Halaman

12 June 2018

Demonstrasi Cegah Kebakaran Pendedahan Kepada Pengunjung Bazar Kemaman


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kemaman mengambil peluang memberi pendedahan mengenai aspek keselamatan rumah dan kenderaan kepada orang ramai terutama pada musim perayaan.

Ketua Zon 2 Terengganu, PGKB II Azmi Ab. Rahim berkata, bomba memilih mengadakan demonstrasi di bazar Ramadan kerana menjadi tumpuan pengunjung membeli juadah berbuka di samping memberi pendedahan langkah mengawal kebakaran dapur kepada orang ramai.

"Pada hari ini kita mengadakan kempen kesedaran dan demonstrasi kepada orang awam daripada aspek kebakaran di rumah terutama di dapur kerana pada musim perayaan sering kali kebakaran berlaku di ruang dapur yang dikendalikan surirumah.



"Kejadian sebegini boleh dielakkan sekiranya pengguna peka dengan apa yang ada di dapur dan apabila berlakunya kebakaran mereka tidak panik dan kebakaran boleh dibendung dengan cara yang betul serta mudah selain mengelakkan kebakaran berlaku lebih besar,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas demonstrasi kebakaran di tapak Bazar Ramadan Bandar Kemaman, semalam.

Menurut Azmi, demonstrasi itu bukan sahaja memberi pendedahan dan ilmu mencegah kebakaran kepada pengguna daripada pelbagai peringkat umur termasuklah ibu bapa dan anak-anak.


"Ini adalah satu petanda positif tidak terhad golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak sebagai pendedahan keselamatan di mana apabila berlaku kebakaran di rumah mereka boleh bertindak terlebih dahulu sebelum bomba tiba,"katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sepanjang Ramadan tahun ini hampir 71 peratus kes kebakaran direkodkan dengan 10 kes daripadanya melibatkan kejadian di dapur rumah, litar pintas dan juga kenderaan.

Manakala tahun lalu pula mencatatkan 14 kes di sekitar Dungun dan Kemaman.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dan membuat pemeriksaan keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung menjelang perayaan tidak lama lagi.

"Sebelum pulang ke kampung pengguna perlu memeriksa dan menutup segala soket elektrik dan memaklumkan kepada jiran sepanjang tempoh ketiadaan mereka agar jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini tindakan sepatutnya dapat diambil.

"Sebelum ini pernah berlaku pemilik rumah terlupa menutup soket pendingin hawa sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran,"katanya.