Halaman

12 June 2018

Terengganu Belanja RM1.5 Juta Untuk 2,404 Pelajar Ke IPT

Antara pelajar yang menerima bantuan persediaan kemasukan ke IPT.
Foto Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta untuk diagihkan kepada 2,404 pelajar sebagai persediaan menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi, asasi dan diploma di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Berdasarkan jumlah itu, sejumlah RM808,950 diagihkan kepada 1,249 pelajar di Parlimen Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Kuala Nerus.


Manakala, sebanyak RM419,40 diperuntukkan kepada 670 pelajar (Dungun dan Kemaman) dan RM302,900 kepada 485 pelajar di Setiu dan Besut.


Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keseluruhan peruntukan itu berdasarkan permohonan yang diterima dan diproses oleh Yayasan Terengganu (YT) sehingga Jun lalu.

Katanya, peruntukan itu akan bertambah kerana percaya masih ada lagi pelajar yang akan membuat permohonan selepas ini.

“Sudah pasti dengan adanya bantuan sebegini, meskipun jumlahnya tidaklah besar, sedikit sebanyak dapat menampung kos persediaan menyediakan kelengkapan atau membayar yuran mendaftar anak-anak pelajar di universiti nanti.


“Semoga insentif dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri akan menambahkan lagi semangat anak-anak pelajar untuk memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan sehingga peringkat tertinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Persediaan Kemasukan Ke IPT di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Dato' Dr. Alias Abdullah.

Ahmad Samsuri berkata, kepimpinan baru kerajaan negeri akan sentiasa memastikan pendidikan Terengganu terus maju dan unggul selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Hab Pendidikan Islam Antarabangsa.

“Matlamat kita adalah besar, membawa agenda pelan induk Terengganu Sejahtera yang bermatlamat kepada slogan, Maju, Berkat dan Sejahtera merangkumi semua aspek,”katanya.