Halaman

13 June 2018

Kerajaan Negeri Hargai Pengorbanan Kakitangan HSNZ

Menghargai pengorbanan kakitangan hospital yang bekerja tanpa mengira waktu demi kesejahteraan pesakit, kerajaan negeri mengagihkan 500 pek makanan dan minuman kepada kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, pek juadah berbuka puasa itu turut diagihkan kepada penjaga pesakit.


Katanya, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri mengambil inisiatif menyumbang terutamanya untuk kakitangan HSNZ yang bertugas pada petang ini dan juga peneman-peneman pesakit.
Dr Alias menyerahkan pek juada berbuka puasa kepada salah seorang kakitangan HSNZ sempena Program Penyampaian Makanan Kepada Waris Pesakit dan Kakitangan HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. 
Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail.
“Kita sediakan lebih kurang 500 paket makanan dan minuman dan semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan kegembiraan kepada kakitangan hospital yang terpaksa berbuka puasa di wad kerana tuntutan tugas di waktu orang lain dapat berbuka puasa bersama keluarga.

“Juga kepada penjaga pesakit, pemberian ini adalah sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap masyarakat yang bertujuan meringankan beban penjaga yang terpaksa menunggu pesakit yang tentunya menyukarkan mereka untuk membeli juadah berbuka puasa,”ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Penyampaian Makanan Kepada Waris Pesakit dan Kakitangan HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat menjadikan program tersebut sebagai program tradisi setiap kali tibanya Ramadan.

“InsyaAllah, program ini akan dijadikan tradisi sempena Ramadan pada tahun-tahun akan datang dan ini merupakan satu kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dengan pihak kesihatan,” ujarnya.