Halaman

10 June 2018

100 OKP Dirai Dalam Majlis Berbuka Puasa Oleh Gabungan Tiga Agensi


Seramai 100 Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kemaman.

Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kemaman Napatah Ariffin berkata, program tersebut merupakan sebahagian program pemulihan yang dijalankan terhadap OKP untuk mengatasi permasalahan dadah.

“Pada bulan ini kita turut menjemput mereka menjalankan ibadah serta majlis berbuka puasa bersama-sama dan bagi mereka yang hadir hari ini kita dapat lihat keyakinan dalam diri dan usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk menjalani pemulihan.


“Hari ini kita dapat lihat OKP yang hadir ini bukan sahaja datang sendiri malah turut membawa keluarga mereka, ini menunujukkan sesuatu yang baik dan sokongan mereka terhadap aktiviti yang kita jalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama OKP di Pejabat Anti Dadah Daerah Kemaman, semalam.

Sementara itu, bekas OKP yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad, 44, berkata, program yang dijalankan kepada OKP bertujuan untuk memantau pergerakan mereka agar tidak kembali kepada kehidupan lama dan terjebak dengan najis dadah.

“Dahulu saya ada menerima wang insurans kemalangan pada 2000... apabila ada duit, saya gunakan untuk membeli barangan kelengkapan rumah di samping itu saya mula berjinak-jinak dengan dadah jenis pil kuda dan pada masa itu separuh wang gaji saya digunakan untuk beli dadah.

“Saya mula terjebak dengan pengambilan dadah sejak empat tahun lepas dan kini saya menjalankan proses OKP selama dua tahun bermula pada bulan Oktober 2015 sehingga 2017 dan masih lagi mengikuti program-program yang dijalankan walaupun sudah tamat tempoh pengawasan,” katanya.

Bagi Mohammad Shafiq Mohd Ramli 28, pula berkata, mereka yang menjalani proses pemulihan dadah ini bukan sahaja dalam tempoh dua tahun tapi seumur hidup kerana jika tidak buat pemulihan tersebut, mereka mungkin akan kembali kepada kehidupan lama.

“Dengan pengawasan ini, saya tidak lagi terjebak dalam najis dadah ini dan saya berterima kasih kepada AADK dan PEMADAM kerana menjaga kami dengan baik dan mesra," katanya.