber Embong , Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

 Dalam pada itu, baginda turut berpuas hati dengan pertubuhan ekonomi negeri yang berdaya tahan pada 2013 di mana memberi sumbangan kepada KDNK negeri sebanyak RM20.2 bilion.

“Dengan pengekalan yang kukuh melalui asas ekonomi domestik dan pelaburan swasta serta pasaran tenaga kerja yang stabil, dijangkakan pertumbuhan ekonomi negeri terus positif pada tahun 2014.

“Kadar pengangguran tahun 2013 sebanyak 3.3 peratus boleh distabilkan lagi sehingga 2.5 peratus dalam tahun semasa. Kadar inflasi yang sederhana dan terkawal iaitu 3.2 peratus pada Disember 2013 membolehkan pertumbuhan ekonomi Terengganu berada dalam keadaan kukuh dan mampan,” titah baginda.

Baginda juga sukacita Terengganu kini menduduki tempat keempat dalam senarai bilangan warga miskin iaitu seramai 9,911 orang; miskin tegar di tempat ke sembilan (443 orang) dan mudah miskin pula tangga ke tujuh (4,656 orang).

Sultan Mizan turut berpuas hati dengan berkat usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri apabila seramai 31, 120 orang telah terkeluar daripada senarai Pendapatan Garis Kemiskinan.

 “Kedudukan ini adalah berdasarkan kepada data yang dikumpul dan disahkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, pada 12 mac 2013,” titah baginda.

Selain itu, kerajaan negeri juga membelanjakan sebanyak RM201.6 juta bagi pelaksanaan Program Bina Baru dan Baikpulih Rumah di mana telah memberi manfaat kepada 17, 183 penerima di seluruh Terengganu.

“Dijangka seramai 2,500 penduduk lagi akan menerima manfaat yang sama pada tahun ini dengan peruntukkan baru sebanyak RM41.5 juta,” titah baginda.

 Baginda turut bersyukur Terengganu mempunyai sumber air yang mencukupi dan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih dan terawat.

 “Syarikat Air Terengganu (SATU) yang sentiasa memantau dan membuat perancangan bagi membaiki dan menukar paip-paip pecah dan bermasalah secara berkala, sekali gus mengelakkan masalah kewangan kepada kerajaan negeri.

“ Usaha untuk menurunkan Kadar Kehilangan Air Tak Terakaun (NRW) sekurang-kurangnya kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang wajar mendapat pujian,” titah baginda.

 

Festival Candat Sotong lebih hebat pada tahun depan- Ahmad Said.

Peserta dari Chile bertanyakan sesuatu kepada Ahmad.
Oleh: Aminudin Ismail. 

MENTERI Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said gembira kerana sambutan daripada peserta terutamanya dari luar negara terhadap Festival Mencandat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 amat mengalakan. 

"Saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana sambutan daripada peserta termasuklah dari luar negara amat memberangsangkan sempena dengan Pesta Mencandat Sotong Terengganu 2014 ini.

"Dan kita berharap ini adalah permulaan ke arah pesta yang lebih hebat di masa-masa akan datang dan kita akan cuba membawa lebih ramai lagi wartawan dan blogger dari luar negara," katanya kepada TEGANUKITA ketika hadir meraikan peserta mencandat sotong itu di Rhu 10, Setiu, malam tadi.

Peserta sedang mengambil buah kelapa muda.
Menurutnya, perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri terhadap festival itu tentunya akan mendatangkan pulangan yang baik kerana lebih ramai pelancong akan ke Terengganu.

"Selepas ini lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu untuk melihat lebih dekat peristiwa ini sendiri dan ini akan memberi tambahan pendapatan kepada nelayan dan juga orang ramai di Terengganu. 

"Pulangannya kita akan dapat segera dan mungkin pada malam ini ada yang telah menyebarkan berita ini ke seluruh dunia. Ada antara bloger yang mempunyai lebih 40,OOO pengikut," katanya.

