Halaman

11 June 2018

RM418,500 Disalur Kepada 670 Mahasiswa Kemaman, Dungun


Seramai 670 bakal mahasiswa di Parlimen Kemaman dan Dungun menerima bantuan persediaan Yayasan Terengganu (YT) berjumlah RM418,500 bagi melanjutkan pengajian di Peringkat Asasi dan Diploma sesi kemasukan 2018-2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bagi Parlimen Kemaman sebanyak RM217,250 diagihkan kepada 335 bakal mahasiswa melibatkan 199 pelajar bagi program diploma dan 136 orang bagi matrikulasi.


“Namun bagi Parlimen Dungun pula sebanyak RM201,250 untuk 135 orang diploma dan 200 orang matrikulasi.

"Pada tahun ini sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk bantuan ini dan saya difahamkan program bantuan ini dimulakan sejak tahun 2006 dan sehingga tahun 2017 seramai 272,159 orang mendapat manfaat ini dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM202,599,150," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Persedian Yayasan Terengganu di Peringkat Matrikulasi, Asasi dan Diploma di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman, Kijal, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Abdul Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Timbalan Pengarah Pendidikan YT, Dr Hashim Che Noh serta Pegetua Sekolah Menengah Imtiaz YT, Roslan Ibrahim.

Menurut Hanafiah, dengan bantuan tersebut ianya sedikit sebanyak mampu menampung kos persediaan kelengkapan atau membayar yuran bakal mahasiswa yang mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT).


Sementara itu bakal mahasiswa, Muhammad Hariz Azfar Azhari, 18, berkata, dengan wang bantuan yang diterima mampu menampung persiapan perbelanjaan beliau apabila mendaftar masuk IPTA nanti.

"Pada hari ini saya mendapat bantuan persediaan yayasan sebanyak RM500 dan saya rasa sangat gembira kerana dengan wang ini dapat membuat wang tambahan saya membeli barang persiapan belajar di Universiti Teknologi Mara (UITM) dalam khusus asasi kejuruteraan," katanya.


Namun bagi mahasiswi Nur Farihin Shukri, 18, yang menerima tawaran program Asasi Sains di sebuah IPT di Selangor pula berkata, dia sangat berbangga dapat menjadi anak jati Terengganu kerana menerima banyak insentif daripada kerajaan dalam pelbagai aspek terutama bantuan pembelajaran termasuklah bantuan persediaan ke IPTA dan IPTS.

“Dengan bantuan wang yang saya terima hari ini dapat meringankan sedikit beban keluarga saya untuk menampung kos membeli barang belajar saya,” katanya.