Halaman

13 June 2018

4,966 Saman Op Selamat Dalam Tempoh Empat Hari


Sebanyak 4966 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di negeri ini oleh Polis Kontinjen Terengganu dalam tempoh empat hari sejak Ops Selamat 13/2018 dilancarkan.

Ketua Polis negeri, Dato’ Aidi Ismail berkata, saman yang dikeluarkan sejak kempen selama dua minggu bermula 8 Jun lalu itu membabitkan pelbagai kesalahan lalulintas.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding Op Selamat bagi tempoh sama tahun lepas iaitu 3227 saman.

"Kesalahan paling banyak dilakukan ialah memandu melebihi had laju, tidak patuhi lampu isyarat, mengguna alat komunikasi semasa memandu, memotong ‘Q’ dan garisan berkembar serta memandu di lorong kecemasan.


“Berlaku peningkatan lebih 1,000 saman dalam tempoh empat hari ini, saya nasihatkan pemandu-pemandu janganlah tergopoh-gapah dan patuhilah undang-undang jalan raya untuk keselamatan bersama,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Musim Eidul Fitri Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat di Tol Gemuruh, Kuala Nerus, semalam.

Sementara itu, Aidi berkata, sebanyak 143 kes kemalangan telah direkodkan bagi tempoh sama untuk Op Selamat tahun ini, berkurang 30 kes berbanding 163 pada tahun lepas.

"Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut sepanjang empat hari pelaksanaan Op Selamat 13 meningkat kepada tujuh kes berbanding hanya empat kes untuk tempoh sama tahun lepas.

"Kemalangan paling banyak berlaku di jalan persekutuan iaitu melibatkan 52 kes, jalan bandaran (43 kes), jalan negeri (28 kes), lebuhraya dan lain jalan masing-masing mencatat 10 kes,” ujarnya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati kerana jumlah kenderaan yang banyak akan memenuhi jalan raya di musim perayaan ini.