Ahmad Said berkata Festival Mencandat Sotong itu yang paling unik di dunia dan ianya tiada di negara lain untuk mengamit pelancong ke Terengganu.

Turut hadir ialah Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh, Adun Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor, Adun Jabi, Iskandar Jaafar dan Pegawai Daerah Setiu.
Ahmad tiba disambut Mohd Jidin.

Ahmad, Mohd Jidin dan Iskandar menyambut peserta.

Peserta Eropah memberitahu sesuatu kepada Ahmad,

Seorang lagi peserta Chile berbual mesra dengan Ahmad.

Mohd Jidin menunjukan sesuatu kepada Ahmad.

Mohd Jidin bersama seorang peserta.
Antara penduduk kampung yang hadir.

Persembahan dari kumpulan Suktra.
Antara hidangan yang disediakan.
Yb Zul (kiri) turut hadir,
Dato'Sabri (kanan) bersama DO Setiu dan YB Iskandar.

 

12 April 2014

Dato' Idris melawat Mohammad Ishak di rumahnya.

ZIARAH...Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh meluangkan masa hampir satu jam menziarahi wartawan Muhammad Ishak yang mengalami serangan jantung baru-baru ini di rumahnya di Seberang Jerteh, hari ini.

Idris yang ditemani isterinya Toh Puan Seri Kamariah Zakaria mengharapkan Mohammad akan cepat sembuh seperti biasa dan menasihati wakil Berita Harian dan Harian Metro di Besut itu sentiasa menjaga kesihatan dan patuhi nasihat doktor.

"Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana mempercepatkan tindakan yang perlu ke atas saudara Muhammad Ishak ini," katanya.

Idris bersama isteri (kanan) bersama Mohammad.
Mohammad menjalani pembedahan 'Angioplati Koronari' saluran jantung tersumbat pada 6hb April baru-baru ini dan keluar wad pada dua hari selepas itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Seri Idris kerana sudi berkunjung ke rumah ini walaupun beliau sibuk dengan tugas sebagai Menteri.

"Juga terima kasih kepada semua yang datang melawat saya di Hospital ataupun di rumah dan kawan-kawan yang banyak memberi semangat kepada saya bagi menghadapi penyakit ini," katanya.

 Hadir sama bersama Idris ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Kuala Besut, Tengku Zaihan.- Aminudin Ismail


Taril pelancong ke Kelab Golf Bukit Besi

Oleh: Suriati Ali

Dalam usaha menarik lebih ramai pelancongan dan peminat sukan golf ke negeri ini, Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukkan RM850,000 bagi menambah baik infrastruktur Kelab Golf Bukit Besi, Dungun.

Perutukan itu diagihkan melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi menambah baik prasarana asas di kelab itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan itu berdasarkan kepada potensi yang dimiliki kelab golf itu untuk lebih mahu pada masa hadapan. Beliau melahirkan keyakinan, usaha yang dilaksanakan itu mampu menarik lebih ramai pengunjung luar dan pelancong ke Dungun.

“Sewajarnya pihak berkaitan perlu perbanyakkan program dan pertandingan di kelab golf ini sebagai langkah menambah bilangan ahli sedia ada,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kelab Golf Bukit Besi, di Dungun hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, YB. Roslee Daud dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud.

Sementara itu, Pengerusi kelab itu, Zakaria Awang berkata, kelab kini berwajah baru dengan pelbagai kemudahan infrastruktur tambahan setelah melalui proses menaik taraf dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.8 juta.

“Rumah kelab baru itu dinaiktaraf bagi menggantikan rumah kelab asal yang dibina sejak 22 tahun lalu kini mempunyai kemudahan yang lebih lengkap termasuk empat unit banglo dan 16 unit chalet untuk penginapan anggota kelab, pejabat, bilik mesyuarat dan kafeteria serta kedai menjual peralatan golf.

