Para tetamu bersedia untuk menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan dalam program Madinah Ramadan, malam tadi. Kredit foto Ammar PokLan'k |
Kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan program Madinah Ramadan ke setiap daerah mulai tahun depan supaya manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh penduduk seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program yang julung kali dilaksanakan di Terengganu sebaik sahaja pentadbiran kerajaan negeri bertukar bulan lalu, akan ditambah baik bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung.
“Jika dengan kerjasama seluruh pihak, InsyaAllah kita akan melaksanakan Madinah Ramadan pada tahun depan di setiap daerah.
“Pada asasnya kita ingin memberi kemudahan kepada mereka yang kurang berkemampuan supaya dapat berbuka puasa secara percuma, solat tarawih dan moreh serta pulang ke rumah dengan selesa dan begitulah pada hari seterusnya sehingga penghujung Ramadan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Madinah Ramadan Peringkat Negeri di Dataran Shahbandar, mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, malam tadi.
Mohd Nor berkata, setiap kelemahan dalam program Madinah Ramadan itu akan diperbaiki dan ditambah baik pada masa akan datang.
Bagaimanapun, sepanjang penganjuran sejak 1 Jun (16 Ramadan) lalu, kerajaan negeri berpuas hati dengan sambutan dan pengurusan program yang berjaya mengajak warga kota dan bandar raya Kuala Terengganu untuk menghidupkan bulan penuh rahmat dengan amalan yang dituntut dan disarankan oleh Islam.
Tambah beliau, program yang mengambil nama `Madinah’ dengan makna kota dan daripada kalimah 'ad-deen' iaitu agama di mana Madinah juga menjadi pusat agama dibina dan dihidupkan.
“Syukur dengan sambutan ramai umat Islam yang menghidupkan suasana di Madinah Ramadan ini, lebih-lebih lagi kita berada di penghujung Ramadan bila mana dinyatakan oleh para ulamak berlakunya Lailatul Qadar (malam yang penuh kemuliaan dan juga malam yang lebih baik daripada seribu bulan), malam yang mulia inilah Allah SWT menurunkan al-Quran.
“Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada kita semua. Yang menerangkan seluruh aspek dalam kehidupan manusia agar manusia hidup di atas dunia ini dengan agama Allah. Akhirnya kita mendapat berkat daripada Allah,”kata beliau.
Jelasnya lagi, bertepatan dengan itu juga, kerajaan negeri hari ini mahu membina masyarakat yang memiliki dua aspek penting dalam kehidupan iaitu pertama memiliki iman dan kedua, bertakwa.
Beliau menjelaskan, dalam Firman Allah `Kalaulah sesungguhnya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa kepada Allah, nescaya kami akan bukakan bagi mereka berkat daripada langit dan bumi’.
“Walau Allah SWT mengurniakan Negeri Terengganu dengan hasil kekayaan yang banyak dalam negeri tetapi jika tiada berkat, kekayaan ini akan hilang dengan mudah. Jika kita menguruskan kekayaan ini dengan agama Allah, kita akan dikurniakan keberkatan olehNya dan Terengganu akan menjadi negeri yang maju berkat dan sejahtera, InsyaAllah,”ulas beliau lagi.
Beliau juga tidak lupa berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program itu dan menyampaikan penghargaan dan salam mewakili Menteri Besar kepada agensi kerajaan yang terlibat secara langsung seperti Majlis Bandararaya Kuala Terengganu, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, TDM Bhd, Yayasan Islam Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Kerja Raya serta individu, syarikat mahupun sukarelawan Madinah Ramadan.
Madinah Ramadan dilaksanakan selama dua minggu bermula 1 Jun 2018 sehingga 14 Jun ini diwarnai dengan pelbagai aktiviti termasuk berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat Tarawih oleh imam dari luar negara.
Pengisian lain termasuk tazkirah, bicara ilmu, fiqh wanita, santai bersama Mat Motor, ceramah Badr al-Kubra dan Nuzul Quran.