Halaman

14 June 2018

KPDNKK Terengganu Jamin Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Sepanjang Syawal


Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu memberi jaminan bekalan bahan mentah di negeri ini mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sepanjang Aidilfitri ini.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, pihaknya telah mendapat jaminan daripada para pembekal berhubung perkara tersebut.


“Orang ramai tidak perlu bimbang dan datang sahaja ke pasaraya, kedai runcit untuk mendapatkan bekalan bahan mentah seperti biasa dan belilah mengikut keperluan.

“Pengguna perlu bijak dengan lihat, pilih dan beli. Lihat Harga, pilih barangan yang tepat barulah kita membuat pembelian dan jangan tergesa-gesa membuat ketika pembelian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Walkabout Skim Kawalan Harga Musim Perayaan tahun 2018 di Mydin Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu Zulfamy berkata, sebanyak 19 kesalahan dikesan dilakukan peniaga di negeri ini dalam tempoh empat hari, melalui operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri yang bermula 8 Jun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 14 kesalahan membabitkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal, menjual melebihi harga maksimum ditetapkan (empat), dan satu tiada tanda harga.

“Kompaun sebanyak RM3,100 telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut,” ujarnya.