Halaman

10 June 2018

100 OKP Dirai Dalam Majlis Berbuka Puasa Oleh Gabungan Tiga Agensi


Seramai 100 Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kemaman.

Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kemaman Napatah Ariffin berkata, program tersebut merupakan sebahagian program pemulihan yang dijalankan terhadap OKP untuk mengatasi permasalahan dadah.

“Pada bulan ini kita turut menjemput mereka menjalankan ibadah serta majlis berbuka puasa bersama-sama dan bagi mereka yang hadir hari ini kita dapat lihat keyakinan dalam diri dan usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk menjalani pemulihan.

Balai Raya Boleh Diguna Bersama


Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Pas memutuskan penggunaan balai raya yang di bawah kerajaan negeri boleh digunakan bersama oleh orang ramai pelbagai pihak, termasuk parti politik.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka boleh mengadakan mesyuarat dan hari keluarga misalnya, dengan syarat ia dijaga dengan baik penggunaannya termasuk aspek kebersihan. 

"Saya sering ditanya oleh pihak dari parti politik seperti Umno, Amanah, PKR, berkaitan penggunaan balai raya untuk program mereka, maka saya jawab boleh kerana ia milik bersama dan inilah budaya politik matang dan sejahtera yang kita perkenalkan," jelasnya.

Semak Status Permohonan Dana Raya Mulai Hari ini


Pemohon Dana Bantuan Aidilfitri 2018 boleh menyemak status permohonan masing-masing melalui laman sesawang di alamat http://idana.terengganu.gov.my mulai hari ini.

Agihan wang dana secara berperingkat-peringkat itu akan disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai esok (11 Jun).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kepada pemohon yang tidak mempunyai akaun bank itu, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan baucer yang boleh dituntut di pejabat daerah berdekatan.

Sentiasa Sedia Dengar Keluhan Nelayan- Dr. Azman


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim sentiasa bersedia mendengar masalah dan isu nelayan di negeri ini.

Dr. Azman yang diamanahkan memegang jawatan tersebut sejak sebulan yang lalu telah mengadakan pertemuan bersama komuniti nelayan Seberang Takir semalam dan pelbagai keluhan dan maklum balas diterima.

Katanya, antara isu utama yang diketengahkan oleh nelayan di kawasan tersebut termasuk pencerobohan pukat tunda nelayan asing, perlesenan dan isu pemberian lesen ali baba, muara cetek dan benteng pemecah ombak, kurangnya sumber ikan di perairan serta penguatkuasaan undang-undang di laut.

09 June 2018

Sembilan Keluarga Ceria Sambut Aidilfitri Di Rumah Baiti TH

Penerima Rumah Baiti TH mempamerkan replika kunci rumah yang diterima.

Seramai sembilan dari 11 penerima Rumah Baiti Tabung Haji (TH) terpilih di daerah ini menerima kunci rumah masing-masing dalam majlis penyerahan di Kampung Telaga Papan, Setiu, semalam.

Projek Rumah Baiti TH yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan bantuan berjumlah RM550,000 bagi membina rumah asnaf yang dipilih melalui senarai asnaf yang layak menerima bantuan.

Majlis perasmian penyerahan rumah-rumah berkenaan dilakukan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.

08 June 2018

TNB Dalam Proses Ambil Alih Tanah

Mohd Nazri melayan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media. Foto Harish Fadzillah Kassim.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini dalam proses pengambilan tanah bagi pembinaan bangunan berkembar setinggi 19 tingkat di kawasan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB negeri, Mohd. Nazri Puteh berkata, pembangunan di tapak komersial berimpak tinggi seluas 0.971 hektar itu dijangka bermula tahun ini membabitkan kos melebihi RM100 juta.

Katanya, walaupun berlaku peralihan kuasa di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu namun ia tidak menjejaskan pelaksanaan projek yang telah dirancang, yang sekali gus bakal merubah landskap bandar raya Kuala Terengganu kelak.

Terengganu Inc Lancar Jejak Iftar Ramadan

Dr. Wan Ahmad Rudirman menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Yayasan Kebajikan Mahfatim yang menguruskan Madrasah Al- Huda.
Atas dasar tanggungjawab, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) melaksanakan program Jejak Iftar sebagai kerja amal sempena bulan Ramadan ini sepertimana tahun sebelumnya.

Program diadakan di Madrasah al-Huda di Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai, Marang, malam tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, kegiatan itu satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat korporat dan warga kerjanya sempena bulan yang penuh keberkatan ini.

07 June 2018

World #QuranHour Galak Masyarakat Budayakan Al-Quran Dalam Kehidupan Harian


Program World #QuranHour dilihat dapat memberi galakan dan motivasi kepada masyarakat untuk memartabatkan, menghayati dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, program yang menghimpun penglibatan seramai mungkin umat Islam untuk sama-sama membaca al-Quran serentak di seluruh negara selama satu jam itu diharap boleh diperluaskan untuk semua peringkat.

“Tahniah kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) yang telah menganjurkan program World #QuranHour 2018 peringkat negeri untuk kali ketiga.

Warga Wisma Persekutuan Hayati World #QuranHour


Persatuan Kebajikan dan Sukan Wisma Persekutuan Kuala Terengganu (PKSWPKT) mengadakan World #QuranHour di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini. 

Program disertai warga Wisma Persekutuan bermula dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya II Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ustaz Muhammad Ash-Shafie Abd Manan dan seterusnya membaca surah Yasin. 

Bayar Cukai Tanah Dilanjut Sehingga 31 Oktober


Kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda di seluruh Terengganu sehingga 31 Oktober 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah ketika mengumumkannya berkata, lanjutan tempoh bayaran yang sebelum ini tamat pada 31 Mei lalu dibuat bagi memudahkan rakyat dan mengurangkan rasa tertekan serta terbeban, apatah lagi pada musim membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

"Kami menerima banyak aduan daripada rakyat yang tidak sempat untuk membayar cukai hasil tanah kerana tarikh tamat pembayaran tersebut pada 31 Mei 2018. Oleh itu, kami bersetuju untuk menangguhkan tempoh masa itu sehingga 31 Oktober ini.