 “Proses naik taraf itu diharap mampu menarik kedatangan lebih ramai pemain golf dari dalam dan luar negara selain penganjuran lebih banyak kejohanan golf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kelab ini mempunyai lapangan 18 lubang di kawasan seluas 300 ekar, malah ini adalah satu-satunya padang golf yang dikekelingi tasik semulajadi dan masih kekal terpelihara dari sebarang pencemaran,” katanya.

 

MB Rasmi Kelab Golf Bukit Besi








Pandu Puteri Curah Bakti Hampir 100 Tahun

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mencecah 100 tahun penubuhannya telah banyak mencurah bakti kepada masyarakat dan menjadi nadi penggerak kepada golongan remaja dan wanita di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Zubir Embong (gambar) berkata, sebagai NGO yang lama bertapak di Malaysia sejak tahun 1961 lagi, jelas menunjukkan PPPM begitu komited untuk melahirkan golongan remaja dan wanita dewasa yang berkaliber serta mampu menjadi seorang pemimpin berwibawa.

“Usia penubuhannya yang hampir seabad cukup menggambarkan betapa luas pengalaman persatuan ini.

“Saya dimaklumkan, PPPM banyak mencurah bakti kepada masyarakat termasuk menyediakan aktiviti dan program yang bercorak pendidikan bukan formal dengan asasnya meliputi perkembangan diri, sahsiah dan intelek, minat dan hobi, gaya hidup sihat dan khidmat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu Kali Ke-25 di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua PPPM Cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mohd Zubir dalam ucapannya turut memuji program-program dianjurkan persatuan itu yang dilihat mampu merakyatkan Pandu Puteri sekali gus memastikan PPPM terus relevan dan kewujudannya disedari dan dihargai oleh masyarakat.

Pada majis tersebut, seramai 300 ahli PPPM Cawangan Terengganu berhimpun bagi mendengar amanat yang Yang DiPertua PPPM dan membincangkan perkara berbangkit di Mesyuarat Agung yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Sultan Mahmud itu.

 

Festival candat sotong, peserta tertarik dengan budaya dan keindahan Setiu.

Peserta tertarik melihat penduduk membuat bakul anyaman.
Oleh: Aminudin Ismail.

KEBANYAKAN peserta dari dalam dan luar negara yang menyertai Festival Mencadat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 tertarik dengan pelbagai keindahan dan budaya di dua tempat yang mereka kunjungi pagi ini di Setiu, iaitu di Kampung Pengkalan Gelap dan Kampung Gong Batu, Kuala Setiu, hari ini.

Peserta yang tiba dengan tujuh buah bas dari Kuala Terengganu di kampung itu iaitu kira-kira jam 9.30 di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan satu yang kebanyakan terdiri daripada peserta dari China dan beberapa negara lain manakala kumpulan dua adalah terdiri daripada peserta tempatan.

Kumpulan pertama menaiki beberapa buah buah bot mengelilingi pulau semut sejauh kira-kira 1.5 kilometer di muara Kuala Setiu untuk melihat keindahan flora dan fauna dengan merakamkan gambar-gambar yang menarik sebelum ke kawasan pemeliharaan ikan dalam sangkar yang terletak kira-kira 500 meter daripada pengkalan.
Peserta dari China mengambil peluang merakam gambar menganyam tikar.

Tiba di kawasan pemeliharaan ikan dalam sangkar itu, peserta sempat merakamkan gambar-gambar dan menemubual beberapa pemilik sangkar ikan itu yang memelihari ikan kerapu dan siakap.

Selama kira-kira hampir dua jam di lagun Kuala Setiu itu, kumpulan tadi bergerak pula ke Kampung Pengkalan Gelap yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan laguna itu.

Di kampung itu, peserta didedahkan dengan pelbagai budaya penduduk tempatan antaranya ialah menganyam tikar, pameran kraf kerecut, membuat atap dan pemeran bakul yang diperbuat daripada lidi nipah dan membuat beberapa makanan tradisional.

Peserta juga, di bawa melihat kawasan hutan paya bakau (Setiu Wetland) di mana terdapat beberapa khazanah semula jadi antaranya ialah lokan dan belangkas.

Peserta sempat merakam semua aktiviti itu termasuklah dua wanita penduduk tempatan yang memerah keringat mencari lokan di kawasan paya bakau itu dengan memperolehi pendapatan sampingan bagi menambah pendapatan keluarga.
Seorang peserta luar merakam aktiviti mencari lokan.

Kira-kira jam 12.30 tengahari, peserta bergerak keTerrapuri HeritageVillage di Kampung Kuala Baru untuk menikmati hidangan tengahari dengan menampilkan beberapa makanan tradisional masyarakat Setiu antaranya ialah ‘Tok Haji Serban’ dan Ketupat Sotong serta hidangan nasi dagang, laksa dan nasi berlauk.

Ketika menjamu selera, peserta dipersembahkan dengan persembahan gamelan dan pertunjukan silat dari Kampung Apal Setiu.

Turut diadakan ialah diadakan acara pelepasan anak tuntung, demontrasi pukat tarik, demontrasi membuat laksa dan demontrasi gasing yang sememangnya begitu menarik perhatian peserta yang menyertai Festival itu.

Petang ini, kira-kira jam 4 petang, Kira-kira 200 peserta akan memulakan cabaran mencandat sotong di sekitar Pulau Chepu hingga ke Pulau Bidong.

Turut hadir ialah Dato Mohd Jidin Shafee, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Lizan Che Mat, Ketua Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhamad Azmidi Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Setiu dan beberapa pegawai pelancongan negeri.
Peserta Eropah tertarik melihat anyaman atap nipah.

Peserta di beri penerangan mengenai lokan.
Anyaman tikar mengkuang turut dipertonton.

Beberapa bot yang dinaiki peserta menyusuri Lagun Kuala Setiu.
Suasana di sangkar ikan Gong Batu.

 

Terengganu Tubuh Pasukan NBOS,

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu akan menubuhkan pasukan rondaan National Blue Ocean Strategy (NBOS) sebagai langkah memperkasakan keselamatan dan mencegahkan jenayah di lokasi `panas’ di negeri ini.
Kolonel (K) Dato' Haji Mazlan Ngah melihat senjata canggih ATM di gerai pameran.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mazlan Ngah, berkata pasukan rondaan NBOS yang masih dalam permohonan dan bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat itu membabitkan dua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 Katanya, pasukan itu berperanan cukup penting untuk bersama-sama meningkatkan rondaan, mengawal jenayah dan memantau beberapa kawasan `panas’.






“Saya percaya kerjasama padu yang terjalin hasil persefahaman dan komitmen jitu bakal menyumbang kepada penurunan kadar jenayah yang ketara.

 “Kita memerlukan kerjasama seumpama ini bagi memantau keselamatan orang ramai, termasuk pelancong yang berada di negeri ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka ATM/PDRM di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Hamzah Md Jamil.

Datuk Mohamad Zaki berkata, penubuhan pasukan NBOS dapat memberitahu masyarakat setempat bahawa PDRM dan ATM mempunyai fungsi sama dalam mengurangkan kadar jenayah dan memantau keselamatan awam.

“Kita serah kepada PDRM untuk menentukan lokasi mana yang dirasakan perlu untuk tingkatkan rondaan, beberapa ramai anggota ATM yang PDRM ingini, kita akan hantar bagi tujuan itu,” katanya.

 Dato’ Hamzah berkata, negeri lain seperti Kelantan, sudah lama menubuhkan pasukan NBOS kerana indek jenayah di negeri itu dikatakan agak Tinggi. Katanya, bagi Terengganu pula, penubuhannya agak lambat kerana kadar jenayah masih terkawal dan tidak seperti di negeri lain.

 “Apabila dilakasanakan kelak, anggota terbabit akan bertugas mengikut tempoh tertentu.

 “Pihak kami sudah mengenalpasti beberapa lokasi `panas’, di samping mempertingkatkan kekerapan rondaan di kawasan tumpuan ramai, termasuk Taman Awam Batu Burok dan Pasar Besar Kedai Payang,” katanya..